Jiwa besar Sufian Suhaimi, Hafiz Hamidun


Cinta - Baik Sufian dan Hafiz, biarpun pernah berhadapan dengan dugaan putus tunang dan perceraian, mereka tidak serik untuk kembali bercinta.

Jodoh atau penyatuan dua jiwa adalah suatu hal yang cukup manis untuk diperkatakan. Namun begitu, bukan semua orang bernasib baik apabila jodoh mereka terputus di tengah jalan. Begitulah nasib yang diterima oleh penyanyi Sufian Suhaimi yang terlerai ikatan pertunangannya dengan pelakon Elfira Loy, manakala Hafiz Hamidun pula bercerai dengan Joy Revfa selepas lima bulan diijabkabulkan.

Sufian, 26, hadir ke Kosmo! baru-baru ini dengan imej terbaharunya lengkap berjambang dan wajahnya kelihatan sedikit cengkung.

Ramai mengatakan Sufian tampil dengan imej tersebut kerana kecewa mengenangkan pertunangan yang terputus kurang sebulan daripada tarikh pernikahannya.

Mengikut perancangan Sufian dan Elfira sepatutnya diijabkabulkan pada 23 atau 24 Mac ini. Hakikat sebenarnya, imej sebegitu merupakan keperluan dalam tuntutan kerja, selain Sufian sendiri selesa dengan wajah baharunya itu.

“Saya sengaja tampil berjambang kerana satu keperluan untuk sebuah projek terbaharu. Selain itu, saya sendiri selesa dengan imej sebegini kerana nampak lebih matang.

“Namun, ramai peminat tidak menyukai imej terbaharu ini dan meminta saya membuang jambang. Saya akan pertimbangkan permintaan mereka kerana kebanyakan peminat terdiri daripada pelajar sekolah,” kata Sufian sambil tersenyum.

Bercakap tentang kontroversi putus tunangnya, Sufian mengakui ia satu dugaan paling berat tetapi yakin setiap apa yang berlaku ada hikmah sebaliknya.

Sejak berita putus tunang tersebar sehingga ke hari ini pelbagai spekulasi dibuat oleh orang ramai, sementelah Sufian, mahupun Elfira mengunci mulut. Diajukan soalan mengenai perkara tersebut, penyanyi lagu Terakhir itu masih kekal dengan pendiriannya untuk tidak menceritakan butiran punca pertunangan itu terputus.

Baginya cukuplah apa yang berlaku disimpan kemas antara keluarganya dan Elfira. Tidak perlu untuknya memanjangkan cerita dan menyalahkan orang lain demi memperlihatkan dirinya tidak bersalah dalam hal tersebut.

“Saya tahu banyak spekulasi di luar seolah-olah orang luar lebih tahu apa yang berlaku sedangkan tiada sesiapa antara kami yang mendedahkan punca putus tunang itu.

“Oleh itu, saya mohon orang di luar sana supaya hentikan spekulasi. Jika tidak dapat jernihkan keadaan mengapa perlu mengeruhkan lagi keadaan. Apa yang mereka perlu tahu adalah semuanya telah selesai mengikut adat dan hubungan kami baik-baik sahaja,” pinta Sufian.

Walaupun ramai yang simpati terhadap apa yang berlaku, tidak kurang ada yang mendakwa apa yang berlaku merupakan kifarah.

Sambil tersenyum Sufian menjawab: “Saya tidak boleh tutup mulut orang. Apa pun yang saya lakukan pasti ada benda baik dan buruk akan diperkatakan orang. Sebab itu perlu sabar dan jangan melenting kerana saya tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Walaupun ada yang membuat isu putus tunang ini sebagai bahan jenaka dalam laman sosial, saya maafkan mereka.”

Biarpun cukup pahit untuk dilalui, Sufian bersyukur kerana selepas kejadian itu baru dia sedar bahawa dirinya disayangi.

Ujarnya, saat sedang bersedih, kata-kata semangat netizen dan rakan artis merupakan kekuatan untuknya terus bangkit menghadapi dugaan ini dengan penuh positif. Sokongan itu merupakan perkara paling mahal buat dirinya.

Justeru itu, dia tidak pernah trauma dengan apa yang berlaku kerana baginya dugaan adalah satu ingatan Allah buat dirinya untuk menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini.

“Paling lucu ketika isu ini hangat diperkatakan, saya menerima banyak tawaran daripada gadis yang ingin menjadi kekasih. Selain itu ada juga golongan ibu bapa yang melamar saya untuk dijadikan menantu. Saya anggap itu semua sebagai salah satu kata semangat dan gurauan semata-mata.

“Jika mereka serius tidaklah lamaran itu dibuat di laman sosial. Ada banyak cara lain untuk mereka mendekati saya jika benar-benar serius,” kongsi penyanyi kelahiran Muar, Johor itu lagi.

Ditebak soalan, adakah Sufian masih percaya pada cinta selepas apa yang berlaku?

“Jodoh, ajal dan maut di tangan Allah. Oleh itu, tiada sebab untuk berhenti berkarya kerana banyak lagi yang ingin saya kecapi. Cuma cinta bukan fokus saya buat masa sekarang. Kadang-kala cinta perlu dicari, jadi saya buka buku baharu. Sebelum ia berlaku, saya perlu bertenang dan sabar,” balasnya.



Hafiz percaya cinta

Beralih kepada komposer dan penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun, 34, siapa yang boleh lupa dengan perkahwinan penuh kontroversinya dengan usahawan kecantikan, Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa.

“Itu pengalaman pertama saya berkahwin dan hadapi pelbagai proses sehingga naik mahkamah. Bagi saya, ia suatu pelajaran untuk saya dan orang lain. Saya harus nilai diri semula. Jika selepas ini saya buat lagi kesalahan yang sama, di situ saya akan menjadi orang yang gagal,” katanya.

Menerusi kontroversi itu juga Hafiz dihentam kiri dan kanan. Tidak kurang dia di label sebagai lelaki dayus dan pelbagai istilah lain yang agak memalukan.

Menurut Hafiz, dia tidak kisah dengan semua komen negatif yang diterima, sebaliknya hanya mengambil berat kepercayaan keluarganya.

“Kalau komen dalam laman sosial, saya tidak kisah apa orang cakap. Pelbagai istilah keluar termasuk ada yang menggelar saya kunyit (golongan homoseksual). Saya tahu diri saya dan apa yang berlaku sebenarnya. Benda paling teruk terpaksa saya hadapi ketika kontroversi itu berlaku adalah berhadapan dengan keluarga saya.

“Walaupun diserang dari pelbagai sudut saya kuat kerana keluarga. Akhirnya jika cerita tidak betul yang dikeluarkan ia akan jatuh fitnah,” ujar Hafiz.

Sungguhpun kelihatan kuat seperti tiada apa yang berlaku, tetapi kesannya kelihatan pada wajah dan berat badannya yang semakin menyusut.

Kongsi bekas ahli kumpulan nasyid UNIC itu lagi, meskipun tidak trauma dan serik terdapat kesan sampingan yang tidak dapat dielakkan.

“Saya tidak trauma tetapi mengakui apa yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak dapat dielakkan. Sebagai manusia biasa sudah tentu saya tertekan, tipulah kalau saya kata tidak terkesan langsung.

“Kekuatan saya adalah Allah dan keluarga. Sebagai orang Islam, kita harus percaya apa yang berlaku ada hikmah. Saya juga sentiasa berfikiran positif. Alhamdulillah kontroversi itu berlaku saya berada dalam keadaan bersedia dan dengan sokongan yang ada, saya mampu hadapinya,” kongsinya.

Mengakui masih kekal dengan status duda, penyanyi lagu Zikir Terapi Diri itu tidak serik dengan cinta dan wanita. Pernah bercerai bukanlah penghalang untuknya terus menikmati cinta seperti orang lain.

“Jodoh, saya tidak tahu ia akan datang bila? Boleh jadi hari ini atau esok. Kadangkala jika kita tidak cari, jodoh yang datang pada kita. Saya tidak serik, andai bertemu dengan wanita yang berkenan di hati, saya akan memulakan langkah,” luahnya sambil ketawa.

Menyentuh tentang kehidupannya, Hafiz menjelaskan, dia sudah lama membuka buku baharu dan kini memberi fokus kepada kerjaya.

“Selain sibuk dengan program motivasi, saya juga mencipta lagu untuk artis lain seperti Liza Hanim dan Ajak Shiro.

“Saya juga dalam proses persediaan untuk terbitkan program kembara sendiri yang akan disiarkan menerusi saluran YouTube dan platform media sosial lain. Saya sendiri yang akan bermula di Bosnia dan diikuti negara Eropah lain,” katanya.



Karya terapi

Dilanda kontroversi panas berkenaan putusnya jodoh tidak menghalang Sufian dan Hafiz untuk terus berkarya. Malah, episod patah hati itu merupakan detik terbaik untuk mereka berkarya meluahkan segala emosi di hati.

Maka lahirlah lagu berjudul Di Mata Mu ciptaan Sufian yang akan dilancarkan pada tarikh yang sepatutnya menjadi hari pernikahannya iaitu 23 atau 24 Mac ini. Meskipun lagu itu dibikin pada penghujung tahun lalu, namun ia amat relevan dengan keadaan Sufian sekarang.

“Saya seorang pemuzik dan selalu kongsi perasaan menerusi karya muzik. Sebenarnya, hampir kesemua lagu yang saya tulis bukanlah tentang perasaan ketika itu. Kebanyakannya berlaku secara kebetulan selepas lagu itu dikeluarkan. Saya anggap ia sebagai takdir lagu.

“Sebagai contoh, lagu Terasa Ada saya buat sebelum mengenali Elfira. Saat lagu itu dikeluarkan ia amat relevan dengan keadaan saya yang ketika itu bersamanya. Penghujung tahun lalu, saya buat sebuah lagu tentang meratapi cinta dan ia semakin relaven dengan keadaan saya sekarang. Semakin dekat dengan tarikh pernikahan, semakin bait-bait dalam lagu itu menjadi realiti,” kongsinya.

Begitu juga dengan Hafiz, selepas semuanya reda, dia melepaskan semua perasaan terbuku di hati menerusi lagu berjudul Jangan Berhenti. Lagu tersebut dicipta oleh Azlan Abu Hassan dan lirik dibuat oleh Hafiz sendiri.

Tambah Hafiz, lagu itu merupakan jawapan kepada semua persoalan khalayak kepadanya.

“Saya perlu ceritakan apa yang berlaku kepada orang ramai selepas kontroversi itu reda. Ramai bertanya bagaimana saya boleh kuat. Tidakkah saya berasa malu apabila ramai orang kenal saya kerana kes ini? Ya, saya dikenali kerana perkara kurang baik.

“Oleh itu saya tulis setiap bait lirik lagu ini dengan sangat berhati-hati. Setiap baris mempunyai maksud yang mendalam berkenaan apa yang berlaku,” ujarnya tentang lagu yang telah dikeluarkan di radio dan YouTube itu.

Kecundang mendakap cinta seperti yang diimpikan, ia tidak mematikan langkah kemas Sufian Suhaimi dan Hafiz Hamidun terus bangkit. Dua lelaki ini mempunyai jiwa besar dan banyak mimpi yang mahu direalisasikan dalam karier mereka. Jodoh, kata Sufian dan Hafiz ia pasti datang sendiri nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post