Semangat Ramzani Kassim atau Rem untuk terus kekal aktif di persada seni tidak pernah luntur walaupun ketika menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) tahun lalu dia tersingkir pada minggu ketiga.
Bagaaimanapun, Rem, 43, tetap bersyukur kerana walaupun hanya bertahan tiga minggu, GV3 tetap membantu namanya kembali menjadi sebutan termasuk dalam kalangan peminat generasi baru.
“Ia platform terbaik memperkenalkan artis lama kepada generasi sekarang dan pencinta muzik khususnya. Alhamdulillah, kesannya amat positif terhadap karier saya.
“Walaupun tersingkir pada minggu ketiga, sejak itu saya tak pernah duduk diam memenuhi tawaran undangan menyanyi di seluruh negara. Saya tak pernah kecewa walaupun gagal ke final GV3,” katanya.
Terbaru, penyanyi kelahiran Sarawak ini tampil dengan single berjudul Sinar Kasih.
Menurut Rem, lagu ciptaan Anuar Razak (A R) dan lirik tulisannya sendiri ini sebenarnya sudah disiapkan sebelum dia menyertai GV3.
“Apabila terpilih sebagai peserta GV3, saya kena lupakan dulu mengenai single ini kerana tumpuan sepenuhnya diperlukan untuk pertandingan itu.
“Sekarang masa terbaik untuk lagu ini diketengahkan kepada peminat. Lebih mudah, saya dapat fokus dan mempromosikan sepenuhnya tanpa berfikir mengenai komitmen lain,” katanya.
Dikenali dengan vokal unik menerusi pelbagai lagu antaranya Selingkar Kasih, Rem beruntung dapat bekerja dengan komposer dan penyanyi kumpulan Revolvers yang sudah lama dikaguminya ini.
“Saya kenal Abang Anuar pada satu program. Selepas itu saya pergi ke studionya dan terpikat dengan lagu ciptaannya apabila susunan muziknya berbeza daripada komposer lain.
“Lagu dihasilkan buat saya pula ada unsur orkestra yang tak pernah merasainya dalam album sebelum ini,” katanya.
Menurut Rem, kelainan lagu ini membuatkan dia tertarik dan terus berminat merakamkannya di bawah syarikatnya Rem Entertainment & Service.
“Saya anggap lagu ini sebagai hadiah buat peminat yang dah lama tertunggu-tunggu hasil terbaru saya. Ramai juga yang kecewa kerana terlalu lama menanti.
“Atas sokongan semua, saya akhirnya berjaya menyiapkan single ini. Syukur juga kerana Universal Music setuju menjadi pengedar. Untuk jualan fizikal saya kurang pasti tarikhnya tapi peminat boleh memilikinya menerusi jualan digital seperti di iTunes, Spotify dan JOOX,” katanya.
Masih tinggal di Kuala Lumpur
Seiring penghasilan lagu baru ini, imej Rem juga semakin dewasa dan matang berbanding dahulu.
“Saya pun dah berumur dan boleh dikatakan lagu ini sesuai dengan diri saya. Bagaimanapun, saya tetap akan menyanyikan lagu Selingkar Kasih, Semua Orang Tahu, Impian Cinta dan Erti Kasih kerana ini antara lagu wajib permintaan peminat ketika buat persembahan.
“Saya masih tinggal di Kuala Lumpur dan bukanlah balik kampung seperti yang difikirkan ramai orang. Cuma saya ada perniagaan katering di sana berkongsi dengan kakak dan perlu juga berulang-alik untuk memantau,” katanya.
Pernah berdepan cabaran getir antaranya makan nasi lemak di Chow Kit untuk ikat perut, naik bas mini dan sebagainya sebelum popular, Rem mengakui dia sekarang bukan lagi mahu bersaing malah jauh sekali mengejar glamor dalam seni.
“Yang penting sekarang ialah cari rezeki untuk saya makan esok, lusa dan hari seterusnya. Dunia glamor dan pelbagai anugerah sudah saya kecapi dulu.
“Sekarang masa untuk membahagiakan peminat saya dengan single Sinar Kasih,” katanya.
Peminat boleh mengikuti perkembangan lanjut Rem di Facebook dan Instagram dengan menaip remcassim.