Afiq Rosden berhenti kerja demi kejar cita-cita


Berbekalkan semangat dan kecintaan yang kuat terhadap dunia seni, aktor muda kelahiran Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Afiq Rosden ini sanggup meninggalkan profesionnya sebagai mekanik di sebuah syarikat permotoran terkenal demi merealisasikan cita-cita bergelar pelakon versatil suatu hari nanti.

Meskipun terpaksa berdepan dengan persaingan dari teman pelakon seangkatan yang pastinya sengit, namun itu tidak menjadi penghalang besar buat pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Rosden ini optimis mahu terus mengorak langkah dalam industri.

Enggan menoleh ke belakang, pemuda berusia 22 tahun ini menyifatkan situasi tersebut sebagai satu cabaran dalam seni yang masa depannya memang sukar untuk diramal.

“Saya percaya di dalam setiap yang dilakukan, pasti akan ada cabaran. Kalau tidak kuat, sudah tentu kita akan cepat mengalah. Bagaimanapun, berkat daripada sokongan keluarga dan kawan-kawan, semangat untuk terus kejar cita-cita itu kian berkobar-kobar.

“Biar saya sendiri masih belum tahu sejauh mana saya boleh pergi dalam dunia seni, namun setidak-tidaknya saya mencuba yang terbaik demi mencari kepuasan diri. Jadi sebab itulah saya tekad untuk berhenti kerja sebagai mekanik selama tiga tahun, seterusnya memberi sepenuh perhatian pada kerjaya sekarang. Sebab bagi saya, kalau mahukan sesuatu, kita kenalah berani,” katanya penuh azam kepada Media Hiburan.

Bermula dari bawah

Berkongsi mengenai penglibatan awalnya dalam industri, Afiq yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 2) ini menambah, pelawaan serta ajakan teman-teman untuk mencuba nasib dalam berlakon nyata mengubah gaya hidupnya.

Terdahulu, Afiq juga banyak mengisi masa di gim demi mendapatkan tubuh badan ideal. Lalu daripada situlah, aturan langkahnya berkembang apabila ada pihak yang menawarkannya untuk menjadi fitness model.

“Sejak itulah saya mula beranikan diri untuk cuba sesuatu yang baru. Malah ketika di tempat kerja lama pun, rakan-rakan ada cakap yang saya pasti punya harapan besar kalau cuba dunia seni. Kata mereka, mengapa tidak mencuba. Bermula dengan usikan, saya mula fikir mengapa tidak jadikan itu sebagai realiti.

“Alhamdulillah, meski masih lagu baru, namun sekurang-kurangnya saya sudah terlibat di dalam beberapa buah drama, termasuk iklan komersial,” terang Afiq yang baru saja selesai menjalani penggambaran iklan komersial sebuah produk penjagaan diri. Selain itu, anak ketiga dari empat beradik ini juga turut terlibat dalam drama 100 episod, Dendam Aurora di samping Nabila Huda dan Anzalna Nasir.

Terdahulu, Afiq juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Perempuan Paling Bahagia bersama Liza Abdullah dan Luqman Hafidz yang bakal bersiaran di Astro Oasis tidak lama lagi.


Tambah Afiq lagi sebagai muka baru, adalah suatu yang normal buat pelakon sepertinya untuk bermula daripada bawah. Justeru katanya, secara tidak langsung dia dapat mengutip ilmu lakonan, sekali gus mampu memberikan lakonan yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Sekalipun watak yang diterima adalah sebagai ekstra, saya tidak kisah sekiranya ia boleh beri pengalaman berbeza buat saya. Pengalaman merupakan suatu proses pembelajaran dan saya tidak mengambil sikap selektif kerana pada fasa sekarang, saya perlu bijak untuk mencari peluang,” terang Afiq yang turut memasang harap agar kehadirannya dalam dunia seni diterima baik peminat.

“Nama pun budak baru. Jadi tentulah saya mengharapkan sokongan daripada semua pihak, khasnya dari penggiat seni dan peminat. Semoga perjalanan saya yang baru saja bermula dalam seni ini akan dapat bertahan lama, insya-ALLAH,” harap Afiq yang menjadikan Shaheizy Sam sebagai sumber inspirasinya dalam lakonan.

Tak malu bertanya

Berkongsi mengenai figura yang menjadi inspirasinya itu, Afiq memberitahu dia kagumi Shaheizy kerana bakat lakonan yang disifatkan sebagai natural namun memberi aura memukau.

“Kalau nak diikutkan, Sam juga bermula daripada bawah yang tidak menjadikan ahli keluarganya yang lain sebagai tiket untuk terus dikenali. Malah, setiap watak yang dibawanya cukup memberi kesan. Berilah apa saja peranan, baik drama atau aksi, Sam pasti akan bawanya dengan sebaik mungkin. Saya juga mahu jadi sepertinya,” ujar Afiq positif.

Berkongsi mengenai apakah inisiatifnya untuk terus maju dalam seni, Afiq akui ada bertanya tip lakonan kepada pelakon senior lain.

“Kalau di set, saya ada juga bertanya kepada pelakon lain, yang lebih dulu terlibat dalam lakonan berbanding saya dan rata-ratanya memberikan input berguna untuk dipraktikkan. Soal segan atau malu bertanya itu tidak pernah timbul kerana sebagai ‘orang baru’, kita perlulah rajin untuk terus belajar, perbaiki sebarang kelemahan yang ada,” akhiri Afiq jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post