Nostalgia humor Piee


ALLAHYARHAM PIEE meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat sakit tua. Sepanjang hayatnya, beliau terkenal melalui lakonan spontan yang penuh humor dengan hanya berbekalkan namanya sendiri, Piee.

Nama Shafiee Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Piee pasti paling diingati menerusi filem-filem yang mengangkat tentang kehidupan masyarakat negeri Pulau Pinang.

Malah dalam setiap lakonannya, jarang sekali beliau diberikan nama watak selain daripadanya nama asalnya Piee. Nama Pie itulah menjadi unsur komedi yang tidak ternilai.

Terkenal dengan panggilan Pak Piee dalam kalangan pelaku seni, karienya bermula sebagai salah seorang ahli kumpulan Boria terkenal di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Boria Sungai Pinang.

Sifatnya humor dan bersahajanya mula dihidu oleh pengarah filem tempatan selepas melihat persembahan beliau.

Ironi, cita-cita asal anak jati Kedah ini bukanlah untuk menjadi terkenal atau mahu menempa nama dalam persada hiburan tempatan tetapi oleh kerana bakat yang ada padanya, ruang rezeki menjadi pelakon sering mengetuk pintu kehidupan Pak Piee.

Banyak kali tawaran berlakon ditolak kerana Pak Piee tidak berminat dengan hal-hal perfileman tetapi hatinya lembut juga apabila jalan ceritanya ada bersangkut-paut dengan masyarakat Pulau Pinang.

Dek kerana kasih sayangnya pada tradisi masyarakat Pulau Pinang, Pak Piee gagahkan diri untuk beraksi di layar perak dengan harapan masyarakat luar tahu tentang negeri kesayangannya itu.

Dalam satu temu bual bersama Pak Piee oleh Utusan Malaysia sekitar awal tahun lalu, beliau memberitahu niatnya berlakon hanya untuk membantu dan suka-suka sahaja.

Sepanjang terlibat dalam pembikinan sesebuah drama atau filem sepanjang 30 tahun ini, Pak Piee tidak pernah terlintas untuk meninggalkan pekerjaan tetap di syarikat perkapalan.

“Saya fikir mungkin dengan drama dan filem lakonan saya dapat mengetengahkan corak kehidupan dan budaya penduduk Pulau Pinang di negara ini.

“Tetapi tidak semua tawaran saya terima. Hanya tawaran yang dirasakan baik akan saya terima. Selepas dipersetujui saya akan memohon cuti daripada syarikat agar mudah untuk menjalani penggambaran,” jelasnya yang kali pertama berlakon filem pada tahun 1984 menerusi naskhah Minah Manja.

Namun kata-kata itu kini hanya tinggal kenangan buat peminat Pak Piee apabila beliau dijemput menghadap Penciptanya tepat pukul 9 malam kelmarin, pada usia 86 tahun, kerana sakit tua.

Lelaki dengan sosok tubuh kurus, hidung mancung dan loghat bicaranya bersahaja meninggal dunia di rumah anaknya, Subariah di Teluk Bahang, kediaman yang menjadi tempat berteduh aktor itu.

Saat mendengar perkhabaran perginya bintang pelawak boria ini, mungkin ada yang menganggap ia satu lagi cerita khabar angin seperti yang pernah tersebar tahun lalu tentang kematian Pak Pie.

Ketika itu, Pak Piee masih mampu tersenyum sambil mengatakan itu tandanya orang masih mengingati dirinya dan berdoa agar beliau dipanjangkan umur untuk meneruskan hidup di dunia.


Antara filem lakonan Piee termasuklah Nana Tanjung dan beberapa siri Mami Jarum.

Namun setelah ia disahkan sendiri oleh rakan baik beliau, Omar M. Hashim atau Omara, seluruh dunia hiburan seni tempatan bersedih atas kehilangan pelakon berbakat ini.

“Dia seorang sahabat yang baik dan sering menghiburkan orang dengan lawak-lawak spontannya.

“Walaupun soal kematiannya pernah dijadikan gurauan beberapa kali sebelum ini, Allahyarham tidak pernah terasa hati malah masih boleh berjenaka tentang hal itu,” ujar Omara ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menyorot kembali kerjaya seninya, nama Pak Piee semakin melonjak sekitar tahun 2000 apabila membintangi beberapa siri filem arahan Profesor A. Razak Mohaideen seperti Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Anak Mami Kembali dan Nana Tanjung yang meninggalkan kesan cukup mendalam terhadap penonton.

Persaraan

Lakonannya yang sering berpantun mengikut acuan sendiri, lawak bersahaja tetapi mempunyai maksud tersendiri. Menjadi atuk atau bapa yang kolot tetapi lucu sekali gus menjadikan lelaki bertubuh kecil, berhidung tinggi dan berkulit gelap itu pelakon kesayangan anak-anak muda di luar sana.

Namun setiap yang bermula pasti ada pengakhiran dan bagi Pak Piee, beliau mula berasa lelah menjadi anak seni ditambah dengan usia yang semakin lanjut, kerjaya seni semakin tidak relevan buatnya.

Oleh kerana itu, pada tahun 2011, selepas filem terakhirnya, Kongsi, Pak Piee bertekad untuk bersara sepenuhnya daripada industri hiburan serta kerja tetapnya di syarikat perkapalan dan mahu meluangkan masa bersama anak cucunya.

“Saya tidak lagi bekerja sejak mengambil keputusan untuk bersara walaupun ada tawaran lakonan yang diterima.

“Sekarang saya mahu berehat dan menghabiskan waktu terluang bersama cucu serta cicit,” katanya.

Walaupun tidak memiliki tubuh sasa persis hero Malaya yang lain, tiada ragu bahawa Pak Piee berada dalam kelasnya yang tersendiri dan tidak berlakon demi kepentingan peribadi.

Beliau telah meletakkan satu penanda aras apabila menjadi seorang pelawak yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan berjiwa besar demi memartabatkan warisan seni budaya masyarakat tempatan khususnya budaya masyarakat Pulau Pinang.

Semoga keikhlasan nurani sepanjang pembabitannya dalam dunia seni menjadi satu ikutan buat penggiat seni yang masih ada dan menjadi bekalan amal jariah Pak Piee menuju alam barzakh. Al-Fatihah.

Post a Comment

Previous Post Next Post