Bakat dihargai, June Lojong mahu aktif berlakon


Kata June Lojong, suaminya, Nam Ron sentiasa menyokong jika dia mahu aktif berlakon, namun wanita ini memilih untuk memberi keutamaan kepada keluarga mereka.

Ketika menerima tawaran untuk menjayakan watak Alina menerusi filem Redha, June Lojong tidak pernah mengimpikan penglibatan wperdananya sebagai pemain filem dipandang serius oleh banyak pihak.

Bermula dengan kritikan positif daripada penonton sebaik sahaja filem tersebut ditayangkan di layar lebar sekitar pertengahan tahun lalu, lakonan cemerlang June terus menjadi sebutan apabila wanita berusia 39 tahun itu dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi World Premieres Film Festival Philippines 2016.

Menambah manis kejayaan ibu kepada Demi Kasih, 11, Cahaya Chinta, 6, dan Yang Suci, 1, itu, nama June sekali lagi diiktiraf apabila dia diangkat sebagai Pelakon Wanita Harapan menerusi Festival Filem Malaysia ke-29 FFM29 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tergamam apabila namanya disebut sebagai penerima anugerah berkenaan, pemilik nama lengkap Junainah M. Lojong itu tidak meletakkan sebarang harapan terhadap penyertaan filem Redha menerusi FFM29.

Tambah June, kehadirannya ke majlis berprestij itu tempoh hari juga adalah sekadar menemankan suaminya, Nam Ron yang turut menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem yang sama.

KOSMO!: Tahniah June atas kemenangan ini.Bagaimanakah perasaan anda ketika diumumkan sebagai penerima anugerah Pelakon Wanita Harapan pada FFM29?

JUNE: Sukar untuk saya mengungkapkan perasaan saat nama diumumkan sebagai penerima anugerah.

Maklumlah, projek ini merupakan penglibatan pertama saya sebagai pelakon di layar lebar. Tambahan pula, saya masih baharu dalam industri dan perlu bersaing dengan pelakon-pelakon hebat lain.

Saya bersyukur kerana bakat yang ada dipandang dan dihargai. Terima kasih.

Anda berjaya meraih anugerah di luar negara pada tahun lalu. Adakah kejayaan tersebut memberi keyakinan kepada anda untuk kemenangan seterusnya di negara sendiri?

Tidak sama sekali. Seperti kita semua sedia maklum, penganjuran Festival Filem Malaysia pada tahun ini tidak menyenaraikan pencalonan Top 5 untuk semua kategori. Justeru, saya sendiri tidak tahu siapakah pesaing pada malam anugerah tersebut.

Adakah anda akan aktif berlakon selepas ini?

Saya baru selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Psikosis bagi penerbitan Karya 12 musim baharu. Insya-Allah jika ada kelapangan, saya boleh pertimbangkan tawaran lain.

Namun, buat masa ini, saya agak sibuk menguruskan keluarga. Tambahan pula, anak bongsu kami, Yang Suci masih menyusu badan.

Jika bersetuju sekalipun untuk menerima tawaran lakonan, saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan penerbit supaya tidak menyusahkan pihak mereka pada kemudian hari.

Bagaimana pula dengan suami? Adakah dia memberi sokongan jika anda mahu berlakon sepenuh masa?

Nam Ron tidak pernah menghalang saya untuk berlakon. Dia sentiasa memberikan sokongan kepada saya untuk berada di hadapan kamera. Cuma, saya perlu meneliti dengan lebih mendalam kerana menguruskan keluarga itu merupakan tugas utama.

Selepas menerima dua anugerah besar, adakah anda akan meletakkan diri anda sebagai seorang pelakon metod (pelakon serius)?

Sejujurnya, saya bukanlah seorang pelakon metod yang memilih karya. Label pelakon metod itu tidak datang daripada saya, sebaliknya ia merupakan pandangan penerbit atau pengarah terhadap keupayaan saya sebagai pemain drama atau filem.

Sebagai pelakon baharu, boleh kongsikan sedikit pandangan anda terhadap warna industri filem tempatan yang semakin suram sejak kebelakangan ini?

Sebenarnya situasi filem kita masih ada warnanya. Hal ini kerana, masyarakat kini bijak menilai naskhah mana yang bagus dan berkualiti. Pada masa yang sama, produser juga perlu banyak membikin filem-filem yang dekat dengan masyarakat supaya ia dapat diterima tanpa sebarang masalah.

Post a Comment

Previous Post Next Post