Alyah, Farawahida tak mahu saling membunuh


Syukur - Farawahida menganggap peluang berduet bersama Alyah sebagai rezeki yang datang buatnya.

Menyebut sepotong nama, Datin Alyah, pastinya sinonim dalam ingatan peminat perihal kelantangan vokal milik wanita berusia 36 tahun ini.

Menyelusur perjalanan seni Alyah atau nama lengkapnya, Noor Hasliah Abu Hasan itu, selain popular dengan lagu hit seperti Sesal Separuh Nyawa dan Kisah Hati, dia juga pernah berduet dengan seorang penyanyi lelaki bernama Riz menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.

Siapa sangka bertitik tolak daripada projek duet berkenaan, Alyah kemudian menyimpan impian untuk berkolaborasi bersama penyanyi wanita pula.

Ternyata hasrat untuk berduet menerusi lagu Mengapa Harus Aku, ciptaan Alfie Alwi dan lirik yang dihasilkan Alyah sendiri dipermudahkan apabila pencariannya dipertemukan dengan Farawahida.

“Selepas berduet bersama Riz, saya memang mengimpikan untuk berkolaborasi bersama penyanyi wanita yang memiliki tona suara berbeza dengan saya.

“Saya banyak bertanya kepada rakan-rakan dan mereka mencadangkan nama Farawahida. Sejujurnya, kami memang tidak pernah bekerjasama, namun selepas membuat kajian dan mendengar suaranya, saya bersetuju dia adalah wanita yang dicari itu,” kata Alyah yang ditemui usai majlis pelancaran single Mengapa Harus Aku di Mydin Mall, USJ Subang Jaya baru-baru ini.


Alyah & Farawahida - Mengapa Harus Aku

Paduan vokal

Mengambil masa selama lima bulan untuk mencari penyanyi yang benar-benar sesuai, Alyah menyifatkan pemilihan Farawahida adalah kerana dia mempunyai suara yang begitu unik.

Ujar Alyah, keserasian antara mereka juga wujud dengan begitu mudah, apatah lagi Farawahida bijak menghayati lagu yang ditulisnya itu dengan cepat.

“Farawahida mempunyai suara yang berbeza berbanding vokal saya. Perkara ini penting kerana saya mahu apabila orang mendengar lagu ini, mudah untuk mereka membezakan antara suara saya dan dia.

“Lirik lagu ini saya cipta berdasarkan pengalaman semasa yang banyak menyaksikan kisah kecurangan dalam sesebuah perhubungan. Sedikit sebanyak saya ambil daripada pengalaman hidup rakan-rakan terdekat dan kisah yang tular dalam media sosial sekarang,” terangnya.

Sebagai isteri kepada konduktor muzik, Datuk Ramli MS, Alyah kemudian diusik soal nasihat suaminya ketika berhasrat membawakan lagu duet.

Menggenggam kemas nasihat berharga daripada suami, ujar Alyah, dia sentiasa menanamkan sifat tidak mahu saling ‘membunuh’ antara pasangan duetnya.

“Saya masih ingat pesan suami yang mengatakan menyanyi lagu secara duet sebenarnya mencabar. Kebanyakan penyanyi duet akan cuba ‘membunuh’ pasangan mereka dengan mempamerkan kekuatan vokal masing-masing.

“Sebolehnya, saya tanamkan nasihat beliau dan tidak mahu perkara itu berlaku. Tiada istilah ‘membunuh’ pasangan duet dalam lagu Mengapa Harus Aku ini kerana kedua-duanya mempunyai vokal yang berlainan,” kongsi Alyah yang bakal tampil dengan single solo berjudul Jutaan Purnama tidak lama lagi.

Dalam pada itu, sempat ditanya perihal usia perkahwinannya dengan Ramli yang kini memasuki tahun kelima, Alyah kemudian mengukir senyuman.

Kelihatan terbuka bercerita tentang kisah rumah tangga yang jarang dikongsi, ujar wanita kelahiran Gelang Patah, Johor Bahru itu, kehidupannya bersama Ramli bahagia dan berjalan dengan lancar.

Pun begitu, seperti pasangan lain, Alyah juga tidak terlepas daripada diajukan soalan berkenaan zuriat.

“Tipulah jika saya katakan tidak sedih apabila melihat anak kecil. Tambahan pula orang sering bertanya bila saya ingin menimang cahaya mata sendiri.

“Saya selalu memujuk hati dengan menonton ceramah agama. Ada sebabnya mengapa Allah tidak bagi rezeki anak kepada kami sekarang, namun saya tidak pernah sekali putus berdoa untuk perkara itu,” katanya yang mempunyai dua orang anak angkat berusia 12 dan 10 tahun.

Bahagia

Berbalik semula tentang single Mengapa Harus Aku, Farawahida yang berada di sisi Alyah pula memanjatkan rasa syukur kerana dalam deretan nama penyanyi wanita lain, dirinya menjadi pilihan untuk mendendangkan lagu berkenaan.

“Ketika Alyah menelefon pengurus dan menyatakan hasrat untuk berduet bersama, walaupun belum mendengar lagu berkenaan, namun hati saya sudah 60 peratus yakin untuk menerima tawaran itu.

“Bayangkan, kami tidak pernah duduk semeja tetapi dia mengajak saya untuk berduet bersama. Alyah mempunyai nama besar dan vokal yang tidak perlu dipertikaikan, jadi saya anggap tawaran itu sebagai rezeki,” katanya.

Ditebak soal dirinya menumpang populariti Alyah memandangkan sudah enam tahun tidak tampil dengan sebarang lagu baharu, wanita berusia 32 tahun itu tersenyum seketika.

Dengan tenang, pemilik nama lengkap, Farawahida Razali itu menepis dakwaan tersebut. Malah, penuh optimis wanita itu juga mengakui tidak kisah dengan pandangan peminat seandainya mereka melihat vokal Alyah lebih ke hadapan dalam lagu berkenaan.

“Sebenarnya tiada istilah bergantung atau menumpang populariti kerana mengikut permulaan kisah pembikinan lagu ini, Alyah yang mula menawarkan untuk berduet dengan saya.

“Saya juga menerima tawaran ini kerana merasakan dia seorang penyanyi yang bagus dan yakin suara saya mempunyai karakter tersendiri.

“Sepanjang bekerjasama, Alyah selalu memberi ruang untuk saya menyuarakan pendapat kerana tidak mahu terbit perasaan siapa yang lebih bagus antara kami.

“Bagaimanapun, sekiranya peminat melihat hal sebaliknya, saya tetap tidak kisah kerana setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelebihan tersendiri,” ujarnya yang mula merakamkan lagu berkenaan sekitar bulan Mac lalu.

Sementara itu, ditanya soal perkembangan terkini Farawahida, pelantun lagu Tanpamu itu menyasarkan tempoh enam bulan akan datang untuk mengeluarkan sebuah single baharu. Belum menjalani sebarang proses rakaman, lagu baharu itu mendapat sentuhan komposer Manusia Putih.

Privasi

“Semua orang tahu saya bergerak sendiri dan perlu mengatur kerjaya seni tanpa bantuan orang lain. Punca utama saya lambat menghasilkan single sendiri kerana tidak mahu menjadi penyanyi yang syok sendiri, selain mahu memahami situasi dan kehendak pendengar sekarang.

“Saya perlu menitikberatkan semua aspek sebelum tampil dengan single baharu. Buat masa ini biarlah saya fokus dalam mempromosikan single duet ini,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Farawahida diusik perihal rumah tangga yang dibina bersama Abdul Shukur Mohd. Zain pada tahun 2013.

Hubungan mereka didakwa sedang bergoyang ekoran tindakan Farawahida yang sangat jarang berkongsi gambar bersama suaminya di laman sosial.

Mengakui pernah dihujani pelbagai mesej daripada orang yang tidak dikenali yang bertanya tentang status dirinya, dengan nada tenang kongsi Farawahida, dia masih memegang status seorang isteri kepada Shukur dan rumah tangga mereka bahagia.

“Sebagai seorang artis, terdapat beberapa perkara yang perlu dan tidak perlu saya kongsi kepada peminat. Semasa bercinta dahulu juga saya tidak suka mendedahkan kepada masyarakat dengan siapa saya berkawan.

“Saya memang tidak akan berkongsi hal peribadi kepada peminat melainkan aktiviti harian seperti aktiviti memasak dan bersukan.

“Suami juga mempunyai pendirian yang sama, jadi sebagai isteri saya perlu menghormati kehendaknya,” ujarnya yang turut meletakkan soal zuriat kepada rezeki yang ditentukan Allah.

Post a Comment

Previous Post Next Post