Yus Padi.
KOS sara hidup meningkat mendorong masyarakat kini melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa.
Begitu juga dengan jejaka berusia 30 tahun ini yang baru berjinak dalam dunia peragaan selain menjadi pelakon tambahan sejak empat tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd Yusuf Razali atau lebih selesa dengan nama Yus Padi ini, biarpun bergelar penjawat awam, namun minat dan ajakan rakan membawanya ke dunia seni.
“Saya hanya berjawatan kecil saja. Tapi kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur mendorong saya untuk bekerja sampingan.
“Saya sudah menjadi pelakon extra sejak 2013 menerusi filem Tembus arahan Ahmad Idham dan kemudiannya beberapa drama termasuk Gerak Khas.
“Kemudian saya menyertai pertandingan Mister Planet Malaysia sehingga ke peringkat akhir pada 2015.
“Dari situ, kawan-kawan ajak pula ke dalam pentas peragaan,” ujarnya kepada Media Hiburan.
Biarpun mempunyai komitmen terhadap kerja tetap, namun ujar Yus, apa yang penting adalah pengurusan masa yang betul.
Jelasnya, dia hanya menerima tawaran peragaan atau berlakon pada hujung minggu.
“Namun andai ada tawaran yang memerlukannya hadir pada hari bekerja, saya akan ambil cuti lebih awal.
“Biasanya kalau job modelling memang akan tahu lebih awal. Contoh seminggu atau dua minggu awal. Jadi mudah untuk saya menyusun jadual kerja, cuti dan sebagainya,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan rakan sejawat terhadap kerja sampingannya ini, Yus berkata, rata-rata rakannya termasuk pegawai atasan tahu kerjaya sampingannya dan sering memberikan sokongan.
“Mereka tidak pernah kritik atau memuji tapi saya tahu mereka menyokong. Lebih-lebih lagi kawan-kawan sebab apa saja aktiviti yang saya lakukan, biasanya saya akan kongsi di media sosial.
“Begitu juga dengan keluarga. Mereka sentiasa sokong apa yang saya lakukan, asalkan ia tidak melanggar batas norma dan undang-undang,” katanya.
Pahit manis di awal perjalanan
Berkongsi pengalaman pahit manisnya di dalam industri, anak kelahiran Gerik, Perak ini juga tidak terlepas dari melalui pelbagai cabaran yang dianggap mematangkan diri.
“Kalau sebagai pelakon tak ada kenangan pahit sangat. Selalunya saya sertai produksi yang dikenali dan memang ada nama.
“Saya bukan demand, tak kisah dapat tawaran dari produksi baru pun kerana masih lagi dalam proses menimba pengalaman.
“Cuma dari segi tawaran modelling saja yang pernah tertipu. Contohnya panggil saya untuk tawaran A dengan bayaran sekian. Tapi bila datang bayar rendah. Ada juga yang suruh datang untuk buat peragaan, tapi bila datang cancel. Paling saya tak boleh lupakan, suruh datang untuk memperagakan pakaian lelaki, tapi bila datang rupanya pakaian dalam.
“Saya memang tak buat. Walaupun bayar tinggi, sebab ada batas dan hadnya. Bukan hanya kerana sebagai penjawat awam, tapi dari sudut agama juga,” jelasnya.
Tidak hanya pernah ditipu, katanya, ada juga beberapa individu pernah mendekati dirinya kerana melihat dia berada dalam dunia glamour.
“Mereka fikir bila kita pernah berlakon, buat modelling, kita ada akses besar dan mudah. Tapi sebenarnya sama saja. Kadang kala ada yang contact saya hanya untuk ajak kahwin dan sehingga kini masih belum berputus asa.
“Gangguan itu bukan dari perempuan saja, tapi juga dari lelaki yang tiba-tiba datang mendekati. Bagaimanapun saya jadikan mereka ini sebagai pengajaran untuk saya mengenali mana kawan dan mana lawan,” ujarnya.
Perancangan jangka panjang
Berkongsi perancangannya, Yus meletak tempoh lima tahun untuk menimba pengalaman seterusnya menceburi bidang perniagaan pula selepas ini.
Tidak hanya bidang perniagaan, Yus juga berharap dapat menceburi bidang lakonan secara serius.
“Masalah utama saya adalah masa dan komitmen. Macam sekarang pun ada tawaran saya terpaksa tolak kerana masa yang agak terhad.
“Tapi andai diberi peluang, saya teringin untuk berlakon dan menjayakan watak antagonis. Saya harap suatu hari nanti ada peluang untuk saya berbuat demikian tanpa meninggalkan kerjaya kini,” akhirinya.