Suhaimi Saad, Ina Naim berhijrah ke Kelantan


Lama tidak mendengar khabar berita bekas ahli kumpulan nasyid popular In-Team, Suhaimi Saad, rupa-rupanya sudah setahun berhijrah bersama keluarga dan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Suhaimi,38, berkata, dia dan isteri, Ina Naim atau sebenarnya Nordiana Md Naim, 34, mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak setahun lalu.

Katanya, keputusan dibuat selepas perbincangan dengan Ina yang bersetuju berpindah kerana tuntutan kerjaya dan juga berada lebih dekat dengan dua putera mereka, Ehmad Hadie El Fardie, 10 dan Sallman El Khoyri,8, yang kini sedang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Bachok, Kelantan.

“Segala-galanya bermula apabila saya kerap mendapat undangan daripada Kelantan dan Terengganu. Kami sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke dua negeri itu untuk membuat persembahan, dari situ timbul ideal pindah ke Kelantan.

“Kebetulan juga, dua anak memang sedang belajar di Bachok, jadi masa saya suarakan hasrat untuk pindah tinggal di Kelantan, Ina terus setuju atas sebab dua daripada empat anak kami itu berada di sini,” katanya yang berkunjung ke Pejabat Sinar Harian, Kelantan, semalam.





Kata Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad yang sudah 10 tahun bergerak secara solo daripada kumpulan In-Team itu, rezeki selepas hijrah semakin melimpah apabila berterusan mendapat undangan dan jemputan mengadakan persembahan di serata negeri Kelantan dan Terengganu.

Dalam tempoh itu, penyanyi berusia 35 tahun ini sudah menghasilkan empat album solo iaitu Kias Cinta (2006), Kalamak (2008), Zikir Selawat dan Doa (2013) serta Maksud Hidup (2015). Terbaru Suhaimi bakal mengadakan Konsert Reuniteam 2018 anjuran Karya Mosus pertama kali pada 14 September nanti.

“Konsert bakal menyatukan kelima-lima penyanyi kumpulan In-Team pada jam 9 malam di Dewan Jubli Perak dengan tiket bermula RM20 (bronze); RM50 (silver) dan RM100 (gold) yang boleh didapati di facebook Konsert Reuniteam atau whatapps 010-276 9675 dan 019 994 5993.

“Insyallah pada konsert itu nanti, penonton akan dihiburkan dengan lebih 15 lagu seperti Kasih Kekasih; Rabiatul Adawiyah; Setanggi Syurga; Dia Muhammad; Nur Kasih dan banyak lagi,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post