Haff Ridzuan semakin laris


Haff pernah menjadi wartawan hiburan selama empat bulan sebelum bergelar pelakon.

BIARPUN usia penglibatannya dalam dunia hiburan masih hijau, namun boleh dikatakan jejaka tinggi lampai itu antara wajah baharu yang semakin laris dalam kalangan penerbit drama sejak kebelakangan ini.

Kehadiran Haff Ridzuan, 27, dalam industri bermula menerusi drama pertama lakonannya berjudul Seindah Takdir Cinta. Dalam drama tersebut, dia bergandingan bersama pelakon seperti Amyra Rosli, Redza Rosli dan Saharul Ridzwan.

Bakat lakonan jejaka itu pantas dihidu penerbit drama apabila semakin kencang tawaran diterimanya sehingga diberi kepercayaan memegang watak dalam drama Meh Sandar Pada Aku, Tanah Kubur musim ke-15 dan Bibah Bebel.

Semakin laris menjadi buruan penerbit drama, tuah jejaka kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu semakin menyinar apabila ditawarkan sebagai teraju utama dalam drama Amsyar yang bersiaran di slot Azalea, TV9.

Menganggap itu semua sebagai rezeki terpijak, pemilik nama sebenar Muhammad Hafizudin Ridzuan itu bagaimanapun bersyukur kerana minat dan bakatnya dalam bidang lakonan mendapat perhatian.

“Saya tidak sangka bakat lakonan dihidu oleh pengarah dan pelakon Sheila Rusly yang meminta saya menjalani uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Tidak sangka tuah dan rezeki menyebelahi diri.

“Walaupun baru aktif dalam bidang lakonan sejak bulan April tahun lalu tetapi tawaran tidak henti-henti datang. Alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Menyingkap latar belakang lelaki berusia 27 tahun itu, dia pernah bertugas sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan selama empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan bergelar wartawan hiburan pada awal tahun lalu.

“Saya hanya bergelar wartawan hiburan selama empat bulan sahaja kerana terpilih menjadi pelakon apabila mencuba nasib menyertai uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL),” katanya.

Biarpun merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan di Malaysia Institute of Aviation Technology (MIAT) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Sepang, Selangor namun minatnya lebih tertumpu kepada dunia lakonan.

“Saya memang suka berlakon. Sejak sekolah rendah lagi, saya banyak menyertai persembahan lakonan teater tetapi keluarga tidak memberi restu untuk terlibat dalam dunia hiburan.

“Berikutan itu, saya beralih arah mengambil bidang kejuruteraan penerbangan sewaktu menyambung pelajaran dan bekerja sebagai pramugara. Bagaimanapun, bak kata orang kalau sudah minat, kita akan lakukan apa sahaja untuk mencapai impian,” ujarnya.

Dia mengakui dalam dunia hiburan terdapat pasang surut dan terpaksa berdepan dengan situasi kewangan yang gawat sewaktu mula-mula bergelar pelakon tetapi yakin rezeki terdapat di mana-mana asalkan sentiasa berusaha lebih.

Semakin mendapat kepercayaan dalam kalangan penerbit drama, Haff bagaimanapun mengakui sasarannya pada 2017 adalah untuk menguasai lebih banyak watak demi mengukuhkan namanya dalam industri.

“Setakat ini, saya mahu sasarkan watak yang pelbagai dalam drama dan masih belum terfikir untuk berlakon filem. Sebab pada saya, drama adalah jalan terbaik untuk menyerlahkan bakat kerana ia hanya mengambil masa yang singkat untuk disiarkan,” ujarnya.

Dia kini sedang sibuk dalam penggambaran drama terbaharu berjudul Misi Laksa dan Laksam yang bakal ditayangkan di slot Dahlia, TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post