Syuk Joras kini deejay Hot FM


Syuk memastikan dirinya mendapat rehat dan tidur yang cukup demi tumpuan sepanjang mengendalikan segmen Gang Pagi Hot tidak terganggu.

BERBEKALKAN pengalaman sebagai juruhebah radio dalam talian (online), pelawak popular yang pernah dikenali sebagai Syuk Balas atau Mohamad Shukri Mohamed kini menggalas tanggungjawab sebagai deejay radio stesen Hot FM.

Tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan tawaran tersebut, Syuk pantas meluahkan rasa setuju dan menerima rezeki yang datang dengan hati terbuka.

“Saya menerima tawaran sebagai deejay radio kerana ia menawarkan pendapatan yang tetap selain masa depan yang lebih terjamin.

“Tambahan, sebelum ini saya pernah menjadi deejay di sebuah stesen radio dan juruhebah radio online, jadi perkara tersebut mendorong untuk menerima tawaran bekerja di Hot FM tanpa perlu berfikir panjang,” ujar pelakon filem Keranda Tok Wan Terbang itu ceria.

Mengendalikan segmen Gang Pagi Hot bermula 9 Januari depan, Syuk akan bergandingan dengan pelawak Ajak dan Fizie untuk menceriakan pendengar setia stesen Hot FM.

Segmen yang bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi itu akan mempamerkan kreativiti Syuk dalam berkongsi maklumat serta menyampaikan lawak jenaka secara audio kepada pendengar.

Mengakui corak penyampaian antara televisyen dan radio agak berbeza, Syuk tidak menjadikan perkara tersebut sebagai penghalang baginya mengembangkan bakat.

“Memang persembahan di kaca televisyen dan penyampaian radio mempunyai perbezaan namun ia tidak terlalu ketara kerana kedua-duanya memerlukan individu yang petah berbicara.

“Selain itu, saya juga berasa lega kerana tidak perlu mempamerkan wajah kepada pendengar kerana tidak kacak seperti Aaron Aziz,” seloroh Syuk.


GANDINGAN Gang Pagi Hot (dari kiri), Syuk, Ajak dan Fizie. Trio baharu ini memulakan tugas rasmi hari ini (9 Januari).

Menjadi langkah persediaan bagi menggalas tanggungjawab baharu, Syuk memastikan dia mendapat rehat dan tidur yang cukup berikutan segmen kendaliannya memulakan siaran pada pukul enam pagi.

Setia bersama Joras

Biarpun kini bergelar deejay, Syuk tetap meneruskan kerjayanya sebagai pelawak dan dijadualkan akan menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) pada Februari nanti.

Kekal setia bersama dua ahli kumpulan Joras yang lain, keserasiannya dengan Rahim dan Joey membuatkan Syuk meneruskan perjuangan sebagai pelawak bersama mereka.

“Berdasarkan kejayaan yang berjaya diperoleh pada tahun lalu iaitu menyandang gelaran naib juara dalam MLM2017, saya bersetuju untuk bersama mereka,” jelas Syuk bersungguh-sungguh.

Sepanjang pertandingan tersebut, dia juga tidak akan menerima sebarang tawaran lakonan kerana bimbang akan mengganggu konsentrasinya kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post