Karakter Arif, pikat hati Ainan


SESUNGGUHNYA jodoh merupakan rahsia Ilahi, tidak siapa boleh menjangka kehadirannya. Mungkin bagi sesetengah pasangan, berkawanlah seribu tahun pun, andai bukan tertulis jodoh, lambat laun terpisah jua.

Bagi sesetengah pasangan lain, hal sebaliknya pula berlaku. Ketika itu, hanya kepercayaan dan sandaran kuat terhadap tali bernama jodoh yang telah ditetapkan Ilahi menjadi pendorong untuk bersama-sama menempuh kehidupan baharu.

Begitulah definisi yang menggambarkan hubungan cinta penyanyi yang mula dikenali melalui laman YouTube, Ainan Tasneem bersama pilihan hatinya, Mohd. Ariffudin Mohd. Swaimi.

Berkenalan hanya dalam masa lima bulan, pasangan sama cantik sama padan itu nekad memateri cinta dengan ikatan suci bernama perkahwinan. Mereka bernikah pada sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada remang petang Jumaat lalu.

Tampil menawan dengan persalinan berona putih hasil sentuhan Wajie Ibrahim, Ainan atau nama lengkapnya Ainan Tasneem Ridzuan sah menjadi isteri kepada Mohd. Arifuddin, seorang jurutera hanya dengan sekali lafaz.

Wanita berusia 24 tahun itu dinikahkan oleh bapanya, Dr. Ridzuan Mohd. Sagir dan menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta lima dulang hantaran. Pihak pengantin lelaki pula menerima tujuh dulang hantaran sebagai balasan.

Resepsi

Diraikan oleh kira-kira 1,500 tetamu pada majlis resepsi di Hotel Grand Bluewave Shah Alam sehari selepas majlis akad nikah, Ainan dan pasangan kelihatan begitu berseri dalam balutan kemas busana berwarna kelabu sentuhan kreatif Butik Cinta Fifi.

Kedua-keduanya tersenyum manis saat melangkah ke pelaminan yang tersergam indah bertemakan Inggeris. Sambil memegang erat tangan si isteri, Arif menyatakan rasa syukur kerana perkenalan singkat bersama Ainan berakhir dengan ikatan yang sah.


SELESA Sikap Ainan yang mudah serasi sejak awal perkenalan membuatkan Arif yakin untuk meneruskan hubungan mereka ke arah yang lebih serius dan kini sudah selamat bergelar suami isteri.

“Alhamdulillah, saya sungguh bersyukur dengan perkahwinan ini. Kedua-dua majlis berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Saya juga gembira, walaupun dalam perkenalan yang singkat namun hubungan kami dapat diterima dengan terbuka oleh kedua-dua belah keluarga,” katanya tersenyum.

Menyorot kembali kisah awal perkenalan antara pasangan mempelai itu sekitar lima bulan lalu, sambil tersenyum Ainan yang berada di sisi suaminya memberitahu, detik manis tersebut bermula daripada seorang kenalan mereka.

Mengakui mudah mendapatkan keserasian sejak pertama kali berhubung melalui WhatsApp, lamaran Arif sebulan kemudian disahut dengan hati berbunga riang.

“Kami berkenalan melalui seorang rakan. Dia yang bertindak memberikan nombor telefon saya kepada suami. Kesungguhan suami ketika itu membuatkan saya begitu selesa berkawan dengannya.

“Selepas sebulan berkenalan, suami menyatakan hasrat ingin mendirikan rumah tangga. Ketika itu saya memintanya berjumpa dengan keluarga dan apabila kedua-dua keluarga bersetuju, kami terus menetapkan untuk berkahwin,” ceritanya tertawa.

Tambah penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di Universiti Teknologi Mara kampus Shah Alam itu, sepanjang perkenalan, dia begitu tertarik dengan karakter dimiliki oleh Arif yang disifatkan hampir sama dengan ciri-ciri ayahnya.

“Dua minggu sebelum berkenalan dengan Arif, saya pergi menunaikan umrah. Semasa di sana saya berdoa agar ditemukan jodoh yang baik dan mempunyai karakter seperti ayah saya.

“Apabila pulang ke Malaysia, saya terus diperkenalkan dengannya. Ketika itu saya mula perasaan terlalu banyak ciri-ciri ayah dalam dirinya. Secara kebetulan, suami juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan ayah,” ujarnya yang turut membuat solat Istikharah setiap hari untuk mendapatkan petunjuk.

Sengaja diusik mengenai kriteria milik Arif hingga membuatkan menawan hatinya, kongsi Ainan, lelaki itu merupakan seorang yang rajin mendalami ilmu agama.


KERJAYA Ainan Tasneem dijangka bakal menamatkan pengajian pada bulan Mei nanti, selepas itu dia merancang untuk membina kerjaya sebagai pensyarah terlebih dulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah kedoktoran.

“Pada waktu sekarang, agak sukar untuk mencari lelaki yang rajin belajar agama terutamanya ketika hujung minggu. Walaupun bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Klang, Selangor, dia pasti akan mencari masa untuk menyertai usrah atau pergi belajar agama.

“Bukan itu sahaja, cara dia melayan keluarganya juga membuatkan hati saya tenang dan yakin untuk menerimanya sebagai suami,” terang Ainan yang akan diraikan dalam majlis bertandang di rumah pengantin lelaki di Pahang pada 21 Januari ini

Perancangan

Membawa bicara soal cahaya mata, tanpa berselindung pasangan itu memberitahu, tidak pernah merancang dan bersikap terbuka sekiranya dikurniakan zuriat dalam tempoh terdekat.

Mengimpikan mempunyai empat orang cahaya mata seperti bilangan adik-beradiknya, mereka bagaimanapun sepakat menyerahkan semua terhadap rezeki Ilahi.

“Jika diikutkan bilangan, saya ingin mempunyai empat orang anak. Saya merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan perkara itu membuatkan saya terbiasa dengan keadaan riuh-rendah,” katanya yang akan terbang ke Bali, Indonesia untuk berbulan madu pada 23 Januari ini.

Menyentuh soal kerjaya pula, umum mengetahui keputusan Ainan yang tidak mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi selepas berkahwin. Mengakui masih mempunyai kontrak bersama syarikat rakaman MVM Music sehingga April depan, Ainan berkata keputusan tersebut bukanlah bermakna dia menghilang terus daripada dunia seni.

Aina malah bersikap terbuka untuk mencuba bidang baharu yang disifatkan lebih menarik. Beruntung kerana mempunyai suami yang memahami dan menyokong keputusannya, ujar Ainan dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menjadi pengacara.

“Sebenarnya keputusan untuk berhenti menyanyi ini sudah lama. Syarikat rakaman menerima keputusan saya dengan hati terbuka. Suami juga menyokong keputusan itu.

“Namun, ia bukan bermakna saya terus menghilangkan diri daripada dunia seni. Saya pernah menjadi pengacara untuk rancangan Live It Up terbitan RTM, rasanya pengacaraan juga sangat menarik.

“Begitu juga dengan lakonan tetapi ia bergantung juga terhadap jalan cerita dan kesesuaian masa,” ujarnya seraya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post