Kemunculan selepas 11 tahun Ruffedge


Tempoh lebih 10 tahun dahulu, kumpulan Ruffedge yang pernah popular menerusi lagu Bayangan ‘hilang’ daripada radar industri hiburan tanah air selepas kesemua anggotanya memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Biarpun mereka kini sudah berusia 40-an, namun itu tidak menghalang untuk Ruffedge kembali merancakkan industri hiburan dengan perancangan mengeluarkan lagu baharu.

Perkara itu dikongsikan lima anggotanya iaitu Farrish Zaquan Ramli (Cat Farish), Mohd. Kamaruzaman Zain Abdul Hamid (Zain), Azan Addin Abdul Wahab (Azan), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode) dan Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) ketika ditemui pada majlis pengumuman senarai lima calon terbaik Anugerah MeleTop 2018 (AME2018) di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Bertahun lamanya tidak mendengar khabar dan melihat kemunculan Ruffedge. Apa agaknya perkembangan terkini yang boleh dikongsikan kepada peminat?

RUFFEDGE: Alhamdulillah, sebenarnya kami sentiasa ada dan tidak pernah terjadi perpecahan antara ahli kumpulan. Cuma dulu masing-masing ada haluan sendiri untuk dibawa, jadi tempoh 11 tahun lalu adalah waktu kami ‘berehat’ daripada beraksi sebagai sebuah kumpulan.

Sekarang adalah masa yang tepat dirasakan untuk kami kembali memeriahkan industri. Sebenarnya hasrat untuk membuat kemunculan semula sudah dirancang sejak dua tahun lalu selepas Amer Munawer menyuarakan ideanya. Bagaimanapun, Amer tidak dapat bersama untuk kemunculan semula ini kerana dia berada di Oman.

Sebab itu sejak 2016, kami memang banyak bertemu dan menghabiskan masa bersama-sama. Dari situ memang ada perancangan, cuma rezeki belum ada. Sehingga tahun ini, barulah terbuka jalan itu.

Jadi, mungkin kalian ada buah tangan terbaharu buat peminat?

Memang betul, kami bakal muncul dengan sebuah lagu baharu seiring dengan kemunculan semula Ruffedge. Peminat muzik R&B soul sentiasa menagih lagu baharu, manakala kami sendiri juga pun mahu memeriahkan industri muzik dengan genre sebegitu. Jadi, sekarang adalah masa untuk memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak.

Senang kata, saling memberi dan menerima. Cuma selepas lebih 10 tahun, kami perlu memberi sesuatu yang berkualiti demi tidak menghampakan peminat.

Bagaimana pula dengan genre? Adakah kalian akan mengekalkan genre asli Ruffedge seperti dahulu?

Itu sudah tentu. Tiada yang akan berubah dengan genre Ruffedge. Biarpun sedar dengan pasaran muzik pada masa kini yang lebih kepada irama 1990-an tetapi kami sama sekali tidak akan terikat dengan keadaan semasa. Sebagai penghibur, kami perlu seimbangkan antara apa yang peminat dan diri sendiri mahu.





Adakah itu akan berlaku meskipun pasaran muzik pada waktu ini lebih ke arah irama balada 1990-an?

Bagi kami, itu semua pilihan masing-masing. Masing-masing ada telinga dan selera, jadi kami cuma mempersembahkan genre yang kami perjuangkan. Pada waktu mula-mula mahu membina karier pun, irama inilah yang mendominasi pasaran ketika itu.

Jadi, tiada beza dengan zaman sekarang sebab semua genre muzik ada kelompok peminat masing-masing. Kami percaya, setiap jenis muzik akan ada pasaran dan peminat tersendiri sebab muzik itu sama.

Apakah perasaan kalian apabila berpeluang membuat kemunculan semula bersama semua ahli kumpulan asal?

Sudah tentu teruja, cuma kami rasa mungkin akan mengambil sedikit masa untuk merapatkan kembali keserasian bersama kerana sudah lama tidak menyanyi bersama.

Satu hal yang membuatkan kami bertambah teruja adalah perkembangan teknologi yang semakin canggih pada zaman sekarang. Contoh paling mudah adalah autotune atau suntingan suara ketika merakamkan lagu. Kalau zaman dahulu, kami terpaksa ulang menyanyi berpuluh kali. Berbanding zaman sekarang, semuanya boleh diselesaikan dengan mudah.

Difahamkan kalian bakal muncul di pentas AME2018 pada 8 April depan. Jadi apa persiapan untuk itu?

Kalau ditanya persiapan, kami semua sudah bersedia sejak merancang untuk membuat kemunculan semula dua tahun lepas lagi. Jadi, semuanya dalam keadaan tenang kerana perancangan pada malam persembahan sudah dibincangkan.

Insya-Allah, pada malam itu peminat akan dihiburkan dengan barisan lagu popular daripada album lama kami.

SELEPAS 11 tahun, Ruffedge kembali merancakkan dunia hiburan dengan lagu terbaharu tidak lama lagi selain merancang mengadakan konsert reunion bersama peminat.

LIMA anggota Ruffedge iaitu (dari kiri) Cat Farish, Azan, Sein, Mode dan Zain teguh mempertahankan genre R&B soul biarpun menyedari pasaran muzik kini yang lebih menjurus ke arah irama balada 1990-an.

Post a Comment

Previous Post Next Post