Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah pancing setiausaha


Jamal (empat dari kanan) dan Dayang (enam dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada kakitangan Hotel Tenera.

Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah pertama kali dan berkongsi pentas dengan Dayang Nurfaizah sempena menjayakan sambutan Minggu Setiausaha.

Acara yang bakal berlangsung pada 24 April depan di Dewan Utama Hotel Tenera, Bangi, Selangor itu juga merupakan salah satu langkah promosi hotel terbabit.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Jualan Hotel Tenera. Sarina Sharif, kedua-dua selebriti terbabit dipilih berdasarkan kredibiliti serta nilai komersial yang dimiliki masing-masing.

“Meskipun berdepan dengan cabaran ekonomi semasa, pihak kami tetap berusaha untuk menjayakan acara yang pastinya akan memuaskan dan berkualiti selain membantu dalam tujuan promosi,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Jamal, terlibat dalam persembahan tersebut secara tidak langsung menjadi ‘hadiah’ buat peminat yang merinduinya.

Penghibur berusia 59 tahun itu juga berbesar hati apabila diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan Dayang.

Meskipun kedua-duanya pernah bekerjasama sebelum ini tetapi acara tersebut merupakan persembahan pertama mereka sempena acara Minggu Setiausaha.

“Saya berasa gembira dan berbesar hati diberi peluang untuk menjayakan persembahan ini dan mengharapkan agar mereka yang hadir kelak akan terhibur.

“Buat masa ini saya tidak memikirkan sebarang kejutan mahupun kelainan. Apa yang pasti, saya dapat menjanjikan kerinduan peminat pastinya akan terubat apabila menonton persembahan kami kelak,” terangnya yang akan mendendangkan lima buah lagu.





Lebih interaksi

Sama seperti Jamal, penyanyi berusia 37 tahun kelahiran Kuching, Sarawak yang mesra disapa Dayang itu turut mempersembahkan lima buah lagu.

Kata Dayang, dia ingin lebih banyak berinteraksi dengan peminat sepanjang persembahan berlangsung. Itu kerana dia ingin dekat dengan khalayak selain lebih menghargai mereka.

“Bukan sekadar untuk menghiburkan tetapi juga berharap agar lebih banyak masa untuk berbual atau beramah mesra dengan mereka yang hadir.

“Selain mengharapkan lebih banyak interaksi dengan khalayak, beberapa lagu yang dipersembahkan juga kemungkinan akan disusun semula agar lebih bersesuaian dengan acara,” terang Dayang seraya tersenyum.

Dayang turut tidak menolak lagu yang bakal dipersembahkan antara karya hit miliknya, namun enggan mendedahkan kerana menginginkan elemen kejutan.

Hotel Tenera yang memulakan operasi secara rasmi pada Disember lalu dimiliki sepenuhnya oleh Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan diuruskan KPF Hotel Management Sdn. Bhd.

Post a Comment

Previous Post Next Post