Alvin Chong tekad terokai pasaran Melayu


SINARAN bintang Alvin Chong atau nama sebenarnya, Alvin Chean Wah Chong, 25, mulai bergemerlapan setelah muncul di dalam program realiti, Astro Star Quest (ASQ) lebih lapan tahun lalu.

Sejak itu, bakat dan kebolehan figura ini di dalam bidang nyanyian dan lakonan khasnya dalam kelompok pasaran hiburan Cina diterima ramai.

Langkah yang diatur Alvin begitu cemerlang, hingga membawa muziknya ke negara luar seperti Taiwan dan China.

Malah berbekalkan beberapa drama kantonis dan pernah terlibat di dalam sebuah filem terbitan Hong Kong beberapa tahun lalu, barangkali ia menjadi masa paling sesuai untuk meneroka pasaran hiburan arus perdana yang lebih dominan dan besar skalanya.

Selain mahu mencabar diri dan mahu melihat sejauh mana kemampuan diri, anak pertama dari tiga beradik ini mengakui, hakikat untuk berdiri sama tinggi dengan pelakon berbangsa Melayu sedia ada bukanlah mudah.

“Jujurnya, saya bertuah kerana selepas berlakon sebagai pelakon ekstra di dalam drama Dia Semanis Honey, Micheal Ang sekali lagi memberi peluang untuk saya beraksi di dalam Suri Hati Mr Pilot yang diakui satu pengalaman manis untuk dikenang.

“Biarpun tidak pegang watak utama, setidak-tidaknya nama saya turut dikenali khususnya di kalangan penonton Melayu dan mereka sudah mula sedar akan kehadiran saya dalam dunia seni tempatan.

“Pastinya, ia memberi impak baik buat perjalanan karier saya, memandangkan saya sendiri sudah lebih lima tahun terjun dalam dunia lakonan dan nyanyian.

Harapnya agar ia menjadi penanda aras untuk terus berusaha dengan lebih gigih untuk kekal maju dalam apa yang saya lakukan sekarang,” azam Alvin yang bakal muncul dalam sebuah drama bersiri web tidak lama lagi.

“Setakat ini, saya akan terlibat di dalam beberapa projek drama dan salah satunya ialah sebuah drama bersiri web yang akan di laman Astro Gempak.

“Ayda Jebat dan Mira Filzah turut berlakon sama di dalam drama web bersiri itu nanti. Selebihnya, saya tidak boleh terangkan ia dengan terperinci kerana masih dalam peringkat perbincangan dari segi watak, skrip dan sebagainya,” katanya lagi.

Minta nasihat artis senior

Menyedari dirinya sebagai ‘orang baru’ dalam dunia seni arus perdana, Alvin menambah, dia juga ada meminta pandangan artis senior sebangsa yang terlebih dahulu mencipta nama dalam lingkungan pasaran Melayu seperti Dr Soo Wincci.

“Ada juga saya minta pendapat dan tips dari dia. Kongsinya, untuk kekal dikenali bukanlah satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi sekarang kian ramai muka baru yang hadir silih berganti dalam dunia seni tanah air.

“Jadi saya perlu melakukan sesuatu yang boleh membuatkan nama ini melekat di jiwa peminat tempatan. Selain Soo Wincci, pengarah Michael Ang juga ada memberikan nasihat meminta saya untuk bersabar menantikan peluang.

“Namun dalam menunggu tawaran lain yang tiba, saya sendiri perlu perbaiki kelemahan yang ada, baik dari segi pertuturan dan kualiti lakonan saya. Saya percaya bahawa tuah tidak akan datang bergolek depan mata jika kita tidak berusaha untuk mendapatkannya,” sambung Alvin yang bimbang andai dirinya dilabel sebagai ‘artis semusim’ sahaja.

“Kalau boleh saya tidak mahulah dilabel sedemikian. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu perbaiki diri, terus berusaha berlakon dengan lebih baik dan pada masa sama cuba puaskan hati semua pihak,” terangnya.

Ligat bisnes

Dalam perkembangan lain, aktor yang sudah pun mempunyai single Melayu berjudul Lagumu, ramah bercerita mengenai sisi lainnya yang kini ligat berniaga.

Tambahnya pada bulan depan, dia bersama rakan kongsi akan membuka sebuah kedai kucing di Petaling Jaya.

Ditanya mengapa mahu membuka perniagaan sedemikian, Alvin memberitahu, dia sukakan haiwan peliharaan.

“Rasanya bisnes ini jarang sekali dibuat selebriti dan kalau boleh saya juga mahu terokai dunia lain juga selain seni. Bolehlah ia dikatakan sebagai prospek jangka panjang juga,” ringkas Alvin yang turut mengeluarkan rangkaian haruman sendiri iaitu Dr Love Fragrance bulan lalu.

“Untuk percubaan pertama, saya hanya mengeluarkan ia sebanyak 500 unit sahaja dan akan dijual di laman Instagram saya iaitu @alvinchong123 dan @lumosessentials,” akhiri Alvin.

Post a Comment

Previous Post Next Post