Bukan berlagak bagus Ayda Jebat mahu perbaiki kualiti


Keterbukaan Ayda Jebat mempertikaikan keputusan juri dalam pemilihan 12 lagu ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL232) mengundang kecaman netizen.

Semuanya disebabkan lagu nyanyiannya, Mata, gagal mara ke AJL32 dan netizen menyifatkan Ayda mula berlagak bagus.

Namun Ayda yang ditemui pada malam gala filem terbaru lakonannya, Pinjamkan Hatiku, menjelaskan dia hanya mahu mengetahui kekurangan dan kriteria bagi memastikan lagu nyanyiannya selepas ini layak ke pentas berprestij itu.

"Sebolehnya saya tidak mahu komen atau panjangkan cerita lagi. Tapi untuk kali terakhir saya ingin jelaskan, saya hanya mahukan jawapan tentang apa kekurangan lagu terbabit.

"Saya juga mahu tahu apa kriteria dari segi muzik, susunan muzik, genre lagu yang selayaknya untuk ke pentas AJL.

"Namun saya agak kecewa jawapan yang saya harapkan tidak dapat. Ia ibaratnya kita sudah kerja sebaik mungkin, tapi diberhentikan tanpa sebab.

"Saya bukan hendak berlagak bagus atau cuba tunjuk pandai. Tapi saya mahu jawapan untuk memperbaiki karya saya pada masa akan datang.

"Jadi tidaklah saya mengulangi kesilapan yang sama, membazir duit dan tenaga menghasilkan karya yang tidak berkualiti," ujarnya.

Bagaimanapun tegas Ayda, 'kekalahan' ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus muncul dengan single baru pada masa akan datang.

"Saya tidak pernah anggap diri saya bagus atau dah cukup bagus. Saya juga seorang yang suka mencuba dan tidak akan berputus asa.

"Cuma dalam pada saya mengorak langkah, saya perlu tahu juga apa kekurangan saya agar saya dapat memperbaiki diri.

"Ini kerana saya tak harapkan pujian semata-mata," katanya yang berharap dapat memajukan industri seni bersama-sama mereka yang sudah lama dan profesional.

Dalam perkembangan lain, Ayda berkata, dia kini masih sibuk mempromosikan single keempatnya, Mata dan turut merancang mengeluarkan single baru selewatnya awal tahun depan.

Ujar gadis berusia 25 tahun ini, dia mempunyai beberapa seleksi lagu baharu namun belum membuat keputusan lagu mana yang akan dikeluarkan dahulu.

"Setiap kali keluarkan single baru, saya pastikan ada kelainan dan saya akan keluarkan single itu bergantung pada permintaan pasaran atau kesesuaian lagu pada ketika itu.

"Sejak tampil dengan single Siapa Diriku, saya pastikan lagu yang dikeluarkan selepas itu berbeza dari yang sebelumnya.

"Bagi saya muzik ini juga satu perkembangan. Jadi kita perlu mengikut perkembangan semasa dan tidak berada di takuk lama sahaja," jelasnya.


Berguru dengan Ogy Ahmad Daud

Dalam pada itu, berkongsi perkembangannya, Ayda berkata, dia kini sibuk mempromosikan filem Pinjamkan Hatiku.

Katanya, bagi memberi komitmen penuh terhadap promosi filem arahan Osman Ali dan turut dibintangi aktor hebat Shaheizy Sam dan Farid Kamil itu, dia tidak mengambil tawaran berlakon lain.

"Sejak dulu lagi, saya suka buat satu kerja pada satu masa. Jadi bagi memastikan saya dapat memberi komitmen penuh siri jelajah dan sebagainya, maka untuk penghujung tahun ini, saya hanya fokus pada Pinjamkan Hatiku sahaja," katanya.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem berkenaan, Ayda berkata, dia bertuah apabila dapat menimba ilmu lakonan dari Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.

"Sebelum masuk kelas lakonan bersama beliau, saya tak dapat tangkap lagi bagaimana untuk bawa watak Laila Safitri.

"Tapi selepas Cikgu Ogy beri tunjuk ajar, akhirnya saya dapat deliver watak dengan baik.

"Malah secara peribadi, saya sendiri meleleh air mata walaupun sudah empat kali tonton filem ini.

"Saya harap penonton juga akan terkesan," katanya.

Pinjamkan Hatiku akan menemui penonton di pawagam bermula 30 November ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post