Menceritakan lebih lanjut mengenai cintanya terhadap dunia lakonan, Lizzy memberitahu selepas habis sekolah, dia pernah menyuarakan hasrat kepada ibu untuk belajar teater dan menyertai kelas lakonan, namun waktu itu ibu kurang bersetuju kerana dia mahu Lizzy memilih kerjaya yang lebih baik pada pandangannya yang melibatkan bidang profesional.
“Waktu itu, Lizzy ikutkan sahajalah. Tapi siapa sangka tiba-tiba Lizzy masuk juga bidang seni walaupun menerusi bidang nyanyian apabila peluang yang datang tiba-tiba tanpa dirancang melorongkan rezeki dalam bidang ini,” ujarnya.
Justeru, selepas mula dikenali dan mendapat ruang dalam industri, Lizzy mula memikirkan kembali minatnya dalam bidang lakonan setelah mendapat tawaran untuk berlakon.
Meski pada mulanya ramai yang sangsi dengan hasratnya untuk lebih aktif dalam bidang lakonan, sementelah namanya cukup dikenali sebagai penyanyi, Lizzy tekad untuk membuktikan kesungguhannya.
“Pada mulanya ramai yang ingat Lizzy main-main bila Lizzy cakap nak memperlahankan aktiviti nyanyian dan serius berlakon kerana tawaran menyanyi memang sangat rancak diterima dari pelbagai pihak.
“Tapi bila Lizzy buat betul-betul dan menolak banyak show yang datang bermula bulan Jun lalu semata-mata nak terlibat dalam drama dan filem, barulah mereka percaya.
“Walaupun tawaran menyanyi menjanjikan bayaran yang agak tinggi, namun Lizzy tidak pernah menyesal tolak kerana sudah buat ketetapan dalam diri untuk lakukan benda yang Lizzy lebih minat,” tegasnya .
Antara drama lakonannya ialah My Darling Inspektor Daniel, Gerak Khas, The Berlian Job dan lain-lain. Sementara penglibatannya dalam filem pula adalah menerusi Usop Wilcha Mengonjang Makhluk Muzium, Buskers dan Escape.
Mengakui kini semakin banyak mendapat kepercayaan daripada penerbit dan pengarah, Lizzy berhasrat untuk mengambil kelas lakonan lakonan secepat yang mungkin.
“Dah lama Lizzy nak ambil kelas lakonan, tetapi sehingga kini belum jadi kenyataan kerana kekangan masa di mana jadual lakonan terlalu padat sehingga sukar nak lari seketika untuk ambil kelas.
“Apa pun, Lizzy tetap nak ambil kelas kerana percaya menerusi cara sebegitu Lizzy dapat menambahkan ilmu lakonan dan memperbaiki skil lakonan agar jadi lebih baik selepas ini tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.
“Buat masa ini, Lizzy hanya belajar di set sahaja menerusi tunjuk ajar dari pengarah dan kru produksi selain bantuan serta perkongsian ilmu lakonan dari pengurus Lizzy sendiri iaitu Atira yang sebelum ini merupakan pelajar teater,” katanya jujur.
Perbaiki penguasaan bahasa Melayu
Biarpun masih baru sebagai pelakon, lakonan Lizzy mendapat respons yang cukup positif daripada peminat, malah ramai yang memuji penguasaan bahasa Melayu yang begitu baik menjadikan dia tidak kekok atau terhad kepada watak tertentu sahaja.
“Memang Lizzy banyak terima komen yang positif daripada peminat, tetapi secara jujurnya rasa itu belum cukup lagi kerana tengok orang lain berlakon jauh lebih bagus walaupun hanya untuk watak-watak yang kecil.
“Jadi Lizzy kena kerja lebih kuat dari orang lain untuk perbaiki diri dari masa ke semasa. Pengalaman bekerja dengan pelbagai produksi dan orang yang berbeza-beza juga banyak membantu Lizzy untuk belajar benda baru setiap hari.
“Lagi satu, Lizzy kena perbaiki bahasa Melayu agar jadi lebih baik. Walaupun tak ada bunyi pelat sangat, tapi Lizzy selalu terbalikkan ayat-ayat tanpa disedari sehinggakan bunyinya kedengaran agak lucu,” akuinya terus-terang.
Sungguhpun dia kelihatan begitu teruja kala diajak berbicara tentang dunia lakonan, si cantik manis ini menegaskan tidak pernah berhasrat meninggalkan terus dunia nyanyian.
“Bila cakap nak fokus kepada lakonan, ramai yang ingat Lizzy nak tinggalkan dunia nyanyian secara total dan dikenali sebagai pelakon sahaja.
“Lizzy takkan berhenti menyanyi, cuma ia bukan keutamaan macam dulu lagi kerana mahu fokus pada bidang yang Lizzy minat sejak kecil ini.
“Untuk yang nak dengar Lizzy menyanyi, Lizzy juga ada single baru, Darling, yang dilancarkan beberapa bulan lalu dan kini boleh dengar di radio dan platform muzik digital,” katanya yang kini bergerak solo tanpa terikat dengan syarikat pengurusan.
Menyentuh tentang sisi peribadinya, kata Lizzy, dia gembira dan lebih positif dengan kehidupannya kini selepas pernah melalui episod duka gagal dalam percintaannya dengan seorang pemuda Melayu April lalu.
“Sekarang semua sudah OK, malah Lizzy sangat gembira dengan apa yang Lizzy ada sekarang terutamanya keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.
“Soal jodoh, tengoklah macam mana. Lizzy akan terima sahaja siapa yang datang jika terbuka hati untuk berbuat demikian tidak kiralah dia pemuda Melayu atau sebaliknya,” ujarnya yang baru sahaja menyambut hari jadi ke-24 pada 18 November lalu.