
MEMBUKA lipatan sejarah, pemilik nama Shazrina Azman amat sinonim dengan genre muzik hip hop dan kemahiran mengalunkan lagu secara rapping (teknik vokal berkata-kata dengan cepat) yang sebati dengan dirinya.
Asimilasi dua elemen itu tetap kekal ada dalam diri wanita yang terkenal dengan nama pentas sebagai Mizz Nina. Bagaimanapun, dia kini memilih untuk menukar corak kanvas seninya daripada pentas nyanyian ke dunia puisi.
Merasakan masih banyak yang perlu dipelajari khususnya mengenai teknik penulisan sastera, Mizz Nina akui selesa dengan haluan baharu dalam meneruskan perjuangan kerjaya seninya.
Tidak bermaksud melupakan segala yang telah dimulakan namun, Mizz Nina ingin melakukan peralihan dalam kerjaya seni yang selama ini berpaut pada bidang nyanyian sahaja.
Bergiat aktif dengan aktiviti spoken word (penyampaian secara lisan mengikut rentak dan intonasi suara), Mizz Nina memilih untuk meneruskan minat dalam dunia seni menerusi cara tersebut. Selain meluncurkan spoken word, apa yang lebih penting adalah dia perlu menulis sendiri untaian perkataan yang ingin disampaikannya.
Mula mendapat pendedahan dengan aktiviti tersebut selepas menyertai sebuah program berbentuk keislaman pada tahun lalu, telah membuka hati Mizz Nina untuk menceburi bidang itu.
Membuka matanya tentang keindahan dunia sastera, Mizz Nina menjadikan aktiviti itu sebagai satu keghairahan baharu dan medium buat dia meluahkan pandangan serta mesej berbentuk kesedaran.
“Saya ingin mencari sisi berbeza kerana seni itu tidak tertumpu pada satu sudut sahaja. Oleh yang demikian penulisan kini menjadi medium baharu untuk saya berkarya.
“Memang diakui masih baharu, namun secara perlahan-lahan saya berusaha untuk meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang penulisan sastera kerana masih banyak perlu dipelajari,” katanya yang masih belum mempunyai sebarang perancang khusus mengenai penerbitan puisi ciptaannya.
Biarpun masih bertatih saat ingin menjinakkan mata pena, Mizz Nina tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira apabila dilabelkan sebagai penyajak saat menghadiri majlis Poetry Slam Jam Night anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Malaya yang diadakan baru-baru ini.
Jelas terpancar aura teruja pada matanya, wanita yang ditemui sewaktu majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk kecantikan Adania itu turut mengharapkan agar karya seni penulisan sastera perlu dijaga kerana ia merupakan khazanah negara yang memiliki nilai estetika tidak terhingga.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika itu saat pengacara majlis memanggil saya sebagai penyajak dan bukannya penyanyi. Saya melihat itu seperti satu penghormatan dan pembakar semangat untuk terus menulis,” jelasnya dalam nada teruja.

Peminat boleh menonton setiap episod program Finding Him With Aliza Kim dan Queen Of Deen yang bersiaran pada bulan Ramadan di stesen televisyen TV Alhijrah secara lengkap termasuk rakaman eksklusif di saluran DopsTV di YouTube.
Menghasilkan karyanya sendiri, Mizz Nina lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaraan namun, dia tidak menolak kemungkinan menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu kelak.
Saluran dalam talian
Penghijrahannya tidak tertumpu kepada perubahan imej dan akidah, Mizz Nina nekad membulatkan hati untuk mengangkat bendera putih kepada industri nyanyian.
Bagaimanapun, sukar untuk menyekat minatnya terhadap aktiviti seni, Mizz Nina mula memperkenalkan saluran dalam talian, Deen Of Peace Studio atau DopsTV.
Ditubuhkan pada tahun lalu, saluran tersebut boleh ditonton secara percuma di laman YouTube. Kata Mizz Nina, niat DopsTV ditubuhkan adalah untuk berkongsi ilmu tentang keindahan agama Islam dengan masyarakat dunia sekali gus mengharapkan cara itu dapat menukar ideologi golongan Islamofobia.
“Saluran ini diwujudkan dengan pengisian berbentuk keagamaan yang bertujuan untuk saling bertukar ilmu dengan masyarakat sekali gus memupuk kesedaran tentang keindahan agama Islam itu sendiri,” ujar wanita berusia 36 tahun itu.
Teruja dengan sambutan yang diterima, Mizz Nina tidak mengambil pusing tentang pandangan negatif daripada sesetengah pihak yang mempertikai usahanya itu.
“Setiap apa yang kita lakukan pastinya sukar untuk memuaskan banyak pihak. Jadi biarlah, kerana itu hak masing-masing untuk bersuara dan melihatnya dari sudut positif.
“Bukan bermaksud berbangga diri tetapi kadangkala setiap apa yang kita lakukan akan tetap mengundang pelbagai persepsi masyarakat,” tuturnya sambil tersenyum.
Meskipun manis mengukir senyuman dan bibirnya pantas mengungkap pandangan positif, namun riak wajahnya terlihat sedikit suram tatkala membicarakan tentang hal tersebut kerana jelas wanita bernama Mizz Nina itu juga hanya insan biasa yang terkadang pasti tercuit emosinya mendengar kata-kata kurang enak.
Tapis kandungan
Biarpun DopsTV hanya sebuah saluran dalam talian, Mizz Nina tetap menjaga kualiti produk keluarannya seperti kisah Finding Him With Aliza Kim dan Queen Of Deen sebelum disiarkan untuk tontonan umum.
Memastikan pihaknya membuat kajian terlebih dulu, Mizz Nina turut berusaha mencari idea dan konsep baharu agar lebih mudah difahami dan diterima oleh pelbagai masyarakat berlainan agama serta usia.
“Kami berusaha untuk mencari jalan agar maklumat yang cuba disampaikan mudah difahami sekali gus secara tidak langsung dapat menarik minat golongan orang bukan beragama Islam.
“Sebab itu kami mempertaruhkan konsep santai agar dapat menarik minat golongan belia untuk menonton selain topik yang cuba dikupas juga lebih dekat dengan kehidupan seharian,” kata isteri kepada Noh Hujan itu.
Selain menyediakan intipati lebih menjurus kepada gaya hidup berlandaskan agama Islam, Mizz Nina akan melancarkan kempen melakukan kebaikan menerusi #dogood di DopsTV.