Transisi muzik Darin Zanyar


MENURUT Zanyar, setiap penyanyi tidak boleh terlalu selesa dengan sesebuah genre dalam tempoh masa yang lama.

SEKITAR 12 tahun lalu, selepas penyanyi kelahiran Sweden, Darin Zanyar memenangi tempat kedua dalam pertandingan nyanyian Idol 2004, dia pernah menerima gelaran sebagai ‘jaguh kampung’ oleh kebanyakan pengkritik muzik.

Hal ini kerana walaupun telah merakamkan tiga buah album studio berbahasa Inggeris iaitu The Anthem (2005), Darin (2005) dan Break The News (2006), jejaka berusia 29 tahun itu lebih selesa mengembangkan karier nyanyiannya di tanah kelahiran sendiri.

Namun, benar kata orang, tuah datang tanpa disangka. Nama Zanyar mula menjadi perhatian selepas penyanyi Leona Lewis mengambil keputusan merakamkan semula lagunya, Homeless untuk dimuatkan dalam album debut penyanyi wanita itu, Spirit.

Sejak itu, karier seni jejaka berusia 29 tahun itu terus menjadi perhatian peminat muzik dunia, khususnya dari Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Mengukuhkan lagi empayar seninya, Zanyar kemudian berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran AS, Kat DeLuna menerusi single Breathing Your Love. Lagu ciptaan penerbit terkenal, RedOne itu turut dimuatkan dalam album keempatnya, Flashback (2008).

Berpeluang mewawancara jejaka berketurunan Kudis itu baru-baru ini, Zanyar mengakui terkesan dengan impak yang diberikan oleh Lewis dan DeLuna terhadap perkembangan kariernya.

Namun, dia menganggap perkara tersebut hanyalah sebagai satu proses pengenalan untuk meneruskan kelangsungan karier muzik di peringkat yang lebih tinggi.

“Tidak dinafikan, mereka banyak memberikan pendedahan kepada saya untuk mengembangkan karier ke luar negara. Namun, pendedahan itu tidak akan berlaku jika saya hanya duduk diam tanpa sebarang usaha.

“Jadi, selepas memenangi Idol 2004, saya sentiasa bekerja keras agar impian untuk dikenali di peringkat antarabangsa menjadi kenyataan,” katanya yang sudah dua kali ke Malaysia bagi tujuan promosi single Nobody Knows.

Berbicara lanjut mengenai perkembangan kariernya, Zanyar yang ditemui di ibu kota berkata, dia berasa sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk meluaskan jajahan seninya di Asia.

“Saya berasa teruja untuk mengadakan sesi promosi kali ini. Jika sebelum ini saya kerap ke negara-negara Eropah bagi tujuan promosi, kali ini, saya berpeluang singgah ke Malaysia dan Singapura.

“Saya sangat berharap agar penggemar muzik di Asia dapat menerima lagu-lagu nyanyian saya,” katanya yang turut menghasilkan klip video bagi lagu Nobody Knows di Singapura.

Transisi

Jika diimbas kembali rantaian diskografi milik Zanyar, penyanyi itu cukup sinonim dengan karya-karya bernuansa pop ciptaan Max Martin dan RedOne. Namun, sejak album Lovekiller (2010) dan Exit (2013), Zanyar dilihat lebih selesa untuk memasarkan lagu-lagu ciptaannya sendiri.

Istimewanya, garapan muzik Zanyar itu juga turut mengubah landskap muziknya yang kini bersifat lebih dewasa.

“Saya suka dengan perubahan muzik dan imej sekarang. Bagi saya, setiap penyanyi perlukan perubahan dan tidak boleh terlalu selesa dengan sesuatu perkara dalam tempoh masa yang lama.

“Jadi, saya cuba untuk berubah dan dalam waktu yang sama menyuntik elemen segar dalam setiap karya yang diterbitkan,” katanya lagi.

Ditanya apakah perancangannya untuk lima tahun akan datang, jawabnya ringkas: “Saya cuma ingin menakluk dunia.”

Post a Comment

Previous Post Next Post