Peluang kedua Farah Idayu


Juara - Dinobatkan sebagai juara AF Megastar, Farah Idayu membawa pulang hadih wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah trofi dan pakej percutian 10 hari 7 malam ke Turki tajaan SelamatBercuti.com untuk dua orang.

SEKITAR 12 tahun lalu, sewaktu Nor Farah Idayu Yaakob atau Idayu dipilih sebagai pelajar Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), firasat hatinya berbisik bahawa program realiti yang pada ketika itu sedang meletuskan fenomena mampu membawa bakat nyanyiannya ke peringkat lebih tinggi.

Yakin dengan kekuatan vokal yang ada padanya, wanita berusia 32 tahun kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu positif mempercaturkan nasibnya dalam pertandingan yang hanya bergantung terhadap 100 peratus undian daripada penonton.

Namun, nasib Idayu pada ketika itu agak kurang baik. Idayu terpaksa akur tatkala diumumkan sebagai pelajar ketiga yang disingkirkan oleh pihak akademi pada konsert minggu ketiga.

Lebih sedekad tenggelam timbul dalam industri cuba untuk mencari arah tuju sebagai penyanyi, peluang kedua datang mengetuk pintu rezekinya.

Mempertaruhkan bakat nyanyiannya untuk kali kedua menerusi pertandingan nyanyian AF Megastar, Idayu kini mampu tersenyum bangga selepas dia dinobatkan sebagai juara program berkenaan yang berlangsung di Teater Shah Alam, Selangor malam Ahad lalu.

Mengakui teruja dan berpuas hati dengan kemenangan tersebut, Idayu menjelaskan AF Megastar merupakan platform yang dinanti-nantikan selama ini.

Ujar penyanyi yang pernah popular dengan lagu Paluan Rindumu, pertandingan yang diadakan buat julung-julung kalinya itu disifatkan sebagai peluang kedua untuknya memperlihatkan kembali bakatnya sebagai pelantun suara.

Berbaloi

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dengan kemenangan ini.

“Biarpun tempoh menunggunya agak lama, namun, saya anggap ia sebagai satu penantian yang sangat berbaloi,” ujar Idayu memulakan bicara.

Tersenyum manis menjulang piala kemenangan, kejayaan Idayu pada malam itu turut mengenepikan harapan empat finalis lain iaitu Bob, Syamel, Marsha dan Shahir untuk merebut tempat sebagai juara.

Mengakui bukan mudah untuk mendapatkan peluang berada di pentas sedemikian, Idayu mengakui pernah hampir berputus asa sepanjang lebih sedekad ‘menganggur’ sebagai seorang pelaku seni.

“Sejujurnya, sejak beberapa tahun lepas, saya pernah cuba untuk menyertai beberapa pertandingan nyanyian lain. Entah di mana silapnya, saya tidak pernah lolos ke peringkat seterusnya.

“Disebabkan selalu gagal, saya hampir berputus asa untuk meneruskan karier nyanyian kerana terlalu penat mencuba,” katanya.

Biarpun kerap berasa kecewa, patah semangat yang dialami oleh Idayu lekas terubat apabila suaminya, Shahrul Fadzil sentiasa memberikan sokongan dan semangat.

“Saya bersyukur kerana suami sentiasa berada di sisi dan sering memberikan kata-kata positif.

“Insya-Allah, dia yang mempunyai latar belakang sebagai seorang produser dan komposer akan mewakili saya dalam menguruskan karier nyanyian selepas ini,” ujar Idayu.

Mariah Carey

Melihat kembali perjalanannya sepanjang AF Megastar, Idayu sering memperlihatkan kebolehannya dalam membawa lagu-lagu bernada tinggi.

Saban minggu, pujian demi pujian diberikan oleh para juri, membuatkan Idayu dipilih sebagai antara peserta kegemaran penonton.

Selain itu, Idayu juga mampu melakukan teknik siulan dengan baik dan mendapat jolokan sebagai Mariah Carey Malaysia oleh pengacara program berkenaan, Datuk Aznil Nawawi.

Biarpun menjadikan Mariah Carey sebagai idola sejak kecil, Idayu yang menyanyikan lagu My All pada pusingan pertama konsert akhir AF Megastar menafikan gaya nyanyiannya pada malam tersebut mirip penyanyi antarabangsa itu.

“Saya yakin, pasti ramai di luar sana yang akan membandingkan cara nyanyian saya dengan Mariah Carey.

“Menerusi lagu My All, saya cuba untuk membuat kelainan dan lari daripada gaya nyanyiannya yang sering kita dengar,” katanya jujur.

Selain My All, Idayu turut menyanyikan sebuah lagu baharu berjudul Selamanya. Menariknya, lagu berentak balada tersebut merupakan hasil ciptaan rakannya, Amylea yang juga merupakan alumni AF3.

“Pada awalnya, saya mempunyai dua pilihan sama ada menyanyikan lagu ciptaan suami atau Amylea. Memandangkan lagu ciptaan suami masih belum siap sepenuhnya, saya mengambil keputusan untuk menyanyikan lagu Segalanya,” ujarnya yang pernah bernaung di bawah label muzik Luncai Emas suatu ketika dahulu.

Bakal menjadikan lagu tersebut sebagai single, Idayu turut merancang untuk mempromosikan kembali album perdananya, Aspirasi yang diterbitkan pada tahun 2014.

“Selepas ini, saya akan masuk studio bagi merakamkan lagu Segalanya. Dalam masa yang sama, saya berhasrat untuk mempromosikan kembali album Aspirasi,” kata Idayu penuh yakin.

Sempat ditebak dengan soalan adakah dia telah bersedia untuk kembali berada di bawah sorotan lampu glamor.

Jawab Idayu: “Ya, saya sudah bersedia dan saya sangat gembira serta teruja.”

Perjalanan karier Idayu sebagai penyanyi yang telah lama tergendala baru sahaja bermula.

Biarpun perlu menunggu untuk satu tempoh yang agak lama, percubaan kali keduanya ini membuktikan bahawa rezeki Tuhan itu pasti hadir untuk orang yang sentiasa berusaha.

Selamat datang kembali Idayu. Berjuanglah untuk terus konsisten dalam meletakkan bakat anda pada aras yang sepatutnya.

Peluang

Sementara itu, penganjuran AF Megastar secara keseluruhan dilihat dapat memberikan peluang kepada bekas-bekas pelajar Akademi Fantasia untuk kembali beraksi dan memperlihatkan kemampuan nyanyian sebenar masing-masing.

Malah di atas pentas ini, sejak lapan minggu lalu, dapat dilihat bagaimana kebanyakan bintang yang lahir daripada program realiti AF lebih 10 tahun berkembang dan menjadi lebih matang kerana pengalaman yang dikutip sepanjang menjadi anak seni.

Lantas, mereka kembali menjadi seteru sepanjang lapan minggu adalah hal yang mengujakan, sementelah mereka kembali mengulang semula strategi pertandingan dalam usaha memikat hati juri dan pengundi.

Sebagai contoh, Marsha yang dahulunya agak pasif dan kurang berkeyakinan di atas pentas telah membuktikan kebolehannya mengawal pentas menerusi rangkaian persembahan memukau.

Begitu juga dengan Bob, Syamel dan Shahir, biarpun masing-masing dikenali sebagai bintang Akademi Fantasia yang mampu menyanyi dengan baik, pentas AF Megastar telah membuka lebih banyak ruang buat mereka untuk meneroka potensi baharu sebagai seorang penyanyi.

Seperti kata juri tetap Datuk Ramli MS, sebaik program ini tamat, para peserta tidak kira juara atau mereka yang telah tersingkir awal sebenarnya baru sahaja memulakan pusingan baharu dalam karier mereka.

“Saya mahu melihat mereka bukan sekadar gembira dengan pencapaian yang diraih dalam program ini, sebaliknya keluarlah bekerja.

“Buat lagu baharu, penuhi undangan korporat dan pastikan terus berusaha untuk memperbaiki diri,” katanya yang menolak untuk melabelkan para peserta program realiti sebagai bintang mi segera kerana piawaian mereka kini setaraf dengan artis yang melalui jalan ‘konvensional’ untuk bergelar anak seni.


Post a Comment

Previous Post Next Post