Wilma Muhammad sesuaikan diri dengan zaman teknologi


KEMBALI aktif berlakon sejak beberapa tahun lalu, Wilma tidak pernah terfikir untuk bersikap selektif terhadap tawaran watak lakonannya.

Tempoh 20 tahun menyepikan diri daripada dunia hiburan tanah air tidak pernah melunturkan semangat pelakon berbakat besar, Wilma Muhammad untuk kembali aktif sebagai anak seni.

Meskipun percubaannya untuk membina kembali karier lakonan pada usia 44 tahun, pelakon yang pernah popular dengan filem Ghazal Untuk Rabiah itu tidak menganggap situasi tersebut sebagai halangan besar.

Ditemui pada majlis pelancaran filem epik berjudul 1875 di Pitching Centre, Platinum Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, Wilma mengakui terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam industri. Justeru, dia perlahan-lahan untuk menyesuaikan diri dengan zaman serba canggih kini.

Menurut Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 pada tahun 1997 itu, walaupun secara dasarnya pengalaman lalu telah meletakkan dirinya sebagai artis senior, namun dia perlu bijak menempatkan diri kerana industri hari ini tidak sama seperti zaman kegemilangannya dahulu.

KOSMO!: Adakah Wilma akan bersikap selektif apabila kembali aktif dalam dunia seni?

WILMA: Tidak, saya akan terima apa sahaja watak waima sebagai orang gaji. Saya bukan kembali berlakon untuk mencari populariti tetapi untuk mengubat kerinduan dengan niat mencari sesuap nasi. Jadi, rasanya tidak perlu untuk saya bersikap memilih kerana setiap tawaran adalah rezeki Allah.

Apakah perbezaan ketara industri hiburan sekarang berbanding zaman anda muda dahulu?

Terlalu banyak terutamanya dari segi kepesatan teknologi dan laman sosial. Pada zaman saya dahulu, kami tidak mempunyai Instagram, Twitter atau Facebook untuk mempromosi diri, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada penulisan wartawan serta pihak pengurusan.

Sekarang, jika ada mana-mana produksi mahu memilih pelakon, mereka hanya perlu lihat jumlah pengikut dalam laman sosial untuk tahu tahap populariti untuk artis. Itu antara perubahan drastik yang saya tidak pernah lihat ketika zaman 1990-an dahulu.

Pada pendapat anda, wajarkah pelakon baharu dipilih berdasarkan jumlah pengikut laman sosial?

Mengikut pandangan peribadi saya, semuanya ada baik dan buruk. Jika hendak ditimbang pada nilai komersial, barisan pelakon yang mempunyai kumpulan peminat yang besar akan memberi impak pada drama atau filem yang dibintangi. Namun, jika artis baharu sekadar bersandarkan wajah dan populariti, maka karya yang dihasilkan tidak akan mempunyai kualiti. Oleh sebab itu, kedua-duanya perlu seimbang.

Adakah anda juga mula aktif dalam laman sosial demi kerjaya?

Saya cuba mengikut keadaan semasa tetapi sekadar memenuhi syarat. Saya mewujudkan akaun Instagram namun tidak aktif memuat naik gambar. Kebanyakan gambar dalam Instagram saya dimuat naik semula daripada rakan-rakan artis kerana saya bukan jenis yang suka mengambil gambar ketika bekerja.

Dahulu, saya memang tidak pegang telefon dan akan menghabiskan masa dengan berbincang dengan pengarah atau berbual bersama kru produksi sahaja ketika di lokasi penggambaran.

Bercakap tentang filem 1875, boleh kongsikan tentang watak anda dalam naskhah berkenaan?

Saya memegang watak Toh Puan Long Lijah iaitu isteri kepada Datuk Maharaja Lela lakonan Aman Graseka. Saya bersetuju menerima tawaran ini kerana ia adalah sebuah karya epik dan mencabar kebolehan lakonan saya.

Saya perlu membuat banyak kajian dalam pembacaan skrip kerana tiada catatan sejarah yang bercerita tentang Toh Puan Long Lijah untuk dijadikan panduan. Ini adalah sebahagian kisah sejarah negara dan sedikit sebanyak ia sumbangan saya buat generasi baharu dalam mengajar erti nasionalisme.

Setelah sekian lama tidak berdepan dengan kamera, apakah perasaan anda untuk menjalani penggambaran 1875 bermula pada 22 Mei (hari ini)?

Jujurnya, perasaan saya sangat gementar dan berdebar kerana sudah lama tidak berdialog di hadapan kamera, bagaimanapun saya yakin dengan bantuan pengarah Imran Ismail dan pelakon lain, saya boleh memberikan yang terbaik untuk filem 1875.

Post a Comment

Previous Post Next Post