BAHAGIA - Kehadiran Eshaal (dalam pangkuan Akim) dan anak angkat mereka Bella yang kini sudah berusia lima tahun melengkapkan hidup Akim dan Stacy. Kesibukan karier bukan penghalang pasangan popular itu membina keluarga bahagia.
MENERIMA kehadiran orang baharu, sekali gus pelengkap dalam keluarga adalah perkara paling membahagiakan bagi pasangan yang bergelar suami isteri. Bagi pasangan penyanyi popular Akim Ahmad dan Stacy Anam, kehadiran cahaya mata sulung memberi sinar kebahagiaan berganda buat mereka selepas setahun mendirikan rumah tangga.
Stacy selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 2.97 kilogram yang diberi nama Eshaal di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 5.17 petang, 17 Februari lalu.
Kini, selepas tiga bulan melalui kehidupan sebagai ibu bapa, Akim, 26, tetap teruja menjalani rutin harian bersama keluarga kecilnya. Jika sebelum ini, jadual kerjanya terlalu padat sementelah dia bertanggungjawab sebagai mentor dalam program Mentor Milenia yang membataskan masa dan ruang untuk bersama keluarga.
“Selepas tamat program Mentor Milenia, barulah saya ada peluang untuk membahagikan masa dengan sama rata antara keluarga dan kerjaya. Sebab itu, buat masa sekarang saya yang banyak mengambil alih tugas menjaga anak-anak dan memberi peluang kepada isteri untuk berehat.
“Lagipun, saya mahu beri dia peluang mengembalikan stamina sebelum kembali bekerja dengan kemunculan album baharu tidak lama lagi,” ujar Akim ketika ditemui pada majlis akikah anak sulungnya baru-baru ini.
Akur dengan jadual padat suaminya, Stacy bagaimanapun tetap bersyukur kerana Akim merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap keluarga biarpun terlalu sibuk dengan kerja.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga bulan ada cahaya mata sendiri, Akim banyak membantu walaupun dia sendiri sangat penat dengan kerja. Kalau balik rumah, dia akan menolong apa yang patut seperti membancuh susu, mencuci botol susu atau melayan anak.
“Lagipun, bergelar ibu bapa buat kali pertama tidaklah memberi cabaran yang besar kerana kami dibantu oleh ibu yang menjaga saya dan bayi sejak dalam pantang,” ujar Stacy yang tidak merancang untuk menggunakan khidmat pengasuh untuk anaknya.
Pengalaman
Berkongsi perasaan mengurus bayi kecil dan seorang anak angkat yang sedang membesar, Bella Deluna Valentina, 5, Akim mengakui ia bukan satu tanggungjawab yang mudah, apatah lagi mendepani keletah Bella yang gemar mengganggu adiknya ketika tidur.
“Dua kerja yang perlu dilakukan dalam satu masa adalah mengawal dua orang anak. Pernah juga Bella merajuk dan fikir kami tidak sayangkannya apabila melarang dia daripada bermain kasar dengan Eshaal.
“Sebab dia sudah terbiasa berseorangan selama lima tahun sebelum mendapat adik, jadi dia mahukan perhatian yang sama. Bella seorang kakak yang baik dan sukakan adiknya, tetapi dia kadang-kadang geram dengan budak kecil.
“Saya tidak pernah melalui pengalaman seperti ini, jadi sedikit sebanyak ia memberi cabaran. Perkara utama sekarang adalah bagaimana kami memberi pemahaman kepadanya selain menyeimbangkan perhatian buat kedua-duanya,” ujar Akim.
Media sosial
Tidak terkecuali mewujudkan akaun Instagram buat kedua-dua anak mereka, Akim dan Stacy bagaimanapun berpegang kepada prinsip untuk berkongsi perkembangan anak-anak mereka jika kelapangan atau momen istimewa sahaja.
“Kami buat akaun Instagram untuk Eshaal dan Bella sebab ada antara peminat yang mahu tahu tentang perkembangan mereka dan cara penjagaan terutama buat Eshaal.
“Namun, kami tidak menerapkan gaya hidup dengan selalu mengemas kini gambar mereka pada setiap masa. Kalau ada masa atau momen istimewa dan menarik untuk dikongsikan, maka saya akan muat naik di Instagram,” kata Stacy.
Mengakui pernah menerima komen negatif daripada peminat yang menegur cara penjagaannya terhadap Eshaal, Stacy bagaimanapun tidak mahu mengambil serius tentang perkara berkenaan.
Baginya, dia tidak mahu menjadikan teguran negatif tersebut sebagai isu. Sebagai langkah terbaik, dia akan memadam setiap gambar atau video yang mendapat teguran tidak membina daripada peminat.
“Kadang-kadang, ada antara peminat yang suka menegur cara saya menjaga anak. Sebagai contoh, ketika memberi susu. Setiap orang lain caranya tetapi tidak bolehlah jika mahu saya mengikut cara yang sama sebagaimana cara mereka.
“Kalau malas ambil peduli dengan semua perkara sebegitu, saya akan padam sahaja gambar-gambar tersebut. Senang cerita. Sebab Instagram anak-anak hanyalah platform untuk kami berkongsi perkembangan, aktiviti dan panduan tentang bayi.
“Lagipun, kami sepakat membuat akaun mereka sebab tidak mahu timbul kekeliruan dalam kalangan peminat dengan beberapa akaun palsu yang dicipta pihak lain,” jelas Stacy.
Karier
Berkongsi perkembangan terkini, Stacy bakal kembali merancakkan karier nyanyian dengan kemunculan album baharu tidak lama lagi.
“Buat masa sekarang, ia masih dalam peringkat awal dan saya pun sedang mengumpul serta mencari material terbaik untuk album tersebut.
“Pada masa sama, saya perlu mengambil kelas vokal terlebih dulu sebab sudah lama tidak menyanyi. Apatah lagi selepas melahirkan anak, jadi saya bimbang suara saya mengalami sedikit perubahan.
“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan memulakan proses pembikinan album tersebut selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak,” ujarnya yang turut menggunakan khidmat suami sendiri sebagai salah seorang komposer dalam album tersebut.
Tambah pelantun lagu Not For Sale itu, dia sebolehnya mahu mengekalkan konsep dance pop yang menjadi identitinya dalam industri menerusi untuk album terbaharunya kelak
“Sebab peminat rindu dan sukakan konsep serta genre sebegitu. Lagipun, sejak masuk dalam industri memang itulah konsep yang saya bawa.
“Namun, konsep untuk album terbaharu ini nanti mungkin tidak seberat dahulu. Apa yang penting, konsep itu masih seiring dengan lagu yang saya bawa,” katanya.
Bagi Akim pula, meskipun program Mentor Milenia baru sahaja tamat, namun jadualnya tetap penuh dengan pelbagai aktiviti terutamanya kerja rakaman di studio.
Sepanjang bulan Ramadan nanti, dia akan menghabiskan masa untuk menghasilkan lagu buat beberapa orang artis termasuk penyanyi baharu, Haqiem Rusli.
“Begitu juga dengan band Akim & The Majistret yang bakal muncul dengan sebuah single baharu. Mungkin single kami akan dikeluarkan sama ada selepas atau pada pertengahan bulan Ramadan nanti,” tutupnya.