Erra bersetuju menerima tawaran sebagai Datin Azizah dalam #BikinFilem kerana ia memaparkan situasi sebenar dunia seorang pelakon di sebalik populariti dan kemewahan yang dilihat pada mata kasar peminat.
Sejak menceburkan diri dalam dunia lakonan lebih 20 tahun lalu, si cantik jelita, Erra Fazira tidak pernah meletakkan sasaran menjadi heroin sebagai misi utama dalam kerjaya seninya.
Beliau sebaliknya mementingkan keserasian watak yang ditawarkan berbanding keterujaan menjadi tunjang utama sesebuah filem dan perkara itu tidak berubah sejak dari zaman puncaknya sehingga masa kini.
Namun, pemilik nama Fazira Wan Chek ini turut tidak menafikan perubahan kehidupan, status dan tanggungjawabnya juga menyumbang kepada punca mengapa dia jarang bersetuju untuk memegang watak utama dalam mana-mana karya filem, drama atau telefilem sejak kebelakangan ini.
Jika dahulu, beliau seorang yang gila bekerja dan sering meletakkan karier di tempat pertama, namun seiring dengan perubahan masa, perkara itu perlahan-lahan berubah apabila Erra mula memiliki komitmen lain yang lebih penting untuk diutamakan.
“Saya kini mengamalkan konsep kerja secara bijak dan bukan kerja kuat kerana mempunyai tanggungjawab lain untuk diuruskan, terutamanya anak saya, Engku Aleesya Engku Emran, 9, yang sedang membesar.
“Saya tidak nafikan memang ada menerima banyak tawaran heroin, namun tidak banyak yang mampu bertoleransi dengan jadual kerja saya yang padat. Jadi, lebih baik saya membawa watak yang lebih kecil dan kurang komitmen,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem #BikinFilem di The Strand Mall, Pusat Dagangan Kota Damansara, Petaling jaya baru-baru ini.
Biarpun begitu, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu masih mempertimbangkan tawaran heroin jika naskhah yang diberikan berbaloi untuk beliau mengosongkan jadual harian tetapnya dalam tempoh tertentu.
“Jika saya benar-benar tertarik dengan karakter yang diberikan dan ia boleh memberikan kepuasan yang setimpal, saya tiada masalah untuk memberi komitmen, asalkan hasilnya berbaloi,” tegasnya lagi.
Nyanyian
Selain terkenal sebagai pelakon, anak kelahiran Rawang, Selangor itu turut pernah menempa nama sebagai penyanyi berbakat dan memiliki beberapa buah album sepanjang bergelar anak seni.
Biarpun rezekinya lebih menjurus terhadap bidang lakonan, namun jauh di sudut hati Erra, beliau masih menyimpan kerinduan untuk kembali aktif menyanyi, cuma masih belum berjumpa genre lagu bersesuaian dengan imejnya yang bertudung sekarang.
Mahu mengelak membawakan karya-karya balada putus cinta seperti zaman 1990-an dahulu, pelantun lagu Pasrah itu berkata, jika boleh beliau mahu single baharunya mempunyai elemen positif dan menyebarkan mesej yang baik.
“Niat dalam hati sebenarnya mahu membawakan lagu berentak pop, namun terfikir juga adakah ia sesuai dengan imej berhijab yang saya bawa sekarang. Malah jika mengikut permintaan peminat, mereka mahukan lagu balada, jadi saya kini berada dalam keadaan dilema.
“Buat masa sekarang, saya masih lagi mencari lagu yang sesuai dan belum berjumpa yang berkenan. Namun, saya sering berpesan kepada syarikat pengurusan jika ada yang ingin memberikan lagu, saya terbuka untuk mendengarnya,” katanya lagi.
Tambah Erra lagi, prinsipnya untuk tidak lagi menyanyikan lagu-lagu putus cinta bukan kerana ia membawa nasib malang kepada kehidupan peribadinya. Erra hanya enggan lagi melekat dalam takuk genre lama.
“Ramai juga yang beranggapan lagu-lagu sedih saya mempunyai kaitan dengan isu peribadi yang berlaku kepada saya, namun bagi saya, ia sekadar kebetulan. Sebagai orang Islam, saya sudah reda dengan apa yang tertulis dalam takdir hidup,” ujarnya sambil tersenyum.
Masih sama
Bercakap soal peribadi, pasti tidak lengkap pertemuan dengan wanita berusia 44 tahun ini tanpa menyelitkan soalan berkenaan Shahir Zawawi, jejaka yang sering dikaitkan dengannya sejak dua tahun lalu.
Hanya mampu melepaskan tawa yang besar, pelakon yang mempunyai ketinggian 168 sentimeter itu berkata, tiada apa perubahan yang boleh dikemas kini kepada peminat kerana situasi hubungannya dengan Shahir masih sama iaitu berkawan.
Mengakui juara Akademi Fantasia kelapan (AF8) itu ada datang ke rumahnya pada sambutan Aidilfitri lalu, namun ia sekadar kunjungan beraya dan tidak membawa maksud apa-apa seperti yang diharapkan oleh orang ramai.
“Anda semua akan kecewa dengan jawapan saya yang masih kekal serupa seperti sebelumnya dan ya, kami masih berkawan serta dia memang ada datang beraya dengan keluarganya pada hari raya pertama.
“Namun, tidak wujud apa-apa majlis merisik atau sebagainya. Ia cuma kunjungan biasa daripada seorang sahabat sempena raya, itu sahaja. Tanyalah saya seribu kali soalan sama, jawapannya tetap itu selagi belum sampai masa atau jodoh kami berdua,” terangnya sebelum menyimpul perbualan.