RUMAH MERTUA - Berbeza dengan Harris Baba yang sudah dua kali menyambut lebaran di rumah mertuanya di Sabah, ini merupakan kali pertama Eleena Sui pulang beraya di kampung halaman suaminya di Pahang.
LAHIR dalam sebuah keluarga campur memberikan banyak pengalaman yang berharga untuk dikutip kerana perbezaan adat, budaya dan bahasa ibunda kedua ibu bapa.
Bukan sekadar memiliki nama yang unik dan wajah kacukan, satu hal yang paling penting dalam keluarga campur juga termasuklah memori dan pengalaman ketika menyambut sebarang musim perayaan.
Situasi itulah yang dialami dua selebriti popular iaitu pelakon dan pengacara Eleena Sui serta penyanyi yang juga pelakon Harris Baba.
Eleena lahir daripada keluarga kacukan Melayu (sebelah bapa) dan Cina (sebelah ibu) manakala Harris pula berdarah kacukan Cina dan Pakistan daripada sebelah ibu serta Pakistan dan Iran (bapa).
Juadah berbeza
Kongsi Eleena yang juga merupakan pengacara program Hlive! itu, acap kali menyambut lebaran, ada sedikit perbezaan dalam keluarganya terutama dari segi hidangan juadah memandangkan ibunya berketurunan Cina.
“Setiap kali raya, mesti akan ada pelbagai juadah sampingan yang berbeza daripada makanan wajib masyarakat Melayu seperti lemang, ketupat dan rendang.
“Selalunya, ibu akan memasak makanan berkonsepkan Cina seperti burung puyuh goreng berempah dan udang masak masam manis. Jadi, daripada situ ia sudah memberi kelainan dalam sambutan hari raya saya sekeluarga,” ceritanya.
Tambah Eleena atau nama sebenarnya Nor Eleena Hamzah, sambutan lebaran dalam keluarganya menjadi lebih manis apabila kediaman mereka diserikan dengan kunjungan saudara-mara sebelah ibunya yang terdiri daripada ibu saudara, bapa saudara dan sepupu dari kampung bapanya di Pokok Mangga, Melaka.
“Selalunya mereka datang berkunjung ke rumah arwah nenek untuk beraya. Selain mengeratkan ukhuwah, perkara paling manis adalah pertukaran budaya dan tradisi sesama keluarga kami.
“Seperti contoh, mereka bersalam dan bermaafan bersama kami selain memakai pakaian yang sopan dan menghormati hari mulia. Secara tidak langsung, kami dapat berkongsi budaya bersama mereka,” kongsinya yang turut menerima angpau daripada keluarga sebelah ibunya.
Perbezaan
Baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu memberi makna berbeza buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk menyambut lebaran pada tahun ini.
Sempena hari raya tahun ini, Eleena akan pulang ke kampung suaminya yang terletak di Jaya Gading, Kuantan, Pahang sebelum pulang ke kampung halaman sebelah bapanya pada hari raya kedua.
“Ini merupakan tahun pertama saya beraya tanpa keluarga sendiri kerana menyambutnya bersama suami. Perasaan agak sedih juga tetapi perkara yang paling sedih adalah ketiadaan arwah nenek iaitu ibu kepada ayah saya yang meninggal dunia pada hujung tahun lalu.
“Saya sangat rapat dengan arwah nenek dan kehilangannya amat dirasai apatah lagi ketika menyambut hari gembira seperti ini,” ujar Eleena yang muncul dalam sebuah telemovie raya Jula Juli Bintang Putus Cinta sempena lebaran ini.
Pengalaman baharu Harris
Berbeza dengan Harris yang sudah mendirikan rumah tangga selama lebih setahun menjadikan lebaran kali ini tahun kedua disambutnya bersama isteri di Kota Kinabalu, Sabah.
Mengakui situasi tersebut sebagai pengalaman baharu dan berbeza, pemilik nama lengkap Khawaja Mohammad Harris Baba itu berkata, sambutan raya di Sabah jauh lebih meriah berbanding di negara kelahirannya, Singapura kerana isterinya mempunyai sebuah keluarga yang besar.
“Disebabkan sekarang adik perempuan saya sudah menetap di Australia, jadi kemeriahan menyambut lebaran di Singapura semakin berkurang kerana keluarga saya tidaklah besar.
“Kalau dahulu, acap kali juga saya keluar bersama sepupu menghabiskan masa bersama seperti menonton wayang pada hari raya. Berbanding di Sabah, ia sangat berbeza dan memberi pengalaman baharu kepada saya,” katanya mesra.
Tambah pelantun lagu Katakan itu lagi, perasaan terujanya tahun ini bertambah manis apabila turut membuat persediaan raya cahaya mata sulung, Aleena Ziya yang kini berusia empat bulan.
“Kalau tahun lepas cuma bersama isteri, sekarang sudah ada anak sebagai penyeri. Apa yang saya dapat rasakan, lebaran pada tahun ini akan memberi cabaran kepada saya kerana ada anak untuk diuruskan sambil beraya.
“Walaupun saya tahu keadaan itu sangat memenatkan, tetapi saya rasa seronok dan tidak sabar untuk beraya dengan si kecil,” ujarnya sambil ketawa.
Keluarga besar
Bercerita lanjut tentang sambutan raya di kampung halaman isterinya, Nik Naziha Nik Zawawi, lelaki kelahiran Singapura itu menunjukkan reaksi teruja.
Katanya, keluarga isteri yang besar sudah memberi perbezaan ketara jika dibandingkan dengan kemeriahan sambutan di Singapura.
“Tahun lepas, ada lebih 100 orang terdiri daripada kaum keluarga dan sanak saudara isteri saya datang beraya. Kemeriahannya boleh disamakan seperti sebuah majlis perkahwinan. Ia membuatkan saya sangat seronok,” ceritanya.
Berkongsi lanjut, kata Harris, antara juadah yang disediakan oleh keluarga mertuanya pada hari raya adalah makan tradisi masyarakat Sabah iaitu ambuyat.
“Ia berbeza dengan juadah yang selalu ibu saya sediakan pagi raya iaitu makanan tradisi Pakistan seperti savia, capati dan nasi daging,” tutupnya.