Puteri Aishah Ada ruang baiki lakonan


Tidak dapat dinafikan semua orang bermula daripada bawah. Begitu juga dengan heroin filem Pulang ini, Puteri Aishah. Dia juga tidak terlepas daripada situasi sama. Selepas tayangan filem Pulang, ada yang menyifatkan lakonannya kurang ‘menjadi’.

Apatah lagi digandingkan dengan pelakon berpengalaman, Remy Ishak, secara tidak langsung, ada yang cuba membanding-bandingkannya. Bagaimanapun, bagi Puteri, dia tidak melihat kritikan yang dilemparkan kepadanya itu sebagai pemutus semangat buatnya.

Bahkan, menurut pelakon berusia 24 tahun ini, dia sendiri mengakui bahawa setiap naskhah yang dibawakan itu merupakan satu proses pembelajaran buatnya. Justeru, apa jua komen yang dilontarkan umum dilihat daripada sudut positif.

“Selepas saya menonton filem itu pun, saya berasakan banyak lagi yang boleh saya perbaiki. Apabila melihat keseluruhan filem, ada juga terdetik kenapa saya tidak lakukan begini untuk satu-satu babak itu yang mana saya rasakan ia lebih baik.

“Sudah pasti saya sendiri tidak boleh berpuas hati sepenuhnya. Banyak yang saya belajar dan boleh diperbaiki pada masa depan. Lagipun, semasa saya menerima tawaran lakonan filem itu, saya masih baharu lagi. Pada masa itu, saya berkecimpung dalam dunia lakonan tidak sampai setahun,” kongsinya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menurut Puteri lagi, dia mengakui watak sebagai ibu yang dibawakan dalam filem Pulang itu merupakan cubaan sulungnya memegang karakter orang tua.

“Bukan sesuai atau tidak, sebaliknya apa yang lebih penting saya cuba untuk membawakan watak itu. Sekurang-kurangnya kita tahu sama ada kita boleh bawakan watak sedemikian atau tidak. Kalau kita tidak cuba, mana kita akan tahu kemampuan kita.

“Contohnya, selepas ini katakanlah saya dapat watak orang tua sebagai emak lagi, saya pula pernah bawakan dan tahu di mana kemampuan saya, jadi, saya boleh jadikan satu pengajaran,” jelas pelakon drama Cinta Roller Coaster itu.





Jelas Puteri, jika ada yang tidak menyukai lakonannya, dia bersikap terbuka untuk menerima respons sebegitu. Katanya, dia melihat perkara itu sebagai satu semangat buatnya memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada.

“Saya ini bukanlah seorang pelakon yang sempurna. Pada saya tidak ada orang yang sempurna. Setiap orang perlu belajar. Hari-hari kita akan cuba belajar dan memperbaiki diri. Begitu juga dengan hasil kerja.

“Jika ada yang tidak suka dengan lakonan, kita cubalah perbaiki hari demi hari agar orang akan suka. Setiap kali saya berlakon, itu sebenarnya proses belajar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Puteri, buat masa ini dia belum ada menerima lagi sebarang tawaran filem lain. Mengakui lebih banyak muncul dengan karya drama televisyen, kata Puteri, dia tidak pernah meletakkan sebarang limit untuk memilih antara filem atau drama.

“Tengoklah mana tawaran yang boleh beri duit banyak,” selorohnya sambil menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post