Saharul Ridzwan istiqamah, Zahirah MacWilson fokus karier


Tidak perlu babak intim dan bersentuhan yang mampu menggugah rasa antara watak Fika dan Shah dalam drama Jangan Benci Cintaku, namun lakonan Saharul Ridzwan dan Zahirah MacWilson tetap berjaya menerobos jiwa dan rasa penonton sehingga mencapai jumlah tontonan sebanyak 12 juta sepanjang 28 episod tayangannya.

Pada masa sama, watak Husna dan Nek Pah yang menjadi penambah perisa kepada jalan cerita Jangan Benci Cintaku yang baru sahaja melabuhkan tirainya Selasa lalu itu juga perlu diberikan merit.

Ada yang berpendapat, seseorang artis itu perlukan drama yang menarik untuk impak kehadirannya dalam industri seni dirasai peminat seni. Analoginya, itu yang dilalui Saharul dan Zahirah selepas menjayakan drama Jangan Benci Cintaku.

Mereka berjaya melakari watak Fika dan Shah dengan baik sehingga mengusung kembali pesona kehadiran Saharul yang sudah enam tahun berada dalam industri seni, manakala Zahirah pula beranggapan drama itu sebagai langkah cemerlang untuk dirinya yang baru tiga tahun melayari portfolio sebagai anak seni.

“Kalau ikutkan, drama Kau Aku Kita merupakan pencapaian terbaik yang pernah saya dapat. Drama tersebut berjaya merangkul enam trofi di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016). Cuma bezanya untuk drama Jangan Benci Cintaku, nama saya kembali bersinar. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan drama berkenaan.

“Bagaimanapun, saya harapkan janganlah jadikan drama itu sebagai hiburan semata-mata tanpa mengambil mesej yang ditinggalkan sebagai pedoman bersama,” ujar Saharul yang pernah nekad untuk berhenti berlakon selepas tidak mampu menolak secara terbuka untuk menjayakan babak bersentuhan.





Ustaz

Dia membuka cerita bahawa satu ketika dahulu, selepas berlakon dalam drama Romi Cinta Julia, ada satu insiden yang berlaku sehingga menyedarkannya untuk tidak lagi melakonkan babak bersentuhan apatah lagi berpelukan di dalam drama.

“Sebetulnya saya tidak mahu ada babak bersentuhan langsung dengan mana-mana pelakon wanita. Namun, sampai ke saat berlakon dalam drama Jangan Benci Cintaku, saya tidak ada kekuatan untuk mengatakan tidak kepada benda yang salah itu,” luah Saharul yang tidak tewas diusik sensasi.

Terkesan atas apa yang dilakukan, Saharul berasakan inilah masanya untuk meletakkan noktah pada dunia seni yang dicintainya. Bahkan hasratnya itu turut disampaikan kepada isterinya, Deena Emir supaya wanita itu bersedia dan sentiasa di belakangnya mengharungi liku kehidupan selepas dia hilang punca pendapatan keluarga.

“Selepas Ali (anak sulung) hadir dalam hidup saya dan isteri, hati saya lagi kuat menolak untuk menjayakan babak bersentuhan di dalam filem. Ali menjadi salah satu penyebab yang membuatkan saya sentiasa berfikir untuk berhenti berlakon.

“Bagaimanapun, ketika hati sudah nekad untuk berhenti, Allah hadirkan seorang ustaz untuk membimbing saya. Dia meminta saya untuk menjadikan lakonan sebagai medium untuk menyebarkan dakwah. Pada masa sama, dia juga meminta saya mencari kekuatan untuk menolak melakonkan babak bersentuhan pada masa-masa akan datang,” ujarnya yang kembali terbuka untuk berlakon dan turut mendapatkan beberapa pandangan ustaz dan imam masjid berhubung perkara yang tidak difahaminya selama ini.

Sedar lebih banyak godaan dan ujian yang bakal dihadapinya selepas ini termasuk disuakan konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan, pelakon berusia 29 tahun itu siap siaga menerimanya.

“Saya sudah bersedia sebab sedar orang sentiasa akan mencari salah. Sebagai manusia, kita semua melakukan kesalahan. Saya juga begitu dan mungkin kejap lagi saya akan buat salah. Namun, saya berdoa agar diberikan kekuatan untuk terus istiqamah,” ujarnya yang kini kelihatan kurus demi menjayakan watak terbaharunya sebagai penagih dadah menerusi telemovie arahan Pali Yahya.

Zahirah akui budak baharu

Frekuensi kemunculan Zahirah dalam industri seni selama ini barangkali lebih menyerlah menerusi kisah peribadi dan wajah jelita yang dimiliki.

Hakikatnya, menerusi drama Jangan Benci Cintaku, penjiwaan lakonan yang diberi berjaya dirasai penonton sekali gus mengangkat namanya sebagai pelakon yang bukan sekadar bersandar pada rupa semata-mata.

“Saya gembira dan bersyukur kerana akhirnya dapat buktikan kepada penonton yang saya berbakat dalam bidang lakonan walaupun baru tiga tahun dalam industri seni. Bagaimanapun, saya akui masih banyak lagi yang perlu dipelajari dan perbaiki dari segi lakonan,” ujar pelakon berdarah campuran Inggeris-Melayu itu.

Berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk peminatnya pada masa-masa akan datang, Zahirah juga mengakui tidak menolak andai ‘berjodohan’ semula dengan Saharul dalam drama mahupun filem selepas ini.

Meskipun tahu batasan yang harus dilaluinya ketika berlakon dengan Saharul, namun pelakon jelita itu akui selesa berlakon dengan aktor berbakat berkenaan.

“Drama Jangan Benci Cintaku merupakan gandingan pertama kali kami. Kalau ada projek lagi dengan dia saya akan katakan ya sebab dia seorang pelakon bagus.

“Sementara itu, saya hormat dengan keputusannya untuk tidak melakonkan babak bersentuhan, bahkan saya juga selesa begitu (tidak berlakon bersentuhan),” jelasnya yang bakal muncul menerusi sebuah filem aksi tidak lama lagi.

Buat masa ini, Zahirah mengakui sedang menjalani latihan seni bela diri, Muay Thai selama dua bulan untuk filem terbaharunya. Masih tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai filemnya itu, kata Zahirah, dia juga terpaksa mengawal pemakanannya untuk mendapatkan otot pada tubuhnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post