Ikhwan bersama teman wanita, Hidayu merancang berkahwin sekitar hujung tahun ini.
Ramai berpendapat, seseorang yang sudah mempunyai tapak kukuh dalam industri seni lebih mudah mendapat peluang mempromosikan diri sekiranya mahu melebarkan sayap mencuba sesuatu cabang karier yang lain.
Pandangan tersebut bagaimanapun kurang dipersetujui oleh penyampai radio Kool FM, Ikhwan atau nama penuhnya, Mohd Khairul Ikhwan. Ikhwan merasakan penyataan tersebut sebagai kurang tepat kerana setiap orang perlu berusaha keras untuk mencapai cita-cita tanpa perlu mengharapkan ihsan latar belakang atau ihsan mana-mana pihak.
Muncul dengan single bertajuk Percaya kolaborasi bersama Didi Astilah, Ikhwan sabar menanti penerimaan daripada pendengar dan akur jika tempat kerjayanya sendiri tidak memutarkan lagu nyanyian.
KOSMO!: Mengapakah Ikhwan memilih untuk menjadi penyanyi walaupun sudah mempunyai kerjaya tetap sebagai penyampai radio?
IKHWAN: Sejak dahulu lagi saya meminati bidang muzik tetapi rezeki ke arah dunia penyiaran lebih terbuka jadi saya pendamkan dulu hasrat itu. Saya bukan mahu cuba menjadi penyanyi kerana bakat saya lebih ke arah sebagai seorang rapper. Apabila ada peluang untuk merakam lagu ini bersama Didi bawah edaran Warner Music, saya tidak lihat ia menjadi satu kesalahan untuk cuba mengejar kembali impian saya.
Boleh ceritakan sedikit tentang lagu Percaya ini?
Ini adalah lagu ciptaan Jamiel Said dan Aiyad Sakti manakala lirik pula oleh Jamiel bersama saya sendiri pada bahagian rap. Ini adalah percubaan pertama sebagai rapper untuk menembusi pasaran komersial. Sebelum ini saya lebih banyak menghasilkan muzik indie. Lagunya santai dan kena dengan selera remaja sekarang, jadi saya berharap ia akan mendapat tempat di hati peminat. Pemilihan Didi sebagai rakan duet pula adalah cadangan pihak Warner Music.
Apakah signifikan nama Nawkhi yang dipilih sebagai nama pentas anda?
Sebenarnya ia adalah ejaan terbalik nama Ikhwan dan tujuan saya memilih nama itu adalah sebagai pemberitahuan dua-dua individu ini adalah orang yang sama cuma berbeza pendekatannya.
Sekurang-kurangnya ia tidak lari jauh daripada nama sebenar dan saya tidak mahu peminat keliru jika saya memilih nama lain sebagai nama pentas.
Adakah tugas anda sebagai penyampai radio memberikan sedikit kelebihan untuk memutarkan lagu sendiri?
Tidak, setiap lagu yang diputarkan akan ditapis dan mengikut selera pendengar, jadi saya seperti artis-artis lain perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum karya disarkan. Jadi tiada istilah jalan mudah walaupun saya bekerja di stesen radio popular kerana semuanya perlu mengikut peraturan.
Adakah perkara tersebut membuatkan anda kecewa memandangkan ia boleh menjadi platform untuk mempromosikan diri?
Saya tidak melihat perkara itu sebagai isu besar kerana pada zaman ini, teknologi sudah canggih jadi masih banyak ruang untuk saya menonjolkan diri sebagai artis.
Jika lagu mendapat permintaan di radio, itu satu bonus dan jika tidak, saya akan usaha lagi agar peminat tahu bahawa selain menjadi penyampai radio, saya juga mempunyai satu lagi karier iaitu sebagai rapper.
Menyentuh sedikit soal peribadi, baru-baru anda mengakui sedang bercinta dengan seorang wanita berstatus janda anak satu yang dikenali sebagai Hidayu. Bagaimanakah perkembangan hubungan kalian setakat ini?
Niat untuk berkahwin memang ada. Kalau boleh saya ingin bernikah pada hujung tahun ini memandangkan anaknya juga sudah boleh menerima saya. Namun, perkara itu masih dalam perbincangan kerana keluarga saya belum lagi bertemu keluarganya secara rasmi untuk bercakap soal perkahwinan kami.
Sekarang saya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada bapa Hidayu yang baru pulang dari menunaikan haji untuk meneruskan rancangan untuk bernikah. Jika sudah ada tarikh tetap, saya akan kongsikan dengan peminat dan teman media.
Ini bermakna anda tidak akan bertunang dan terus berkahwin?
Ya kerana saya sudah serik mengalami situasi putus tunang sebanyak dua kali dengan dua wanita berbeza. Lagipun umur saya sudah 33 tahun, lebih baik rasanya jika terus bernikah apabila sudah bersedia kerana bertunang hanya adat dan bukan kewajipan.
Sudahkah anda bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa segera?
Jika mahu bercakap soal bersedia, saya sudah lama mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal untuk bergelar bapa cuma jodoh belum sampai. Kini saya ditemukan dengan wanita yang sudah mempunyai cahaya mata, ia seperti doa yang dimakbulkan.
Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk wanita yang bakal saya nikah, jadi saya anggap memiliki anak tiri sebagai satu keistimewaan yang tidak semua orang peroleh.