Ceritera cinta, seni Shiha Zikir


SHIHA bakal muncul dengan single baharu duet bersama kumpulan De Meises bertajuk Jangan Bilang Siapa-Siapa.

SELEPAS tampil dengan buah tangan baharu berjudul Seperti Novel Cinta, Shiha Zikir bakal muncul dengan single seterusnya, kali ini berduet dengan kumpulan popular Indonesia, De Meises menerusi lagu Jangan Bilang Siapa-siapa.

Bakal dilancarkan di tanah air sekitar November nanti, Shiha teruja diberi peluang berkolaborasi dengan penghibur dari seberang tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan di Indonesia.

Sambutan baik daripada peminat di Indonesia juga meyakinkan Shiha untuk mengharapkan perkara sama berlaku di Malaysia

Menurut Shiha, meskipun aktiviti seninya lebih mendapat perhatian di negara republik tersebut berbanding Malaysia, penyanyi berusia 29 tahun itu mengambilnya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha tanpa putus asa.

“Kelangsungan kerjaya di kedua-dua buah negara berjalan lancar dan ia bukan satu masalah sekiranya saya kelihatan menyerlah di negara orang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Butik The Urban Hijra, Bandar Baru Bangi.

Selain bergelar penyanyi, Shiha turut menjadikan bidang lakonan dan pengacaraan sebagai cabang seni untuk mengukuhkan portfolio sebagai artis serba boleh.

Pernah muncul menerusi drama rantaian Abang Sado Kau Ado dan menggalas peranan sebagai pengacara program televisyen, Kaki Bola di TV9, Shiha bagaimanapun memilih kerjaya sebagai penyanyi fokusnya.

Tambahan, ketetapan syarat oleh pihak Indonesia buat selebriti luar yang ingin bekerja di negara mereka juga agak ketat menjadikan situasi tersebut sebagai satu kesukaran buat dirinya.

Bagaimanapun, Shiha tetap optimis untuk meneruskan kariernya di Indonesia kerana, apatah lagi namanya seperti baru digilap semula selepas memperoleh tempat ketiga menerusi pertandingan nyanyian D’Academy Asia tahun lepas.

Kahwin

Melepaskan ketawa kecil saat diusik dengan pertanyaan perkahwinan, Shiha mengakui, persoalan tersebut sering diajukan pada dirinya memandangkan dia bakal memasuki fasa 30-an tidak lama lagi.

Tidak berasa tertekan meskipun mendapat desakan ‘manja’ daripada ahli keluarga terdekat, wanita kelahiran Pulau Pinang itu hanya membiarkan persoalan tersebut dijawab oleh ketentuan takdir.

Menjalin hubungan cinta sejak 2009, dalam nada gembira Shiha berkongsi tentang kesediaannya menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada sang pujaan hati yang hanya dikenali sebagai Arul.

Mengamalkan sikap terbuka dalam soal peribadi, Shiha bersyukur kerana dipertemukan dengan jejaka yang memahami kedudukannya sebagai anak seni.

“Dia merupakan yang sangat memahami dan penyokong tegar kerjaya seni saya. Dia juga tidak membantah mahupun menghalang minat saya untuk terus bergelar artis.

“Persoalan bila akan melangsungkan perkahwinan memang ada terlintas di fikiran tetapi buat masa sekarang, kami berdua masih tiada sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang,” tuturnya sambil tersenyum.

Kongsi Shiha lagi, sepanjang tempoh perkenalan dengan Arul, jejaka berusia 29 tahun itu tidak pernah meninggikan suara terhadap dirinya apatah memulakan pertengkaran.

Saling bertolak ansur, Arul turut bertindak sebagai pengurus Shiha pada hujung minggu sekiranya mempunyai kelapangan waktu, manakala selebihnya diuruskan sendiri dengan bantuan daripada pihak label, Wake The Baby.

Post a Comment

Previous Post Next Post