Kim Rae Won lahir rasa terharu


Berikutan sambutan hangat terhadap drama bersiri popular Korea Selatan, Doctors, kegilaan peminat terhadap barisan pelakonnya memang luar biasa. Drama berkenaan benar-benar mencipta fenomena.

Kim Rae Won sebagai teraju utama tidak ketinggalan membuatkan ramai penonton drama itu jatuh cinta.

Wataknya sebagai Hong Ji-hong ternyata meninggalkan impak yang sangat mendalam.

Hadir ke Kuala Lumpur kelmarin, pelakon berusia 35 tahun itu tidak menyangka lebih 5,000 peminat menantinya dalam majlis A Date With Kim Rae Won di sebuah pusat beli-belah itu.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih terhadap apa yang anda semua lakukan dan berikan pada hari ini (kelmarin). Tidak sangka sampai begini sekali sokongan anda terhadap saya di Malaysia.

“Rasa bersalah pula kerana sebaik tamat penggambaran, saya tidak sempat menyertai pelakon lain untuk melakukan promosi. Saya sangat sibuk dengan penggambaran lain pula selepas itu,” katanya.

Apa yang pasti, auranya sebagai Hong Ji-hong bukan saja terserlah di kaca TV, tetapi juga sebagai dirinya sendiri. Tidak hairanlah dia sangat digilai ramai terutama wanita.

Jika diteliti, Kim antara pelakon yang mampu menghidupkan sesuatu watak dengan begitu berkesan. Bakatnya memang tidak boleh disangkal lagi seperti diakui peminatnya.

Ketika diajukan soalan mengenai pujian paling diingati mengenai wataknya dalam Doctors, dengan nada rendah diri Kim berkata, dia tidak mahu dibuai pujian.

Bagaimanapun, ada satu komen peminat yang benar-benar membuatnya gembira.

“Saya mendapat maklumat daripada wartawan mengenai sebuah artikel mengenai saya. Apabila saya melihat satu persatu komen mereka, terasa diri sangat kerdil pula dengan pujian yang diberikan.

“Ada satu komen serta-merta menusuk kalbu apabila peminat berkenaan mengatakan dia sangat bertuah menjadi generasi yang hidup sewaktu drama itu ditayangkan. Rasanya sangat indah apabila ia menjadi inspirasi kepada sesetengah orang,” katanya.

Pada acara berkenaan, seawal 9.30 pagi sudah ada peminat berkumpul di tapak acara semata-mata mahu bertemu Kim. Beberapa peminat bertuah turut berpeluang naik ke pentas dan bertentang mata dengannya.

Bagaimanapun, daripada raut wajahnya dia ternyata memang tidak dapat me­nyembunyikan rasa terharu melihat sokongan pada malam itu. Sebaik jeritan bergema, dia tidak henti-henti melambai setiap penjuru dan hampir bergenang air mata.

Siri Doctors bakal ditayangkan semula menerusi saluran One HD (Astro 393) bermula 30 Oktober ini, setiap Ahad, jam 12.45 tengah hari.

Post a Comment

Previous Post Next Post