Razis Ismail kembali bukan kerana nama


BUKAN kerana nama, sebaliknya Razis Ismail percaya, penglibatannya dalam Gegar Vaganza musim ini akan meninggalkan memori manis untuk artis veteran sepertinya.

MUNGKIN ada segelintir peminat yang agak asing apabila mendengar nama penyanyi Razis Ismail, terutamanya golongan muda masa kini. Ironinya, sebaris nama itu pernah menjulang populariti selaku penyanyi sekitar era 1980-an dan 1990-an menerusi beberapa lagu hit antaranya Kepulangan, Hadirmu Membawa Sinar dan Kau Mawar Merahku.

Sekian lama menghilang, Razis Ismail tiba-tiba diumumkan selaku peserta Gegar Vaganza musim ketiga yang akan mula bersiaran pada 16 Oktober ini.

Razis mengambil peluang tersebut untuk kembali menonjolkan diri dalam industri biarpun pernah mengambil keputusan untuk berhenti bernyanyi pada 1997.

Ikuti penjelasan penyanyi berusia 56 itu tentang keputusannya tentang kepulangannya ke padang nyanyian.

KOSMO!: Tahniah kerana Razis berjaya menempatkan diri sebagai peserta Gegar Vaganza musim ketiga. Selepas agak lama meninggalkan nyanyian, apakah yang membuatkan anda kembali semula ke dalam industri?

RAZIS ISMAIL: Terima kasih. Memang benar saya pernah buat keputusan untuk berhenti menyanyi iaitu dari tahun 1997 sehingga 2010.

Hendak dijadikan cerita, sekitar tahun 2010, pelakon Datuk Shah Rezza ada menghubungi saya untuk melakukan persembahan pada Festival Fesyen Islam (FFI).

Atas niat ingin membantu kawan, tawaran tersebut tiba-tiba mengubah perjalanan karier saya apabila dilimpahi dengan banyak undangan persembahan selepas itu.

Dari situ, saya kembali aktif menyanyi walaupun tidak didedahkan kepada media.

Jadi, selama tempoh menyepikan diri daripada bidang seni, apakah yang anda lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup?

Pada waktu itu, saya bertukar arah dengan melakukan banyak pekerjaan antaranya mengusahakan perniagaan makanan kantin di sebuah sekolah di Wangsa Maju. Selepas itu, saya menjadi penasihat kepada sebuah syarikat pengeluar produk makanan tambahan dan kosmetik selama tiga tahun sebelum berhenti sekitar bulan puasa yang lalu.

Bagaimana perasaan anda apabila terpilih menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ketiga?

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat menyertai program sebegini. Niat saya bukanlah untuk mengejar populariti tetapi cukuplah jika dikatakan bahawa tujuan penyertaan ini sebagai medium untuk memberitahu masyarakat dan peminat bahawa saya masih ada dalam industri.

Ia tidak lebih daripada itu. Disebabkan itu jugalah, saya sentiasa bersedia andai pembabitan saya dalam program ini tidak kekal lama. Apa yang penting adalah pengalaman dan peluang bertemu rakan-rakan lama.

Adakah ini merupakan kali pertama anda ditawarkan menyertai Gegar Vaganza?

Jika diikutkan, sejak musim pertama dan kedua lagi pihak Astro sudah memberi tawaran tetapi pada waktu itu, saya belum bersedia. Sewaktu menghadiri uji bakat pun, saya tidak memaklumkan kepada anak-anak serta isteri atas alasan ia sekadar suka-suka dan tidak meletakkan sebarang harapan.

Sehari sebelum tarikh uji bakat, barulah saya membuat keputusan untuk menyertai program ini. Isteri saya tahu tentang perkara ini pun apabila ada rakannya melihat post yang dikongsikan penaja program iaitu Datuk Seri Vida menerusi Instagramnya (ketawa).

Dunia hiburan kini mudah terdedah dengan ancaman kritikan langsung daripada pengguna media sosial, sudahkan anda bersedia dengan situasi tersebut?

Memang betul, sekarang masyarakat boleh menjadi hakim untuk mengadili hidup orang lain dengan hanya menggunakan media sosial.

Walaupun sedar dengan ancaman sebegitu tetapi saya percaya, jika amalkan sikap tidak ambil peduli, insya-Allah saya tidak akan terkesan dengan segala kritikan negatif yang datang daripada media sosial.

Adakah penyertaan dalam program ini akan menjadi platform untuk anda kembali aktif dalam industri?

Seperti yang dikatakan tadi, saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk program ini. Dapat melepaskan diri selaku peserta pun, itu sudah cukup memadai buat saya.

Jika rezeki saya terbuka luas untuk kembali aktif dengan mengeluarkan single, saya tidak akan menolak. Cuma, jika diberi peluang, selepas ini saya ingin bekerjasama dengan komposer lama seperti Manan Ngah yang merupakan pencipta lagu Kepulangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post