Harmoni Syawal Ashraf Muslim sekeluarga


BAHAGIA - Selepas melalui kontroversi rumah tangga empat tahun lalu, Ashraf kini menikmati kehidupan berkeluarga bersama kedua-dua isteri tercinta, Dayana (kiri) dan Sakinah (kanan) dalam suasana yang cukup harmoni.

Hari berganti minggu, tanpa sedar, rupa-rupanya sudah empat tahun pelakon Ashraf Muslim hidup berpoligami bersama dua isterinya, Noor Dayana Lokman, 30, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 33.

Keharmonian rumah tangga yang kini diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata, Sarah Ashraf, 3, Adam Ashraf, setahun sembilan bulan (anak isteri kedua) dan Anas Ashraf, setahun enam bulan (anak isteri pertama), secara automatik melenyapkan kontroversi yang pernah menggegarkan satu Malaysia dengan berita poligami Ashraf.

Berbicara mengenai perkara tersebut, Ashraf, 36, yang ditemui pada sesi fotografi di kediamannya baru-baru ini mengawali reaksinya dengan senyuman.

Ya, dia pernah dihentam kanan dan kiri, malah menjadi lelaki paling dibenci khalayak, terutamanya wanita gara-gara keputusannya untuk bernikah dengan isteri kedua secara senyap-senyap empat tahun lalu.

Berkat kesabaran, Ashraf kini menikmati kehidupan berkeluarga dengan dua isteri dalam suasana penuh kemanisan. Malah, dia kini secara terbuka membawa kedua-dua isterinya ke acara hiburan.

Terbaharu, Ashraf menarik perhatian ramai apabila membawa Dayana dan Sakinah ke Anugerah Bintang Popular yang berlangsung pada Mei lalu.

“Alhamdulillah sekarang saya merasai nikmat hidup berpoligami apabila sabar dalam mendidik kedua-dua isteri. Inilah kesannya jika kita buat apa yang Allah suka. Keluarga saya sangat harmoni dan kedua-dua isteri semakin serasi serta saling bertolak ansur.

“Bohonglah jika saya kata tiada masalah. Dalam setiap perkahwinan pasti ada masalah, itulah yang menyerikan lagi kehidupan kita. Sebagai ketua keluarga, saya harus bijak menyelesaikan masalah dan mengambil kira pendapat kedua-dua pihak. Apa yang penting sekarang adalah menjaga keharmonian tersebut supaya berkekalan,” ujar Ashraf.

Bukan itu sahaja, pandangan sinis masyarakat terhadapnya juga semakin berubah. Kebencian menggunung terhadapnya suatu ketika dahulu terpadam begitu sahaja selepas Ashraf dilihat bijak mengemudi rumah tangganya.

“Dulu memang orang tidak suka dengan saya dan cakap macam-macam. Sekarang ada orang berjumpa dengan saya dan secara tiba-tiba minta maaf termasuk ketika di Mekah. Hal ini kerana mereka berasa bersalah kerana pernah mengutuk saya suatu ketika dahulu.

“Apa pun saya memaafkan setiap orang yang membenci dan bercakap macam-macam tentang diri saya. Sebab saya sedar bukan mudah untuk semua orang menerima keputusan berpoligami,” kata Ashraf.

Ditebak tentang rahsianya mengekalkan keharmonian rumah tangga, tegas pemilik Al Hidayah Productions Sdn. Bhd. itu, masa berkualiti amat penting baginya.

“Sebagai pelakon dan ahli perniagaan, peruntukan masa berkualiti bersama keluarga amat penting. Jika setiap hari berjumpa, tetapi masing-masing sibuk dengan hal sendiri pun tiada gunanya. Contoh masa berkualiti bagi saya adalah makan bersama dan berbual tanpa sebarang gangguan kerja.

“Sebenarnya dapat satu jam sehari pun sudah cukup. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan isteri-isteri yang bijak dalam soal pengurusan masa. Semasa ketiadaan saya, mereka akan menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan sebarang kerja.

“Jadi, apabila saya pulang ke rumah salah seorang mengikut giliran, mereka sudah berehat dan bersedia untuk menghabiskan masa berkualiti,” tuturnya panjang lebar.

Adil


ANUGERAH - Ashraf kini bahagia apabila dikurniakan tiga orang cahaya mata, Sarah Ashraf (atas), Anas Ashraf (kiri) dan Adam Ashraf (kanan).

Jika bercakap tentang keadilan dalam rumah tangga, orang paling tepat untuk disoal sudah tentulah kedua-dua isteri Ashraf kerana mereka yang melalui kehidupan bersama lelaki itu.

Isteri pertamanya Dayana yang merupakan seorang doktor di sebuah klinik kesihatan di ibu kota menjelaskan suaminya seorang yang penyabar. Disebabkan itu, rumah tangga yang pernah dilanda badai suatu ketika dahulu, kini berjalan dengan aman damai.

“Ashraf seorang yang sangat penyabar dengan kedua-dua isterinya. Alhamdulillah selepas empat tahun, kami tidak ada sebarang masalah kerana masing-masing faham peranan dan peraturan.

“Ashraf mengamalkan sistem giliran dua malam untuk setiap rumah isteri, tetapi kami bertolak ansur jika terdapat anak yang sakit. Saya dan Sakinah juga sudah seperti adik beradik, kami cukup rapat. Mungkin juga disebabkan pendekatan suami yang sentiasa mendahulukan isteri-isteri dalam membuat keputusan termasuklah hal kerjanya,” luah Dayana jujur.

Pada masa sama, Sakinah pula mengakui suaminya seorang yang cukup adil melayani kedua-dua isteri. Oleh itu, tidak timbul sebarang masalah atau cemburu antara mereka sementelah ketiga-tiga anak mereka begitu rapat antara satu sama lain.

“Ashraf seorang suami yang adil, keperluan kami semuanya cukup serba-serbi. Dia menyediakan segala kelengkapan dengan adil, jadi apa lagi saya sebagai isteri mahukan.

“Biasanya, saya dan Dayana akan berbincang dalam setiap perkara termasuklah soal persiapan raya. Jadi, tidak timbul sebarang isu kerana kami faham tuntutan masa suami yang terhad. Berkongsi suami, kadangkala kita harus bertolak ansur, tetapi jangan sampai mengambil kesempatan kerana kami sudah menetapkan peraturan tertentu bagi mengekalkan keharmonian,” kata Sakinah.

Raya cara Ashraf

Beralih bicara tentang sambutan raya, pelakon itu menjelaskan seperti biasa dia akan berlaku adil pulang ke tiga buah destinasi iaitu di Gombak, Selangor (keluarga Dayana), Ipoh, Perak (keluarga Sakinah) dan Melaka yang merupakan kampung halamannya sendiri.

Bagaimanapun untuk tahun ini, dia akan pulang beraya di kampung halaman isteri keduanya terlebih dahulu memandangkan ibu bapa isteri pertamanya hanya berada di tanah air pada raya ketiga kerana menunaikan umrah.

“Biasanya setiap kali tiba raya, saya mengamalkan konsep giliran seperti orang lain. Saya faham, pada hari raya setiap isteri inginkan masa berkualiti, jadi apabila pulang ke kampung saya di Melaka barulah saya pulang membawa kedua-dua isteri sekali,” katanya yang berhasrat untuk menambah bilangan cahaya mata.

Menyentuh soal kerjaya, pertambahan ahli keluarga bermakna komitmennya juga semakin besar. Justeru, Ashraf tidak bergantung sumber pendapatan terhadap lakonan semata-mata, sebaliknya menceburi bidang perniagaan untuk menambah rezeki.

Menerusi syarikat produksinya Al Hidayah Productions Sdn. Bhd., selain drama, Ashraf juga mula berjinak-jinak menerbitkan filem. Filem pertama terbitannya berjudul Bukan Cinta Malaikat, kerjasama bersama syarikat produksi Ace Motion Pictures milik sutradara Aziz M. Osman.

Filem yang membariskan pelakon Malaysia dan Indonesia termasuk Nora Danish itu dijangka bakal ditayangkan di pawagam pada Aidiladha tahun ini.

“Saya bertindak sebagai pelakon dan juga penerbit bersama dalam filem Bukan Cinta Malaikat. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Bukan mudah untuk menerbitkan sesebuah filem.

“Filem ini menelan kos yang tinggi kerana menjalani penggambaran di Arab Saudi iaitu Mekah dan Madinah, selain di Malaysia dan Indonesia. Namun begitu, ia sebuah pengalaman baharu yang menarik,” jelas Ashraf.

Post a Comment

Previous Post Next Post