Mohd terpikat dengan sifat lemah lembut Asyiqin.
Penyanyi Mohd yang lahir dari program realiti, Mentor, akui tidak sabar untuk mempunyai zuriat sendiri.
Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, 29, berkata dia sudah bersedia bergelar suami dan ayah sejak melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihan bernama Nurul Asyiqin Zaidi.
"Saya memang tak sabar nak ada anak sendiri. Perasaan itu mula timbul sejak saya bertunang pada bulan Oktober tahun lalu.
"Sejak dari itu, saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga bersama bakal isteri.
"Kalau boleh saya nak anak ramai macam boleh buat pasukan bola sepak," kata Mohd ketika dihubungi.
Mohd dan Asyiqin sudah menjalinkan hubungan cinta sejak empat tahun lalu.
Majlis akad nikah dan persandingan antara Mohd dan Asyiqin, 23, akan diadakan pada hari yang sama iaitu 14 Oktober ini di Dewan Recsam, Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, Pulau Pinang.
Pasangan ini melangsungkan pertunangan pada 8 Oktober tahun lalu di kediaman pihak wanita di Pulau Pinang.
Menurut Mohd, dia terpikat dengan sifat seperti wanita Melayu terakhir yang ada pada diri tunangnya.
Mohd Mentor.
"Saya terpikat dan tertarik dengan sifat yang ada pada diri Asyiqin. Dia seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa dan hormat orang tua.
"Dia seperti wanita Melayu terakhir yang saya idamkan. Biarpun jarak umur kami beza enam tahun tapi itu tidak menghalang kami untuk berkahwin," ujarnya.
Dalam perkembangan nyanyian, Mohd bakal mengeluarkan single terbaru pada awal tahun hadapan. Single keenam itu dalam proses pembikinan bersama ahli kumpulan Hyperact.
Bagaimanapun, Mohd lebih mengutamakan perniagaan sewa rumah, kedai, grab dan uber.
"Insya-Allah awal tahun hadapan saya akan mengeluarkan single terbaru. Tapi belum ada judul lagi.
"Sekarang masih dalam proses pembikinan bersama ahli kumpulan Hyperact iaitu Akir dan Frozen.
"Tapi saya lebih fokus pada perniagaan sewa rumah, kedai, grab dan uber di Johor," katanya.