Peminat mahu penyanyi Baby Shima dan Khai Bahar menjadi pasangan kekasih.
Penyanyi Baby Shima tidak ambil serius usikan peminat yang mahu dia menjalinkan hubungan cinta dengan Khai Bahar.
Menurut Shima atau nama sebenar Nor Ashima Ramli, dia tidak kisah dengan gurauan tersebut kerana ia sudah menjadi kebiasaan di kalangan selebriti.
"Biasalah tu kalau peminat 'jodoh-jodohkan' artis kesukaan mereka. Sedangkan kami hanya berkawan sahaja.
Baby Shima dan Khai Bahar mula dikenali di Indonesia.
"Lebih-lebih lagi ramai mengenali saya dan Khai di aplikasi Smule, jadi mereka fikir kami sesuai menjadi pasangan kekasih.
"Sampaikan ada yang kata kami bercinta hanya kerana pernah berduet bersama dalam persembahan nyanyian," katanya.
Sementara itu, Baby Shima yang sedang menempa nama di Indonesia mengakui teruja dengan sambutan peminat di sana.
Malah, dia tidak menyangka ada syarikat rakaman di negara seberang yang sudi melamar dirinya menjadi artis di bawah label mereka.
"Saya sekarang bernaung bawah syarikat Nagaswara Indonesia dan sedang sibuk dengan rangka promosi single terbaharu berjudul Makan Hati.
"Lagu tersebut dicipta oleh komposer Yogi dan hanya akan diedarkan di Indonesia kerana ia bergenre dangdut dan lebih dekat dengan peminat," katanya.
Baby Shima seronok dengan penerimaan peminat di Indonesia.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 24 tahun ini terharu dengan sambutan peminat terhadap kerjaya seninya di negara itu.
Malah, dia sudah mula selesa dan mahu lebih serius untuk meneruskan karier di seberang.
"Selepas ini saya akan lebih serius dalam industri muzik dan mahu bina nama ke tahap yang lebih tinggi.
"Peminat Indonesia juga sangat sporting, apabila saya buat persembahan mereka turut sama menari.
"Mereka memberi sokongan yang tak berbelah bagi dan terasa bagai berada di kampung halaman sendiri," katanya