Erry Putra tidak mengamalkan sikap berkira dalam soal bayaran diterimanya.
Pelakon Erry Putra tidak pernah berkira mengenai bayaran yang bakal diterima ketika melakukan tugas sebagai penyanyi atau pelakon kerana ia merupakan cara untuk dia terus bertahan dalam industri seni tempatan.
Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @Ahmad, 38, berkata, walaupun dia boleh bersikap 'demand' kerana berpengalaman hampir 20 tahun namun dia harus realistik bukan mudah untuk kekal dalam bidang seni.
"Pada saya soal bayaran adalah perkara kedua kerana saya juga harus fikir bagaimana untuk terus bertahan dan mengekalkan jenama saya ketika perlu bersaing dengan artis sedia ada.
"Ini bukan waktunya untuk saya bersikap tamak dan 'demand' hanya kerana perkara itu yang akhirnya akan merugikan diri saya sendiri," katanya kepada mStar Online.
Erry ditemui dimajlis pelancaran filem Last Kopek Havoc yang diterbitkan dalam format cakera digital (DVD) yang diadakan di Taman Tasik Putrajaya di sini, Selasa.
Selain Erry, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Pablo Amirul, Johan Raja Lawak, Saiful Apek, Wan Hanafi Su, Chacha Maembong, Sofi Jikan, Fezrul Khan, Azad Jasmin dan Bell Ngasri.
Erry Putra.
Diarahkan oleh Reen Emran dan Along Eyzendy ia diterbitkan oleh Malayan Brotherhood Venture dengan kerjasama HornBill World Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Erry yang pernah menganggotai kumpulan Boyz 'R' Us pada 1999 memberitahu selain berlakon dia kini masih aktif menyanyi malah pernah melancarkan dua buah album solo.
Bagaimanapun album berkenaan tidak berada di pasaran sebaliknya dia hanya menjual terus kepada peminat ketika mengadakan persembahan.
"Dua album berkenaan memang tidak ada sebarang pelancaran atau pun promosi apatah lagi lagu dimainkan di radio kerana saya terbitkan album itu hanya untuk kepuasan diri sendiri.
"Ia juga untuk memberitahu peminat bahawa selain berlakon saya juga seorang penyanyi.
"Jujurnya saya tidak malu apabila menjual sendiri CD kepada peminat malah berasa seronok dapat melihat keterujaan mereka membeli dari tangan saya sendiri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Erry berkata, dia kini sibuk dengan proses menyiapkan lagu duet terbaharu Elly Mazlein bersama Uchop (Vokal Bukan Sekadar Rupa 2) berjudul Cerita Cinta Kita yang turut mendapat sentuhan Jeff daripada kumpulan A to Z.
Selain itu, dia kini sedang sibuk dengan pemggambaran drama Bunga Lalang yang memerlukan dia bertutur dalam dialek Kelantan.