
Neelofa mengemukakan saman terhadap OMM Media Sdn. Bhd. dan Rotikaya Media Sdn. Bhd. atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa.
Kes saman fitnah difailkan pengacara dan pelakon popular, Neelofa terhadap dua syarikat pengendali portal Oh My Media dan Rotikaya akhirnya diselesaikan secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Neelofa, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengemukakan saman secara berasingan terhadap OMM Media Sdn. Bhd. dan Rotikaya Media Sdn. Bhd. atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita yang diterima pelakon berkenaan.
Peguam Aiman Ariff Abdul Azij, yang mewakili OMM Sdn. Bhd. ketika ditemui pemberita berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan berdasarkan terma-terma yang dipersetujui.
Bagaimanapun, peguam itu tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian kes saman berkenaan.
Katanya, penghakiman persetujuan kes saman itu akan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye. Namun, tiada tarikh ditetapkan oleh mahkamah.