
Elyana mula mengalami sakit belakang sejak seminggu lalu sehingga membuatkan dirinya sukar untuk berjalan - Foto Instgram Elyanaofficial
Penyanyi Elyana dimasukkan ke sebuah hospital selepas sel kanser Limfoma yang dihidapinya sudah mula merebak ke bahagian tulang belakang.
Menurut pembantunya, Khairul Hussin, Elyana mula mengalami sakit belakang sejak seminggu lalu sehingga membuatkan dirinya sukar untuk berjalan.
Namun sebelum merujuk ke hospital, Elyana ada berusaha dengan cara tradisional iaitu berurut selain mengambil ubat tetapi sakitnya tidak surut malah menjadi lebih teruk.
"Elyana dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu. Doktor yang merawat memberitahu bahawa sel kansernya telah merebak ke tulang belakang.
"Sekiranya tidak mengambil sebarang tindakan, Elyana mungkin berdepan risiko akan lumpuh. Sekarang dia sedang menunggu giliran untuk menjalani rawatan radioterapi," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Khairul yang ketika dihubungi berada bersama Elyana, penyanyi itu perlu menjalani rawatan radioterapi setiap hari selama 10 hari bermula hari ini.
Ini merupakan kali pertama penyanyi yang terkenal menerusi lagu Tak Tercapai Akalmu itu menjalani rawatan radioterapi.
"Sebelum ini dia hanya menjalani rawatan kemoterapi. Jadi bagi pihak Elyana, saya sangat berharap agar semua dapat mendoakan kelancaran urusan dia menjalani rawatan ini dan melawan penyakitnya.
"Walaupun gementar, tetapi dia tidak pernah tunjuk. Sebab itu dia selalu aktif dan gembira kerana mahu menunjukkan aura positif kepada semua orang," katanya.
Percubaan Kosmo! untuk bercakap dengan Elyana bagaimanapun tidak berjaya.