
Hampir tiga tahun tahun tidak beraksi di depan kamera, Zalif Sidek kini kembali ke lokasi penggambaran filem berjudul Tan Ti Ana.
Tidak keterlaluan andai dikatakan nama pelakon Zalif Sidek jarang meniti di bibir peminat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bukan itu sahaja, Zalif juga dilihat jarang menghiasi mana-mana drama mahupun filem.
Pernah membintangi lebih 10 buah filem, kongsi pemilik nama lengkap Md. Zalif Naquiyudin Wan Abu itu, punca utama kehilangan kelibatnya di layar perak berlaku ekoran kesibukannya dengan kerja-kerja di belakang tabir bersama syarikat produksi miliknya iaitu WAB Resources.
Biarpun hampir tiga tahun tidak beraksi di depan kamera, minat pelakon filem Papa I Love You itu dalam bidang penggambaran bagaimanapun tidak pernah lebur.
Buktinya, Zalif kini sedang sibuk dengan penggambaran sebuah filem seram berjudul Tan Ti Ana yang dijangka menemui penonton sekitar tahun hadapan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama lelaki berusia 33 tahun itu yang ditemui di set penggambaran naskhah terbitan Dream Art Work dan NHF Productions Sdn. Bhd. di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh Zalif ceritakan dengan lebih lanjut tentang watak anda dalam filem seram Tan Ti Ana?
ZALIF: Saya memegang watak sebagai Roy iaitu seorang pengarah filem. Dalam masa sama, saya mempunyai sahabat karib bernama Razman dan Jojo lakonan Jay Iswazir dan Joey Daud. Namun, kami menghadapi kesukaran kerana sudah lama tiada projek pembikinan filem. Pun begitu, kehidupan kami berubah apabila ditugaskan untuk menyiapkan penggambaran sebuah filem seram oleh seorang pelabur.
Sudah lama anda tidak masuk ke dalam set penggambaran filem, adakah anda berdepan dengan sebarang cabaran?
Ya betul memang sudah lama saya tidak berlakon filem, tentu cabarannya adalah untuk meletakkan kualiti lakonan setanding dengan barisan pelakon lain yang mempunyai nama besar seperti Datuk Rahim Razali, Atikah Suhaimie dan Kamarool Yusof. Saya juga perlu betulkan pemikiran berkenaan set penggambaran untuk filem sangat berbeza dengan penggambaran drama. Menjayakan filem seram juga memerlukan kami berlakon pada waktu malam, jadi saya perlu berada di set sehingga lewat pagi.
Bagaimana pula dengan persediaan mental dan persiapan diri?
Saya membaca keseluruhan skrip sebelum menerima tawaran ini. Jalan ceritanya begitu menarik, jadi saya banyak membuat rujukan daripada pengarah sedia ada seperti Mamat Khalid, Michael Ang dan Ahmad Idham. Daripada situ saya serapkan bagaimana hendak membawakan karakter sebagai seorang pengarah.
Sering kali dikaitkan dengan watak komedi, begitu juga dengan Tan Ti Ana yang merupakan naskhah seram komedi, bagaimana anda hendak lari daripada gelaran pelawak?
Tidak dinafikan ramai peminat yang menyangka saya sebagai pelawak tetapi sebenarnya saya ialah pelakon yang ditugaskan untuk membawa karakter komedi mengikut tuntutan sesebuah naskhah. Bagaimanapun, dalam filem ini, Joey Daud lebih banyak membawa peranan sebagai pelawak. Pendek kata, penonton akan melihat sisi lakonan saya yang sedikit berbeza dalam naskhah ini.
Selain lakonan, boleh kongsikan perkembangan lain anda?
Sebenarnya, selama hampir tiga tahun ini saya banyak melakukan kerja-kerja di sebalik tabir bersama syarikat produksi WAB Resources. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi aktif dengan kerja berkenaan dan banyak terlibat dengan projek bersama agensi kerajaan mahupun swasta. Bagaimanapun, di sebalik kesibukan tersebut, fokus utama saya sekarang masih lagi dalam dunia lakonan. Buat masa ini drama lakonan saya yang sedang ditayangkan adalah drama Budak Usin di TV3, akan datang ada sebuah drama bersiri 13 episod bertajuk Destinasi Ukhuwah untuk tayangan RTM.
Berapa lama anda sudah berada dalam industri dan bagaimana anda melihat kematangan diri dalam lakonan?
Diam tidak diam, sudah tujuh tahun saya berada dalam industri dan selama tempoh itu banyak pengalaman yang saya dapat. Tidak dinafikan pengalaman semasa bersama Metrowealth Movies Production (MIG) dahulu banyak membantu saya untuk terus menjaga disiplin dan mengekalkan personaliti sebagai seorang pelakon.
Jika tidak keberatan, boleh kongsikan sedikit tentang kehidupan peribadi anda?
Menjengah usia 33 tahun ini tentunya fokus saya hanya untuk keperluan kerja dan menaikkan nama dalam industri. Jika bercakap soal jodoh pula, saya serahkan kepada ketentuan Tuhan. Sebelum ini, saya pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 30 tahun tetapi ia tersasar sehinggalah sekarang. Jadi, saya redha, tambahan pula pengalaman lalu membuatkan saya lebih berjaga-jaga dan berhati-hati untuk berkawan dengan mana-mana wanita.