
Sebuah portal baharu, Media House Entertainment (MHE) sebagai hab berita hiburan digital dilancarkan pada sebuah majlis yang berlangsung di pejabat operasinya di Wisma Trax, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bertindak sebagai portal media dalam talian bersepadu, MHE menawarkan sebuah portal televisyen web MHETV.my yang menggabungkan tiga jenama penerbitan terkenal dalam bidang hiburan keluaran Kumpulan Utusan iaitu Pancaindera, URTV dan Majalah Wanita.
Pancaindera merupakan akhbar sisipan hiburan paling popular di Mingguan Malaysia, manakala URTV pula digelar sebagai majalah hiburan tertua di negara.
Majalah Wanita pula merupakan majalah gaya hidup popular yang kekal bersaing di pasaran media sehingga hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, skop MHE akan diperluaskan, dilengkapi dengan forum dalam talian, chat room dan radio web.
Katanya, ia turut dilengkapi dengan pelbagai genre video on demand (VOD), permainan dalam talian, muzik dan gosip semasa dalam usaha mendekati dan memenuhi kehendak pelayar internet.
“Melengkapkan jabatan penerbitan dan penyiaran dalam talian MHE adalah bahagian penganjuran acara yang berfungsi sebagai perancang, koordinasi dan pengurusan acara dengan perkhidmatan konsultasi kreatif serta strategik,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran MHE.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah barisan artis terkenal tanah air seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Maya Karin, Ziana Zain, Zaiton Sameon, Fizo Omar, A. Galak, Aiman Tino, Safura, Nabila Razali dan Khai Bahar.
Acara besar
Pada majlis itu juga menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan On Muse Talent Management bagi penganjuran Pakistan Afghanistan Malaysia Food and Culture Show (Pamfacts) yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2019.
Sebelum penganjuran Pamfacts, Zaienal Abidin berkata, MHE terdahulu bakal menganjurkan Pertandingan Akhir Gadis Panca 2018 yang berlangsung pada 14 Disember depan.
Malah, MHE juga akan melancarkan beberapa acara besar yang menggabungkan jenama-jenama popular dalam bidang media sosial pada November ini.
“Sesungguhnya MHE sangat komited meneroka jalan baharu dalam dunia digital, mencari penyelesaian terbaik untuk memanfaatkan sumber kreatif kami.
“Matlamat utama kami adalah untuk mencipta strategi unik, individual dan hasil yang didorong oleh tumpuan kuat terhadap pulangan pelaburan pelanggan tanpa menjejaskan kepentingan umum pengguna perkhidmatan kami,” tambah Zaienal Abidin.
Operasi MHE mengumpulkan sekitar 50 pekerja profesional terdiri daripada barisan editor, penulis, wartawan, pengeluar, pengarah filem dan kreatif serta ahli strategi pemasaran dan pengiklanan.
Sementara itu, menurut pelakon Maya Karin, dia berasa teruja dengan pelancaran portal MHE kerana menerusinya, platform berita atas talian dapat berkembang serta bersaing dalam menawarkan perkongsian menarik kepada pembaca.
“Tahniah kepada MHE dan saya doakan yang terbaik kepada semua rakan-rakan media kesayangan saya sejak dahulu untuk memulakan tugas di syarikat baharu ini,” katanya.
n Artikel hiburan, rencana dan berita terbitan MHE boleh diakses menerusi Instagram @mhetv.my dan MHETV di Facebook
Tags:
BERITA