
Bergelar seorang mentor dalam program Mentor musim ketujuh (Mentor 7) bukan satu perkara mudah buat empat penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat, Siti Nordiana, Aizat Amdan dan Hafiz Suip. Biarpun ia hanya sebuah pertandingan nyanyian tetapi kredibiliti mereka sebagai penyanyi menjadi taruhan.
Justeru, keempat-empat mereka berazam untuk menjadi guru yang terbaik buat protege masing-masing.
Malah, ada antara mereka telah merancang kesinambungan kerjaya buat protege masing-masing selepas program tersebut berakhir kelak.
Namun, jika dilihat dari segi pengalaman dan profesionalisme, sudah tentu Syafinaz paling menyerlah. Selain merupakan penyanyi paling senior dalam kalangan mentor, beliau juga sebelum ini pernah menjadi juri program berkenaan.
Bercakap mengenai perkara tersebut, Syafinaz yang juga seorang pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengakui, mempunyai sedikit kelebihan berbanding mentor lain.
“Semua mentor mempunyai pengalaman, cuma kelebihan saya adalah telah lama mengajar. Oleh itu, pendekatan saya mungkin agak berbeza dengan orang lain kerana sudah terbiasa menjadi guru,” ujar Syafinaz.
Mengulas mengenai kritikan, kata ratu soprano itu beliau tidak akan menerima lamaran untuk terlibat dalam program Mentor 7 jika tidak bersedia menerima kritikan selepas sekian lama menduduki kerusi juri dalam beberapa program nyanyian.
“Jika kritikan itu membina, kita akan ambil dan memperbaiki kelemahan. Jika kritikan tidak berasas, saya akan abaikan. Tugas saya sebagai mentor adalah memastikan semangat tiga protege terus membara untuk menyanyi walaupun dikritik teruk oleh juri dan orang netizen.
“Zaman sekarang semua orang boleh mengkritik dengan teruk dan kita tidak tahu siapa di sebalik tulisan itu. Mereka harus bersedia dan belajar menghadam perkara tersebut,” kongsi Syafinaz yang memulakan strategi dengan membawa protege bertemu doktor pakar kulit.
Menyentuh tentang protege, Syafinaz memilih Ranisha, Aznona dan Lazarul kerana percaya ketiga-tiga mereka bukan setakat mempunyai vokal yang baik tetapi juga identiti tersendiri.
“Ini bukan belajar di universiti yang sama mempunyai masa selama dua tahun untuk mengajar. Dalam program ini, saya hanya mempunyai tempoh lapan minggu untuk membentuk seorang penyanyi.
“Sebab itu kriteria utama protege adalah mempunyai vokal yang bagus. Perkara lain seperti penampilan kita boleh bentuk dan ubah dari semasa ke semasa,” kata Syafinaz.
Bukti kemampuan
Selepas hampir 20 tahun bergelar penyanyi, ini merupakan kali pertama Siti Nordiana atau mesra disapa Nana diberi peluang menjadi seorang mentor.
Nana secara peribadi merupakan seorang peminat program Mentor menyifatkan peluang yang diberikan itu satu rezeki kerana memberinya pengalaman baharu untuk belajar menjadi seorang penerbit.
“Program ini menguji kredibiliti dan kemampuan saya sebagai penerbit atau tenaga pengajar untuk menghasilkan seorang bintang.
“Walaupun ada yang mempertikaikan pemilihan saya sebagai mentor, saya akan buktikan bahawa saya layak untuk berada di posisi ini. Semua mentor mempunyai pengalaman sebagai penyanyi dan saya cuba melakukan dengan baik,” ujar Nana.
Juara program Gegar Vaganza musim kedua itu yakin mampu membimbing tiga protegenya iaitu Taufiq Rodzi, Zaaim dan Syamimi dengan baik kerana mempunyai pengalaman bertanding dalam program nyanyian realiti sebelum ini.
“Sebenarnya protege saya tidak banyak yang perlu diperbetulkan dari segi nyanyian kerana mereka memang boleh menyanyi dengan baik.
“Sebagai mentor, saya hanya menitikberatkan rasa atau perasaan dalam sesebuah persembahan. Sebab sebelum ini saya sendiri pernah menyertai pertandingan nyanyian dan tahu apa keperluan ketika berada di sebuah pentas pertandingan,” kata Nana yang bakal mengadakan konsert bersama Khai Bahar di Istana Budaya, Kuala Lumpur tahun depan.
Pemuzik jalanan
Dalam kesemua mentor, hanya Aizat yang memilih ketiga-tiga protege lelaki. Tiada niat untuk diskriminasi terhadap kaum hawa tetapi menurutnya, ketiga-tiga protege, Faizul Ashraf, Megat dan Faris Malek menepati kriteria utamanya iaitu berkebolehan bermain alat muzik dan menyanyi dengan baik.
“Saya memilih mereka kerana boleh bermain alat muzik. Bukan tiada peserta wanita yang hadir uji bakat tetapi merekalah yang terbaik.
“Bagi saya jika protege boleh bermain alat muzik, mereka akan ada inisiatif mempromosi diri sendiri dan belajar lagu dengan lebih baik,” kata Aizat.
Satu perkara yang di luar perancangan Aizat adalah ketiga-tiga protege pilihannya merupakan penyanyi jalanan atau buskers. Hal itu disedari selepas melakukan pilihan akhir.
“Saya sendiri tidak tahu mereka buskers, patutlah ketika uji bakat mereka mampu menukar lagu dengan cepat dan mempunyai pendengaran yang bagus. Secara peribadi, saya melihat mereka bertiga mampu pergi lebih jauh menerusi Mentor 7.
“Cuma ada beberapa perkara yang perlu digilap. Satu saja nasihat saya, mereka harus ada mentaliti masuk pertandingan bukan untuk menang, sebaliknya belajar,” luah Aizat.
Berbicara mengenai strategi selaku mentor, Aizat memulakan latihannya dengan kecergasan. Hampir setiap hari penyanyi lagu Sungai Lui itu akan bertanya khabar protege dan memastikan mereka melakukan senaman.
“Kesihatan dan kecergasan amat penting bagi saya. Jika sihat dan cergas, seseorang penyanyi akan mempunyai stamina yang kuat dan itu akan membezakan mereka dengan penyanyi lain,” ujar Aizat yang bergandingan dengan Kasi Gegar Entertainment Studio untuk melatih protege.
Platform
Penyanyi Hafiz menerima tawaran untuk menyertai program Mentor 7 kerana memberi platform yang terbaik buatnya untuk belajar menjadi seorang penerbit.
Meskipun baru lapan tahun dalam industri seni, Hafiz yakin dengan pengalaman yang ada termasuk bergelar juara program Akademi Fantasia musim ketiga, dia mampu untuk berkongsi ilmu dengan tiga protege pilihannya iaitu Azmirul, Amal Faudzi dan Nadia.
“Sebelum ini saya yang masuk bertanding tetapi kali ini saya belajar jadi penerbit. Ia bukan sahaja platform yang buat protege tetapi saya juga untuk peningkatan dalam kerjaya.
“Sudah tentu sebagai anak seni saya mahu menjadi penerbit dan menghasilkan satu produk, tidak kira penyanyi atau apa sahaja di bawah nama saya,” kata Hafiz.
Paling penting menurut penyanyi lagu Matahari itu, dia mahu mengajar protege tentang cara mengendalikan situasi. Industri hiburan cukup besar dan mempunyai pelbagai dugaan, jika tersalah langkah akan memakan diri sendiri.
“Mereka semua boleh menyanyi dengan baik. Namun, banyak perkara lain yang mereka tidak tahu dan hanya boleh diperoleh menerusi pengalaman. Perkara itu yang akan saya tekankan kepada protege.
“Program Mentor 7 hanya satu permulaan, selepas mereka masuk industri seni yang sebenar, barulah mereka tahu realiti dan cabarannya. Sebagai mentor saya akan cuba turunkan segala ilmu yang ada,” ujar Hafiz.
Penyanyi Datuk Syafinaz Selamat, Siti Nordiana, Aizat Amdan dan Hafiz Suip teruja untuk mengharungi pengalaman pertama mereka bergelar mentor dalam program Mentor musim ketujuh yang mula bersiaran pada 28 Oktober lalu.