LIMA SEKAWAN - Dari kiri: Saifiq, Khusairi, Iskandar, Isnaidi dan Razif menubuhkan kumpulan mereka pada tahun 2013.
KATA orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah yang terjadi kepada band terdiri daripada lima anak muda ini.
Bermula sekadar suka-suka memuat naik lagu yang mereka cipta ke dalam laman YouTube, lagu tersebut kemudian terus meledak naik sehingga mengangkat nama lima jejaka yang menggelarkan diri mereka sebagai Projector Band.
Pertemuan yang diatur bersama Iskandar (vokalis), Razif (gitaris utama), Isnaidi (gitaris kedua), Ahmad Khusairi (bass) dan Syafiq (dram) mencetuskan kemeriahan di Studio Utusan baru-baru ini.
Masing-masing kini boleh tersenyum bangga saat lagu mereka menjadi halwa telinga pendengar apabila diputarkan di stesen radio tempatan. Bahkan, lagu Sudah Ku Tahu itu turut menjadi viral di laman sosial apabila ramai yang cuba menyanyikannya semula.
Lebih mengujakan lagu ciptaan Razif atau lebih mesra digelar Angah itu semakin dikenali apabila video muzik yang dimuat naik itu ditonton sebanyak enam juta kali dalam tempoh tiga bulan.
“Pada mulanya saya cuma memuat naik video tersebut ke dalam laman YouTube. Video itu hanya sekadar memaparkan lirik lagu tersebut sahaja tetapi tidak sangka pula ia mendapat perhatian ramai.
“Selepas itu ramai pula yang cuba menyanyikan semula lagu ini menyebabkan jumlah tontonan video kami mencapai sehingga enam juta kali. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur Sudah Ku Tahu berjaya menaikkan nama kami sehingga dikenali ramai,” kata Angah mesra membuka bicara.
Ironi melodi lagu tersebut mengembalikan ingatan terhadap semaraknya lagu rock ‘leleh’ tahun 90-an selain mempunya ritma seperti muzik yang dibawa oleh kumpulan kelahiran Indonesia.
Namun, oleh kerana idea dan identiti tersebut, Projector Band menawan hati pendengar yang ketandusan lagu-lagu sedemikian.
Idea
Mula ditubuhkan pada tahun 2013, Angah memberitahu, pada awalnya mereka saling tidak mengenali, namun pertemuan demi pertemuan dengan Iskandar, Isnaidi dan Khusairi telah menyebabkan dia berminat untuk menubuhkan sebuah band.
Menariknya, Angah sempat menjelaskan, pemain dram band yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu juga merupakan adiknya sendiri.
“Setiap daripada pertemuan kami mempunyai ceritanya tersendiri. Pertama kali saya bertemu dengan Iskandar ketika di pusat karaoke. Saya suka dengan vokal miliknya dan mengajak dia untuk menyertai saya menubuhkan sebuah band baharu.
“Selepas itu, adik saya, Syafiq serta dua rakan lain menyertai kami dan kemudian muncul idea untuk menggelarkan kami sebagai Projector Band,” terangnya panjang lebar.
Ditanya mengapa memilih Projector Band sebagai nama kumpulan, penuh yakin Angah berkata, mereka bercita-cita untuk menjadikan band tersebut bersinar memancarkan bintang mereka sama seperti fungsi sebuah projector.
Menjadi penyumbang utama single yang sedang meletup di corong-corong radio kini, Angah berkata, lagu tersebut dihasilkan ketika menjaga arwah ayahnya, Zainuddin yang sedang sakit di hospital.
“Jika diamati, lagu Sudah Ku Tahu merupakan sebuah lagu sedih kerana ia berkaitan dengan pemergian ayah saya. Ketika itu arwah ayah sedang sakit dan saya yang menjaganya di hospital.
Pada suatu hari, saya duduk di sudut tangga hospital dan secara tidak langsung timbul idea untuk mencipta lagu tersebut,” ujarnya.
Melihat kepada keserasian mereka berlima, sengaja kemudian ditanya tentang hubungan persahabatan yang kelihatan begitu mesra meskipun baru sahaja berkenalan.
Seperti biasa, Angah berkata, keserasian antara mereka mudah terbit apabila masing-masing tahu peranan sendiri dan fokus semasa bekerja, malah semua ahli juga mudah memberikan kerjasama semasa proses penghasilan lagu itu.
“Antara kami, semuanya sudah tahu peranan masing-masing. Seperti saya dan Khusairi, apabila saya mencipta lagu, pasti ada sahaja idea bernas timbul daripadanya yang membuatkan saya terus bersetuju dengan cadangannya.
“Begitu juga dengan ahli lain, apabila kami bekerjasama dan masuk studio, setiap daripada mereka tidak pernah ketinggalan untuk menyumbangkan idea untuk menambah baik kekurangan kami. Perkara itu membuatkan kami mudah bekerjasama dan mudah serasi,” katanya sambil dipersetujui ahli lain.
Optimis
Menyentuh perihal kekuatan mereka untuk terus berada dalam industri dan tidak menjadi band yang dikenali dengan satu lagu sahaja, vokalisnya, Iskandar optimis mereka mampu bertahan kerana mempunyai ahli yang kreatif selain mendapat didikan daripada penyanyi Harry daripada kumpulan Khalifah.
Malah katanya, sejak bernaung di bawah syarikat rakaman Map Music, perjalanan karier Projector Band juga lebih teratur. Terbaharu, mereka baru sahaja menyiapkan klip video lagu Sudah Ku Tahu.
“Insya-Allah, saya yakin band ini mampu bertahan kerana kami sendiri mempunyai komposer untuk mencipta lagu, iaitu Razif. Keserasian antara kami juga menjadi kekuatan untuk terus meniti kejayaan.
“Jika band lain memerlukan seorang komposer untuk menghasilkan lagu buat mereka tetapi kami mempunyai Angah yang kreatif dalam penghasilan lirik lagu.
“Selain itu, kami juga beruntung kerana mendapat didikan daripada abang Harry. Dia bukan sahaja menjadi sifu, malah merupakan antara idola kami. Kami akan mengikut segala nasihat dan tunjuk ajarnya untuk terus memancar memeriahkan industri seni,” tutur Iskandar yakin.