Ika dan tunangnya, Zaid di majlis pertunangan mereka 14 Mei lalu.
Tanpa sebarang gosip hubungan cinta yang sempat dihidu, pelakon Ika Nabella, 27, dalam diam menyulam bahagia apabila selamat ditunangkan dengan ahli perniagaan, Muhammad Zaid, 29, pada 14 Mei lalu.
Majlis yang diadakan secara sederhana di kediaman keluarga pelakon Rindu Awak 200% di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menyaksikan pasangan dua sejoli mengikat janji untuk melangsungkan perkahwinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Julai depan.
Gembira dan terharu, Ika atau nama sebenarnya, Ika Nabila Abdul Rahim, berharap semua perancangannya untuk bergelar raja sehari berjalan lancar walaupun dirancang dalam tempoh yang singkat.
BULETIN MALAYSIA!: Bagaimanakah perasaan Ika selepas bergelar tunangan orang?
Ika Nabella: Perasaan saya biasa sahaja, sama seperti ketika kami berkawan hampir lima tahun lalu. Cuma sekarang ikatan itu lebih kuat dan saya juga agak gementar kerana dalam tempoh dua bulan sahaja lagi saya akan bergelar isteri. Jika dahulu, saya lebih banyak berdikari, sekarang saya ada tunang yang boleh memberi nasihat dan bimbingan dalam setiap apa yang ingin dilakukan.
Adakah anda tidak terasa seperti terlalu tergesa-gesa berkahwin dalam tempoh terdekat ini?
Sebenarnya, persiapan untuk perkahwinan ini sudah dilakukan sedikit demi sedikit sebelum majlis pertunangan lagi. Lagipun orang tua-tua pernah berpesan, kalau boleh bertunang jangan lama-lama. Sepatutnya memang kami tidak mahu bertunang tetapi atas permintaan keluarga kerana saya anak perempuan tunggal, jadi proses perkahwinan dibuat mengikut adat. Insya-Allah, dua bulan cukup untuk kami bersiap sedia kerana akan dibantu ahli keluarga yang lain. Tarikh sebenar pernikahan masih belum ditetapkan tetapi akan diberitahu dalam masa terdekat.
Apakah yang membuat anda terbuka pintu hati menerima lamaran Zaid?
Sebenarnya, kami sudah berkawan sejak lima tahun lalu namun dalam tempoh itu kami terputus hubungan. Dua tahun selepas itu, barulah berjumpa semula dalam keadaan saya dan Zaid masing-masing bujang dan semakin matang serta bersedia untuk membawa hubungan kawan kepada tahap yang lebih serius iaitu ikatan perkahwinan.
Sebagai selebriti, kehidupan anda tidak terlepas dengan tempias gosip atau khabar angin. Bagaimana penerimaan tunang anda tentang hal ini?
Zaid sudah mengenali saya sejak bergelar artis hampir lapan tahun dulu dan tahu tentang naik turun kehidupan seorang anak seni. Alhamdulillah, dia seorang yang banyak memberi sokongan dan memahami kerjaya saya.
Ini bermakna anda akan terus aktif dalam dunia seni walaupun sudah bergelar isteri?
Sudah tentu kerana ini periuk nasi saya dan selagi orang mahukan saya dalam industri, saya akan sentiasa ada. Saya bersyukur kerana bakal suami dan keluarganya seorang yang berfikiran terbuka dan percaya saya mampu menjaga diri. Malah sekarang, saya sedang sibuk dengan proses mengeluarkan jenama tudung dan selendang di bawah nama Shawl By Ika Nabella selain memenuhi undangan persembahan dan berlakon.
Kebiasaannya, fasa bertunang adalah tempoh yang banyak memberi dugaan kepada pasangan yang bakal mendirikan masjid. Apakah prinsip anda untuk berdepan situasi ini?
Pada saya, jika pasangan itu tidak bermasam muka pastinya tidak logik. Apa yang penting, niat kita bukan untuk mengeruhkan keadaan tetapi cuba mempelajari isi hati pasangan dengan lebih mendalam.