Mungkin hari ini ramai yang lebih mengenali Ridzuan Hashim, 53, sebagai pelakon, namun ramai yang tidak tahu pelakon tinggi lampai ini sebenarnya terlebih dahulu dikenali sebagai model.
Memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan sekitar pada tahun 1981 kerana ada pihak yang tertarik dengan ketampanan dan personalitinya.
Pada usia yang baru mencecah 21 tahun, Ridzuan ketika itu tercari-cari pekerjaan yang sesuai dengannya setelah menarik diri daripada pasukan bola sepak sebelum menerima tawaran untuk menimba pengalaman.
“Pada asalnya minat saya kepada sukan bola sepak dan pernah bercita-cita nak main secara profesional apabila menyertai Pasukan Bola Melayu Wilayah Persekutuan, tetapi atas faktor kewangan tidak begitu mengizinkan, saya beralih bidang.
“Mungkin kerana kelebihan fizikal, saya mendapat peluang jadi model di pentas peragaan dan terlibat dengan fashion show selama beberapa tahun.
“Peluang lebih besar datang apabila saya ditawarkan pula untuk buat iklan komersial di TV dengan bayaran yang jauh lebih lumayan, malah waktu kerjanya juga tidak terlalu panjang menjadikan ia motivasi terbaik untuk saya meneruskan kerjaya itu,” katanya.
Menjadi pilihan kebanyakan jenama produk ketika itu, wajah kacak Ridzuan pernah tampil dalam hampir 40 iklan komersial di kaca TV, antaranya Amanah Saham Nasional, Benson & Hedges, Panasonic, Marlboro dan Levi’s.
Kekerapannya muncul dalam iklan di kaca TV juga berjaya meletakkan namanya sebaris model popular pada era 1980-an seperti Edika Yusof, Ramona Rahman, Tiara Jaquelina dan Aida Khalida.
“Saya sendiri pun tak sangka rezeki dalam bidang modeling, tapi syukur sebab bidang itu juga banyak buka peluang dan pengalaman baru kepada saya.
“Pada era itu, iklan memang menguasai TV dengan konsep yang sangat bagus menyebabkan penonton begitu tertarik dengan iklan sehinggakan wajah kami mudah dikenali ramai, imbasnya yang pertama kali muncul dalam iklan Amanah Saham Nasional.
Kata Ridzuan, dia tidak pernah lupa saat Sukan SEA berlangsung, dalam sehari berpuluh kali wajahnya muncul di TV kerana produk yang menampilkannya dalam iklan mereka terlibat sebagai salah satu sponsor acara tersebut.
Popularitinya sebagai model iklan komersial turut membawa Ridzuan mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan apabila ditawarkan berlakon drama dua episod, Adam & Hawa untuk siaran RTM pada tahun 1986.
“Orang yang bertanggungjawab bawa saya dalam dunia lakonan adalah Habsah Hassan yang ketika itu aktif mengusahakan syarikat produksi Serangkai Filem, di mana dia menghubungi saya untuk hadir uji bakat untuk drama Adam & Hawa.
“Ketika itu saya terima sahaja pelawaan dia sebab nak cuba bidang baru. Saya pun tak sangka berjaya dalam uji bakat itu dan digandingkan dengan Datuk Khatijah Ibrahim.
“Di situlah titik mula saya dalam bidang lakonan yang kemudiannya membawa saya kepada pelbagai peluang berlakon termasuklah kemunculan dalam filem pertama saya, Antara Dua Hati bergandingan dengan Raja Ema dan Sabree Fadhil dalam tahun yang sama,” imbasnya yang menjadi kegilaan ramai peminat perempuan ketika itu.
Sehingga kini Ridzuan telah berlakon lebih 20 buah filem termasuk Hati Bukan Kristal (1990), Awas (1995), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Cicakman 2 (2008) dan KL Gangster 1&2 (2011).
Pencapaian terbesar
Biarpun pada awal penglibatannya sebagai pelakon, Ridzuan sering dikaitkan sebagai popular kerana rupa paras yang dimilikinya berbanding bakat lakonan, dia akhirnya membuktikan sebaliknya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.
“Sebenarnya bukan saya sahaja yang berdepan dengan situasi itu, tapi rakan lain dari bidang modeling yang kemudiannya berlakon juga dilabel begitu kerana model memang sinonim dengan kelebihan fizikal.
Justeru, Pelakon pembantu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular edisi pertama ini berkata, untuk membuktikan mereka salah, dia berusaha perbaiki lakonan dan dan cabaran terbesar tentunya untuk menghafal dan menghayati watak kerana berbeza dengan bidang modeling yang hanya memperaga produk.
Berkat usahanya, kesungguhan itu diiktiraf dalam FFM menerusi kategori Terbaik dan itu menjadi pencapaian dan kenangan yang cukup manis dalam kerjayanya.
Berkongsi kisah lalu juga, kata Ridzuan dia cukup seronok membina kerjaya pada era itu kerana hubungannya dengan rakan-rakan artis seangkatan sangat baik bukan sahaja di depan kamera tetapi juga di luar.
“Zaman dulu telefon pintar dan media sosial belum wujud, jadi setiap kali berjumpa kami sering menghabiskan masa berbual sesama sendiri baik mengenai kerjaya atau bertanya khabar.
“Tapi sekarang suasana seperti itu tidak wujud lagi kerana masing-masing begitu obses dengan telefon pintar masing-masing sehingga tidak sudi lagi untuk bercampur gaul dengan orang lain, malah dilihat agak sombong dalam dunia sendiri,” ujarnya yang bakal muncul dalam telefilem Wanita Terindah yang bakal disiarkan di Astro First tidak lama lagi ini.