Percaturan Nazirul Mubin atau nama lengkapnya, Muhammad Nazirul Ahmad Fauzi untuk terlibat secara sepenuh masa di dalam dunia lakonan dan peragaan disifatkan sebagai suatu keputusan berani.
Apatah lagi sebelum ini, keluarganya sedikit pesimis terhadap keputusan yang dilakukan bintang berusia 27 tahun ini.
Namun atas dasar minat dan kecintaan mendalam terhadap seni, ia ibarat memberi seribu satu kekuatan buat pemegang Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Pembinaan Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini untuk terus mengatur langkah, khasnya dalam dunia lakonan.
Kemenangan di dalam pertandingan Mister Planet Malaysia 2015 ternyata memberi sinar buatnya untuk terus merealisasi cita-cita.
Laluan dalam dunia seni menjadi lebih mudah, lebih-lebih lagi apabila dia turut mewakili Malaysia pada pertandingan Mister Global di Chiang Mai, Thailand beberapa bulan lalu.
Menyifatkan apa yang diraih sebagai rezeki terpijak, anak sulung daripada lima beradik ini kini optimis mengejar cita-cita.
“Terdahulu, saya ada juga terlibat beberapa job peragaan. Jadi, daripada situ pendedahan terhadap dunia seni kian besar dan saya berpeluang bertemu dan berkongsi idea dengan individu terlibat dalam seni secara langsung.
“Bagaimanapun sebagai muka baru, sudah tentunya saya pun perlu struggle untuk mengukuhkan nama. Kalau nak diikutkan, pengalaman yang ada belum cukup untuk disamakan dengan rakan-rakan seangkatan lain.
“Apa pun, peluang yang hadir tidak akan saya dipersiakan, memandangkan kini saya terlibat secara sepenuh masa dalam seni. Pada peringkat awal, keluarga tidak begitu gemar dengan keputusan ini. Namun lama kelamaan, mereka semakin positif terhadap apa yang saya lakukan sekarang,” kata Nazirul yang melakukan debut dalam lakonan menerusi drama Kak Marr Raya tahun lalu.
Justeru, Nazirul berkata, dia serius dalam bidang ini dan kalau boleh mahu bertahan lama sementelah rakan turut beri sokongan.
Tuah abang bomba
Berkongsi lebih lanjut perjalanan seni pada ketika ini, Nazirul akui penampilannya sebagai Afzal menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You beri impak besar, diikuti drama Lara Cinta Ameena.
“Meskipun wataknya tidak sebesar mana, namun setidak-tidaknya saya bersyukur dan rasanya peluang yang hadir adalah pengalaman berharga, sebagai proses pembelajaran untuk terus tingkatkan skil dan prestasi dalam lakonan.
“Terdahulu, saya ada juga ikuti kelas lakonan bersama rakan pelakon baru lain. Keutamaan ketika ini adalah lakonan. Jadi sebolehnya saya mahu lakukan yang terbaik,” terang Nazirul jujur.
Ditanya idola dalam seni, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menjadikan pelakon versatil, Fauziah Nawi dan Syukuri Yahya sebagai inspirasinya di dalam lakonan.
“Saya minat dengan lakonan Fauziah Nawi kerana dia letakkan seluruh jiwa raga terhadap setiap watak yang dilakonkan. Sementara Shukri Yahaya pula, saya anggap dia sebagai antara pelakon lelaki yang berkaliber, berbakat besar.
Watak hero
Terkini, Nazirul baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Cinta Bersegi-Segi yang menyaksikan dirinya mendukung watak sebagai hero di dalam drama tersebut di samping Mawar Rashid.
Telemovie arahan Suhaimi Lua di bawah produksi Tanah Beris Production itu menjadi penanda aras buat Nazirul untuk terus diterima pencinta seni tempatan.
“Pertama kali pegang watak utama. Menerusi drama tersebut, peranan saya sebagai Nik. Sudah tentu rasa berdebar-debar bila hari pertama berada di set. Namun pada masa sama, rasa teruja.
“Terima kasih buat produksi yang percaya dengan kebolehan dan bakat saya. Malah pengarah serta pelakon senior lainnya turut memberi tunjuk ajar dan tips agar tampak lebih natural bila berlakon.
“Bukan mudah buat seseorang pelakon baru macam saya untuk memainkan watak sedemikian. Jadi saya sudah cuba lakukan yang terbaik, demi memenuhi apa yang dikehendaki pengarah dan produksi. Mujur, ramai yang membantu untuk menghidupkan watak,” kongsinya yang bakal sibuk di set drama bersiri Cinta Sang Rembulan pula terbitan Global Station.
Tidak putus-putus merakamkan rasa terharunya atas kepercayaan pengarah dan penerbit terhadap kehadirannya dalam seni setakat ini, Nazirul turut berharap agar kariernya dalam lakonan boleh bertahan lama.
“Sebagai muka baru, sudah pastinya saya mengharapkan sokongan. Terima kasih buat peminat yang sudah mulai sedar akan kehadiran saya. Juga selepas ini saya turut berazam untuk memantapkan lagi mutu dalam lakonan insya-ALLAH,” akhiri Nazirul optimis.