Syamsul Yusof syukur Munafik diiktiraf


Pernah ‘tersungkur’, namun aktor dan pengarah berbakat besar, Syamsul Yusof tidak pernah kenal erti putus asa terus mengatur kerjaya seninya.

Terus bangkit, selebriti berusia 33 tahun ini tampil dengan karya lebih segar menerusi filem Munafik tahun lalu.

Walaupun pertama kali membikin filem genre seram, pemilik nama sebenar Mohd Syamsul Mohd Yusof ini sangat cemerlang dengan hasil karyanya itu.

Buktinya, filem terbitan Skop Productions itu berjaya mencipta fenomena sebagai filem seram alaf baru paling laris apabila memecah rekod dengan kutipan RM19 juta.

Lebih membanggakan, Munafik juga mendominasi kemenangan dengan merangkul lima trofi, termasuk Filem Terbaik Nasional pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28).

Selain itu Syamsul turut mencatat kejayaan peribadi apabila dijulang sebagai Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik FFM28.

Terbaru, suami Puteri Sarah Liyana ini menambah portfolio apabila diangkat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 menerusi filem itu di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini menjadikannya sebagai sutradara kedua dari Malaysia menjulang gelaran Pengarah Terbaik selepas Allahyarham Yasmin Ahmad, tujuh tahun lalu.

Mengakui terkejut, Syamsul bagaimanapun bersyukur di atas kemenangan itu.

“Alhamdulillah. Saya menerima anugerah ini dengan rasa rendah diri, kecil dan kerdil. Jujurnya, saya terdiam dengan apa yang berlaku hari ini," kata Syamsul yang turut gembira dengan kehidupan peribadinya.

Bangga dengan kemenangan Munafik, Syamsul menganggap filem dakwah diterima di peringkat global.

“Munafik bukanlah filem seram semata-mata, tetapi sarat dengan mesej dan pengisian. Siapa sangka, walaupun tunjang utamanya adalah keagamaan tapi diberi pengiktirafan antarabangsa dan dakwah itu dapat dilihat,” katanya kepada Media Hiburan pada majlis kesyukuran kemenangannya, kelmarin.


Pun begitu, Syamsul berpendapat, pembikin filem yang baik tidak seharusnya ‘berkiblatkan’ untuk menang anugerah semata-mata tetapi perlu menghasilkan filem berkualiti sekali gus menepati cita rasa penonton.

"Oleh itu, pengkarya seharusnya memberi fokus kepada objektif pembikinan filem,” katanya.

Berkarya di pentas antarabangsa?

Melihat kebolehan Syamsul, bapanya, Datuk Yusof Haslam mengimpikan anaknya mengikut jejak anak Jati Malaysia James Wan yang kini berkarya di pentas Hollywood.

Impian itu disuarakan penerbit yang juga pemilik Skop Productions, ketika berucap pada majlis itu.

Syamsul juga terkejut dengan pengakuan bapanya yang mahu melihatnya berkarya hingga ke pentas antarabangsa.

“Sebelum ini, ayah tak pernah cakap macam tu. Mungkin lepas dia lihat kejayaan saya pada peringkat Asia Pasifik, dia yakin peluang itu boleh diusahakan.

“Sebelum ini pun, saya pernah kaji dan baca kriteria serta tips bagaimana kita nak mencuba nasib berkarya di luar negara, khususnya di Hollywood.

“Insya-ALLAH, saya akan usahakan tapi saya masih rasa terlalu kerdil untuk diangkat sebagai pengarah hebat. Saya masih Syamsul Yusof yang dulu dan akan terus berkarya selagi diizinkan ALLAH,” katanya.

Bakal hasil filem epik sejarah

Pada majlis itu, Syamsul turut mengumumkan bakal menghasilkan filem epik sejarah pahlawan negara yang bakal diterbitkan bersama Studio Kembara Sdn Bhd.

Katanya, projek yang menelan kos RM5 juta ini masih dalam perbincangan dan dilihat sebagai sumbangan kepada negara.

“Saya memang suka cabar diri. Saya dah buat filem aksi, komedi, seram, jadi saya perlu lakukan sesuatu yang berbeza.

“Biasanya, filem epik sejarah perlukan bajet yang lebih besar dari nilai ini, tetapi sebagai pengarah saya akan cuba buktikan ia boleh dihasilkan dengan nilai minimum namun bertaraf antarabangsa.Insya-ALLAH, filem itu nanti akan berkisarkan pejuang-pejuang bangsa seperti Mat Kilau dan Hang Tuah.

“Doakan saya hasilkan filem bukan sahaja penting kepada kita, tetapi kepada negara,” katanya yang sibuk menyiapkan Munafik 2 yang dijangka ditayangkan April tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post