Ayie Lantana semakin glamour!


Ayie Lantana

NAMA Ayie Lantana dalam kalangan pelayar laman sosial kini bagaikan tidak asing lagi. Tambahan pula, selepas nyanyiannya yang bersahaja ketika mendendangkan lagu Sudah Ku Tahu dalam aplikasi Smule berduet bersama bintang baharu, Khai Bahar telah menjadi viral.

Dengan imej berkopiah sambil memandu kereta, pemilik nama sebenar, Mohd Khairil Sabri, 33, ini turut diberikan gelaran #brocomel oleh admin page Smule Malaysia Viral (SMV) menerusi laman sosial Facebook.

Dek kerana video itu juga, pengikut Ayie Lantana a.k.a #Brocomel dalam laman sosial Instagram meningkat lebih 2,500 pengikut selain mempunyai lebih 5,000 rakan di akaun facebook yang menjadi medium utama baginya berkomunikasi dengan peminat.

Mengenali dengan lebih dekat #brocomel ini, mungkin ramai belum mengetahui Ayie Lantana merupakan vokalis sebuah band dari Terengganu iaitu Lantana. Antara lagu band ini yang sering diputarkan di corong radio khususnya di Pantai Timur ialah Mimpi Semalam, Rozita serta Aku Tak Punya.

“Tidak dinafikan secara peribadinya orang lebih mengenali saya sekarang biarpun pernah mempunyai beberapa lagu sebelum ini. Sebelum ini, mereka hanya tahu lagu-lagu daripada Lantana, ahli kumpulan serta penyanyinya tidak begitu dikenali.

“Namun, tujuan utama saya menyanyi dalam Smule bukan untuk meraih populariti sebaliknya hanya sekadar suka-suka dan untuk didengar kembali agar dapat diperbaiki mutu nyanyian pada masa akan datang.

“Tidak sangka, lagu Sudah Ku Tahu nyanyian asal Projector Band dinyanyikan kembali oleh saya dalam Smule telah menjadi viral.

''Saya hanya mengetahuinya selepas dikongsi salah seorang kenalan dalam FB setelah admin SMV memuatnaik video berkenaan,” katanya.

Ujar anak kelahiran Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu ini lagi, dia mempunyai akaun Smule lebih kurang sebulan lalu dengan lagu pertama dinyanyikannya berjudul Embun nyanyian Aqasha dan ketika itu juga dia berada dalam kereta.

“Saya lebih selesa menyanyi sambil duduk dalam kereta kerana ia lebih menguji pernafasan serta vokal. Lagu Sudah Ku Tahu merupakan lagu kesembilan dirakam, antara lagu lain turut dinyanyikan ialah Salju di Danau Rindu dan Bila Purnama Mengambang.

“Namun, Sudah Ku Tahu ternyata lebih mendapat perhatian pelayar laman sosial. Pada hari keempat sahaja selepas admin SMV membuat naiknya dalam Facebook, ia telah mendapat lebih kurang 18,000 like; 24,000 share serta ribuan komen.

“Saya akui video itu lebih menonjol disebabkan lagu berkenaan kini sedang hangat. Apatah lagi populariti telah dirangkul Khai Bahar, tempiasnya sedikit-sebanyak kena pada saya. ''Selain itu, mungkin kerana nyanyian saya bersahaja ditambah pula dengan imej berkopiah,” katanya.

Berkongsi komen-komen diterima, Ayie Lantana bersyukur kerana kebanyakan pelayar laman sosial menyukai cara nyanyiannya namun ada juga yang nakal dengan menyamakan dirinya sebagai adik atau kembar pelakon dan pelawak, Ebby Yus.

“Setiap komen positif atau negatif diterima akan saya balas sedaya upaya sekadar termampu. Saya juga tidak ambil hati apabila ada yang kata saya macam Ebby Yus, sebaliknya saya anggap ia seperti gurauan dan komen berkenaan akan turut dibalas secara gurauan.

“Ada juga komen buat permintaan suruh saya nyanyi lagu-lagu lain terutamanya yang 'pitching' tinggi seperti Biasan. Tidak mahu menghampakan harapan mereka, saya cuba merealisasikannya dan sekurang-kurangnya ia akan terus menguji tahap vokal saya.

Kata Ayie Lantana yang bertugas di Pejabat Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Negeri Terengganu di Tepoh ini, jika ditakdirkan mengikut jejak rakan duetnya, Khai Bahar dilamar syarikat rakaman dia bersedia mempertimbangkan tawaran tersebut.

“Saya tidak akan menolak seandainya ada mana-mana syarikat rakaman sudi melamar sekiranya menepati syarat kerana pada masa sama perlu utamakan tanggungjawab pada kerja serta keluarga. Namun, menjadi artis rakaman adalah salah satu ruang terbaik melonjakkan lagi nama Lantana.

“Kumpulan Lantana sebenarnya telah wujud tahun 2008 dengan empat anggota. Saya selaku vokalis, sehingga kini kami mempunyai lima single termasuk sebuah lagu raya berjudul Gema Syawal. Single paling terbaharu ialah Rukun Kedua,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post