Sejak minggu lalu, nama penyanyi Shahir Zawawi tiba-tiba menggelegak kepanasan. Bukan kerana gegaran pencapaian yang diraih dalam AF Megastar, sebaliknya kisah kurang enak yang berpotensi menjatuhkan imej baik yang cuba dipertahankannya.
Kini semua orang tahu bahawa kekasih kepada Primadona Filem Melayu, Erra Fazira itu didakwa sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita bernama Mona Syamimi Mohd. Samsudin.
Menerusi rangkaian kenyataan yang dikeluarkan Mona dalam beberapa portal hiburan, Shahir dikatakan pernah keluar berdua bersamanya dan sering menghantar mesej berbaur luahan perasaan kepada wanita itu.
Bagaimanapun, Shahir yang ketika itu berbaki seminggu sebelum final AF Megastar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan melabelkan Mona sebagai tidak lebih sekadar peminatnya.
Berasa jawapan tersebut tidak jujur, Mona yang merupakan seorang janda beranak dua itu terus mengeluarkan kenyataan dan meminta supaya Shahir berkata benar.
Berkesempatan bertemu Shahir usai konsert akhir AF Megastar yang berlangsung di Teater Shah Alam, Selangor pada malam Ahad lalu, puas penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu bertegas enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.
Ujar Shahir, dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Mona dan berharap khalayak dapat memberi penilaian sewajarnya tentang isu berkenaan.
Gambar Shahir bersama Mona yang tersebar di media sosial ini menjadi punca segala kontroversi sehingga ada yang mendakwa Shahir sebagai tidak jujur dengan Erra.
KOSMO!: Adakah benar dakwaan yang dikeluarkan wanita bernama Mona bahawa Shahir pernah keluar bersamanya dan menghantar mesej-mesej berbaur luahan perasaan cinta?
SHAHIR: Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu kenapa dia menuduh saya melakukan perkara tersebut. Saya tidak mahu komen lanjut, biarlah orang luar membuat penilaian sendiri tentang perkara ini.
Apakah tindakan anda jika Mona masih lagi mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan anda selepas ini?
Sebagai seorang lelaki, perasaan marah itu ada. Namun, selepas mendapatkan nasihat orang yang lebih berpengalaman, lebih baik saya mendiamkan diri dan membiarkan sahaja perkara itu ditelan waktu.
Adakah kontroversi tersebut mengganggu fokus anda dalam AF Megastar sehinggakan anda bercadang untuk menarik diri pada saat akhir?
Sejak menyertai AF Megastar, ada pihak yang mengatakan saya mula sombong. Cadangan untuk menarik diri itu timbul kerana mahu memberitahu khalayak bahawa saya tidak kejarkan dunia dan kemasyhuran.
Namun, disebabkan tidak mahu menyusahkan orang dan memikirkan tanggungjawab, saya bersetuju untuk meneruskan pertandingan.
Semua sedia maklum tentang hubungan istimewa yang terjalin antara anda dan Erra Fazira. Adakah kontroversi ini menyebabkan hubungan kalian mula goyah?
Saya dan dia (Erra Fazira) tidak mempunyai sebarang masalah. Saya telah pun bercakap dengannya mengenai perkara ini dan dia sangat memahami.
Antara Mona dan Erra, siapakah yang anda akan pilih?
Kenapa tanya soalan itu? Apa yang berlaku terhadap pihak itu (Mona), tiada kena-mengena dengan hidup saya dan perkara satu lagi ( hubungan dengan Erra Fazira).
Hubungan dengan Erra masih baik dan jika diizinkan Allah, saya akan melamarnya pada tahun hadapan.
Anda pernah beberapa kali menghilangkan diri sebelum ini. Adakah kali ini, anda akan hilang sekali lagi selepas menyertai AF Megastar?
Tidak, saya akan terus berada dalam industri untuk meneruskan karier nyanyian. Kemunculan saya kali ini adalah hadiah untuk peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada saya.
Boleh ceritakan sedikit mengenai perancangan selepas ini?
Selepas AF Megastar, saya akan teruskan kerjaya seni dan pada masa sama mempromosikan single terbaharu, Mama Jangan Pergi yang dihasilkan bersama Awi Rafael.