Nisa seronok mengacara NLKO


Nur Khairunnisa Aznan

SEBUT sahaja program hiburan santai hujung minggu Nasi Lemak Kopi O (NLKO) yang disiarkan di TV9, nama-nama seperti Faizal Ismail, Fizo Omar dan Hunny Madu antara yang sering jadi perhatian.

Namun, NLKO turut diserikan pengacara wanita berhijab yang tidak kurang hebatnya seperti Amira Othman, Khairul Noormaidah Zali atau Aida serta Nur Khairunnisa Aznan.

Nur Khairunnisa Aznan, 27, atau lebih mesra dipanggil Nisa mengakui sudah tiga tahun mengendalikan NLKO bersama teman-temannya itu.

Mengakui tidak kisah jika namanya masih tidak dikenali, kerana bagi anak muda ini, apa yang dilakukan ini adalah kerana minat mendalam terhadap dunia pengacaraan.

"Jadi, hal popular atau tak, ia tidak pernah bermain di fikiran saya.

“Kalau orang kenal, saya sangat berbesar hati dan kalau orang tidak kenal pun, saya tidak berkecil hati,” katanya.

Menceritakan mengenai pembabitan awalnya di dalam dunia pengacaraan, Nisa memulakan kerjayanya sebagai pelajar praktikal pada 2013.

Nisa diberikan pilihan untuk menyertai beberapa program di stesen televisyen berkenaan seperti Wanita Hari Ini (WHI), Malaysia Hari Ini(MHI), Majalah Tiga dan 999.

“Saya mengambil jalan sukar apabila memilih untuk melakukan tugasan di 999. Produser program tersebut agak was-was dengan pilihan saya dan bertanya sama ada saya memilih 999 disebabkan mahu menjadi popular. "Saya hanya mahu mencabar diri untuk membuat program yang berunsur jenayah,” katanya dengan penuh semangat.

Hari pertama praktikalnya dimulakan dengan tugasan yang agak menghibakan, iaitu membuat liputan upacara pengebumian salah seorang anggota polis yang terkorban semasa Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Mengimbas tugasannya, Nisa berkongsi perasaannya ketika itu di mana sebak mengenangkan pengorbanan seorang anggota keselamatan yang sanggup berjuang demi kedaulatan negara.

“Ini adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan dan saya berbesar hati kerana dipilih untuk membuat liputan.

“Selain itu, saya sampai ke rumah pada 3 pagi kerana liputan upacara itu agak lama di Klang,” katanya.

Menjadi seorang wartawan jenayah bukanlah mudah, malah ia sangat mencabar dari segi mental dan fizikal.

Nisa berkata, wartawan jenayah perlu sentiasa dalam keadaan bersiap siaga seperti seorang anggota penguatkuasa.

“Apabila berlakunya sebuah kes, saya perlu segera ke tempat kejadian untuk mendapat maklumat dan merakam video kes tersebut.

“Jika terlambat, saya mungkin terlepas mendapat rakaman terbaik untuk dipersembahkan dalam 999,” katanya.

Berada di dalam dunia kewartawanan jenayah memberi tekanan kepadanya untuk memberikan bahan berita yang terbaik dan dia sering kali menangis kerana beban kerja yang diterimanya.

“Saya pernah menangis apabila tertekan. Sebagai seorang yang berjiwa lembut, ini cara saya untuk meluahkan perasaan.

“Meskipun seringkali menangis, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berjuang di bidang yang sangat cintai,” luahnya.

NLKO

Selepas tamat tugasan praktikalnya, syarikat berkenaan menawarkannya untuk mengendalikan NLKO dan Nisa menerimanya.

Nisa bermula dengan jawatan sebagai wartawan yang mencari bahan bagi mengisi segmen.

“Walaupun sebagai wartawan, saya perlu buat semua kerja, daripada mencari bahan sehingga selesai proses suntingan.

"Bukan saya seorang sahaja yang buat kerja begitu, semua staf NLKO perlu buat perkara sama,” katanya.

Pada 2014, pihak produksi meminta Nisa untuk menjadi pengacara program berkenaan walaupun pada mulanya agak keberatan untuk menjadi hos.

Ujar Nisa, dia agak gementar apabila berhadapan kamera, lagi-lagi bersiaran secara langsung.

“Saya masih ingat lagi pengalaman saya membuat lintas langsung istiadat diraja di Pahang beberapa tahun lalu. Tangan saya menggeletar sampai orang ramai yang ada di situ kesian melihat keadaan saya.

“Waktu siaran langsung, tangan saya masih menggeletar. Saya sampai tak nak masuk pejabat keesokan hari mengenangkan perihal itu,” menurutnya sambil ketawa.

Selepas setahun di NLKO, akhirnya dia ditawarkan untuk menjadi hos program tersebut bersama-sama lapan hos lain dan tidak menyangka terpilih menjadi pengacara.

Menurutnya, ini adalah satu pencapaian terbesar dalam hidupnya kerana tidak pernah membayangkan untuk menjadi hos program televisyen.

“Mungkin produser nampak bakat saya dalam bidang pengacaraan lalu diberikan kepercayaan. Dengan kepercayaan yang diberikan, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Bisnes tudung

Selain dunia penyiaran, selebriti yang berasal daripada Machang, Kelantan itu mempunyai impian untuk memiliki perniagaan sendiri.

Bagi merealisasikan impian tersebut, dia mula memulakan langkah pertamanya dengan menjual tudung yang diberi nama Kelubong Exclusive by Nisa Aznan.

“Hati saya tergerak untuk berniaga setelah menemubual seorang lelaki ‘istimewa’ yang lumpuh dan hanya boleh mengerakkan jarinya sahaja.

“Walaupun lumpuh, dia masih mampu berniaga dan kini, lelaki itu sudah bergelar jutawan dan ini memberi kesedaran kepada saya bahawa tiada alasan untuk saya untuk tidak mula berniaga,” katanya.

Setakat ini, dia menjual tudung berkenaan secara kecil-kecilan untuk melihat prospek pasaran tudungnya.

“Alhamdulillah, banyak juga tudung saya habis terjual dan kini dalam perancangan untuk menambah stok lagi. Saya jual tudung ini dengan harga berpatutan dan semua orang boleh memilikinya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post