Sekelip mata, tanpa kehadiran material seni lakonan yang ampuh walaupun kali terakhir menjinakkan peminatnya menerusi filem The Hobbit: The Battle of the Five Armies, Bloom atau nama sebenarnya, Orlando Jonathan Blanchard Bloom, 39, melonjak naik menjadi buah mulut khalayak.
Sebenarnya, secara realiti hubungan cinta di antara Orlando Bloom dan Katy Perry berjalan pada fasa tidak diketahui ramai. Buktinya, mereka tidak pernah mengisytiharkan hubungan cinta secara umum baik melalui perkongsian gambar di laman sosial masing-masing mahupun bercerita kepada media.
Bagaimanapun, apabila gambar ‘privasinya’ dengan pelantun lagu Rise itu terbongkar, dia yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘harimau yang sedang tidur’ sedikit berang dengan perkara tersebut. Masakan tidak, melalui perkongsian gambar tersebut, bukan sahaja hubungan asmara dengan wanita itu diketahui ramai, bahkan seluruh dunia mentertawakan dirinya kerana alat sulitnya menjadi tatapan umum.
Bloom pada saat kejadian berlaku sedang melakukan aktiviti berkayak dengan Perry di sebuah pulau di Sardinia, Itali. Pada awalnya, Bloom dikatakan memakai seluar pendek sebelum melucutkannya dan selamba berkayak dalam keadaan berbogel walaupun menyedari tindakannya sedang dirakam paparazi.
Walaupun aktor berkaliber kelahiran Canterburry, England hanya berdiam diri dengan kontroversi tersebut, ramai pengkritik hiburan di Hollywood seperti dapat mengagak bahawa Bloom berang dengan penyebaran gambar bogelnya itu.
“Perry banyak menyabarkan dan memahami kekecewaan serta amarah teman lelakinya itu gara-gara penyebaran gambar tersebut.
“Bloom hanya memerlukan Perry untuk berdepan dengan aib yang melibatkan dirinya. Ia pasti satu perkara yang sukar untuk ditempuhi memandangkan dia merupakan selebriti popular,” ujar satu sumber kepada HollywoodLife.
Biarpun jarang muncul dengan naskhah baharu, namun kebanyakan filem yang dibintangi Bloom merupakan karya pecah panggung.
Terbuka
Bagi mereka yang benar-benar mengikuti jalur hidup Bloom, sebelum bunga cintanya dengan Perry berputik, dia pernah dilamun cinta dengan aktres jelita Amerika Syarikat(AS), Kate Bosworth sejak 2003 sebelum berpisah secara rasmi pada tahun 2006.
Bagaimanapun, hubungan cintanya dengan supermodel kelahiran Australia, Miranda Kerr paling lama bertahan. Mereka sempat berkahwin dan dikurniakan seorang anak bernama Flynn Christopher Bloom yang kini menginjak usia lima tahun.
Bloom dan Kerr mula berpacaran pada tahun 2007 sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada Jun 2010 dan berkahwin pada bulan berikutnya. Malangnya, perkahwinan mereka retak menanti belah apabila Kerr mengumumkan rumah tangganya tidak lagi bahagia dan mereka bercerai secara rasmi pada akhir 2013.
Difahamkan, penceraian Bloom dan Kerr berpunca daripada masalah ketagihan alkohol aktor filem Troy itu yang disifatkan keterlaluan sehingga apabila mabuk, dia menjadi ‘orang lain’. Disebabkan itu, Kerr mengambil keputusan untuk bercerai dan hidup Bloom menjadi kucar-kacir pasca penceraian.
“Kami akan tetap menyayangi antara satu sama lain sebagai kawan dan ibu bapa kepada Flynn. Sampai bila-bila pun, kami tetap satu keluarga.
“Kadang-kadang, hidup tidak berjalan seperti apa yang kita rancangkan. Bagaimanapun, kami sudah dewasa dan bersikap profesional. Kami akan sentiasa sayang dan mengambil berat di antara satu sama lain demi membesarkan anak bersama,” luah Bloom dalam satu temu bual televisyen mengenai kegagalan rumah tangganya.
Bloom dan Katy Perry sebenarnya tidak pernah mengumumkan hubungan cinta mereka kepada pengetahuan umum.
Filem baharu
Orang dahulu selalu berpesan, barang yang lama usah dikenang. Jika kini rasa bahagianya ada bersama bintang pop dunia bernama Perry, tidak salah Bloom mahu terus memburu cintanya dengan wanita tersebut. Harapnya, pautan cinta dengan pelantun lagu Roar itu berpanjangan dan ia menjadi pemangkin untuk dia terus melahirkan karya-karya terbaik pada masa depan kerana kalendar seninya seperti agak malap selepas perpisahan dengan Kerr.
Bloom sememangnya terkenal sebagai aktor yang mempunyai potensi serta reputasi baik sebagai anak seni. Wataknya sebagai Legolas dalam siri filem The Lord Of The Rings dan trilogi The Hobbit sangat memberi impak kepada peminatnya di seluruh dunia selain pesonanya sebagai Paris dalam Troy dan Balian de Ibelin (Kingdom of Heaven). Selain berlakon, dia juga merupakan produser filem, sama seperti pelakon lelaki kelas atasan lain di Hollywood.
Siapa sangka daripada usaha kecil melakonkan watak tempelan dalam filem Wilde pada tahun 1997, Bloom kini antara aktor lelaki berpengaruh di AS. Walaupun dia bukan dilahirkan di negara Uncle Sam tersebut, bakatnya diperakui sama baris dengan bintang hebat yang berasal dari sana.
Dua filem terbaharunya bakal menyusul; Unlocked (2016) dan Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales (2017). Sementara menterjemahkan semula watak Will Turner dalam filem aksi lanun tersebut, kelibatnya dalam filem Unlocked bersama Noomi Rapace, dan Michael Dougla juga ditunggu ramai.