Empayar by Ajai kembalikan zaman kegemilangan band


Berusaha mengembalikan zaman kegemilangan band, penyanyi dan komposer, Ajai tampil secara berkumpulan menerusi Empayar by Ajai, sejak setahun lalu.

Lebih istimewa, band ini membabitkan penyatuan ahli muzik profesional iaitu Nik (bes), Alfa (gitar 1), Bard (gitar 2) dan Rumie (dram) yang juga merupakan sahabat baik selebriti berusia 41 tahun ini.

Bahkan, katanya, mereka juga sering terbabit pembikinan lagu serta projek muzik yang dijayakannya sebelum ini.

“Saya rasa macam dah banyak buat lagu untuk orang, penat buat show sendiri dan penat berdikari sendiri.

Empayar by Ajai adalah grup band saya dan kami selalu bekerjasama dalam pelbagai projek muzik saya,” katanya pada Media Hiburan.

Mengulas lanjut, katanya, penubuhan band ini bertujuan untuk mengembangkan bakat pemuzik yang ada dalam sesebuah band sekali gus berupaya meninggalkan legasi dalam industri seni tanah air.

“Saya ingin kembalikan semula zaman kegemilangan band. Sekarang ini, memang dah banyak band, tapi lebih pada penyanyi saja manakala pemuziknya tak bagus. Sebab itu, kita tak dapat balik Exist, Search mahupun Wings.

“Pada saya, bila ada band, saya nak band itu dikenali sebagai musician yang bagus. Saya nak peningkatan pada band dan bukan hanya pada penyanyi! Band itulah yang sepatutnya menjadi lead secara keseluruhan,” katanya.

Rentetan itu, pemilik nama penuh Mohd Faizal Maas ini memberitahu, pembabitannya dalam kumpulan itu hanya untuk bantu memperkukuhkan nama Empayar By Ajai dalam industri seni.

“Buat sama ini, saya hanya mahu memperkenalkan mereka dalam industri.

“Bila nama dah kukuh, saya akan keluar dan akan adakan uji bakat cari vokalis.

“Bila saya dah keluar, kumpulan ini hanya akan dikenali sebagai Empayar,” katanya.

Justeru, sebagai permulaan, katanya, Empayar by Ajai pertaruh single Eksperimen Cinta.

“Jika tiada halangan, kami bakal tampil dengan album mini yang memuatkan lima lagu. Ia dijangka akan dipasarkan pada bulan ini,” katanya yang hampir 30 tahun bergerak aktif sebagai anak seni.

Pada masa sama, Ajai juga berusaha mencari bakat-bakat baru dalam kalangan generasi muda menerusi penubuhan band, Gen Y by Ajai, tidak lama lagi.

Sebelum ini, Ajai berperanan sebagai pemain keyboard kumpulan Exist selama enam tahun (1991-1997) selain pernah berduet dengan bekas isterinya, Nurul Wahab selama lapan tahun (1998-2006).

Post a Comment

Previous Post Next Post