Fizi Amer tak rasa tergugat


Bukan mudah untuk memastikan momentum karier bergerak pada aras yang sama sepanjang masa, lebih-lebih lagi dengan kebanjiran wajah baru mewarnai industri hiburan ketika ini.

Pendatang baru dalam bidang lakonan Fizi Amer mengakui tidak pernah rasa tergugat apatah lagi terkesan dengan kebanjiran pelakon baru yang lain.

Katanya, sebagai pelakon yang baru setahun jagung dalam bidang ini, dia tidak boleh patah semangat sebaliknya percaya dengan rezeki daripada Allah.

“Saya sedar industri hiburan kini dibanjiri ramai pendatang baru, lebih-lebih lagi dalam bidang lakonan. Namun, kehadiran mereka langsung tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi pelakon disegani.

“Ini kerana setiap perkara pasti ada cabaran sebelum mendapat hasilnya. Oleh itu, mental, emosi dan jiwa perlu kuat supaya tidak mudah mengeluh untuk meraih gelaran pelakon dikenali satu hari nanti.

“Lagipun, tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan usaha dan percaya kepada rezeki yang diberi. Jadi, saya perlu bijak memanfaatkan peluang dan ruang yang diberikan kerana dari situlah lakonan saya dinilai,”katanya yang mula terbabit dalam dunia lakonan menerusi drama Jejak Karmila pada 2016.

Menurut Fizi atau nama sebenarnya Muhammad Norhafizi Amer, sejak menceburi bidang lakonan, dia seronok kerana dapat mencungkil bakat dan menimba ilmu daripada pelakon sedia ada.

“Nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka sangat diperlukan bagi memastikan setiap kesilapan dapat diperbaiki.

“Tambahan pula, semangat dalam dunia lakonan semakin memuncak apabila ada sokongan moral keluarga. Mereka sangat memahami kerjaya yang diceburi dan mengizinkan saya untuk meneruskannya serta ingin melihat saya berjaya,” katanya yang banyak mengambil inspirasi daripada Datuk Rosyam Noor dan Fauziah Nawi.

Walaupun tidak dikenali, jejaka berusia 24 tahun ini tak kisah namanya lambat panas dan Fizi optimis untuk meluaskan bakat lakonannya.

“Saya percaya rezeki Allah itu luas dan tidak pernah ‘tersalah alamat’. Sifat kesabaran sangat penting bagi pendatang baru supaya tidak mudah putus asa dan terus berjuang.

“Saya mahu berjaya dalam bidang ini dan bukan mengejar glamor. Saya nak bakat dikenali dalam setiap watak besar atau kecil,” katanya yang pernah mengikuti kelas lakonan sebagai nilai tambah untuk memperbaiki mutu lakonan.

Mengimbau kembali perjalanan seni Fizi, anak seni kelahiran Klang, Selangor ini bermula di pentas peragaan dua tahun lalu dan perlahan-lahan menceburi bidang seni lakonan.

Selain drama Jejak Karmila, Fizi juga pernah membintangi drama Misi Laksa & Laksam dan Dosa Perempuan di TV3.

Terbaru, jejaka tinggi lampai itu bakal terbabit dengan filem The Millionaire arahan Sofia J Rhyland yang masih dalam penggambaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post