Marsha Milan bakal melancarkan klip video single terbaharunya berjudul Hilang dalam masa terdekat.
Peluang bercuti ke luar negara bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail serta keluarga mertua telah memberi pengalaman baharu buat penyanyi dan pelakon Marsha.
Manakan tidak, pelantun lagu Sudah Ku Temui itu juga berpeluang menikmati keseronokan bercuti di luar negara seperti orang lain sementelah tidak pernah menjejakkan kaki keluar dari Malaysia ketika berstatus bujang dahulu.
Ibarat membalas dendam, kesempatan melancong bersama suami dan keluarga mertuanya membolehkan Marsha meneroka tempat-tempat baharu.
Ujar pelakon Jwanita ini, dia tidak berkesempatan bercuti di luar negara ketika bujang kerana takut selain terikat dengan tuntutan kerjaya.
“Jika dahulu, mahu bercuti ke luar negara tidak mempunyai teman tetapi berbeza pula selepas berkahwin.
“Sebenarnya pemergian saya ke London baru-baru ini merupakan rombongan keluarga mertua kerana mahu menghadiri majlis konvokesyen abang ipar saya di sana.
“Kesempatan itu juga diambil untuk kami meneroka beberapa buah lokasi menarik antaranya Santorini dan Athens di Greece,” ujarnya membuka bicara ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Skim Latihan 1Malaysia di Philea Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap, Marsha Milan Londoh itu turut mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran nyanyian yang datang dalam tempoh percutiannya ke luar negara, selain mahu menghabiskan masa bersama keluarga tercinta.
Persembahan mini
Bercerita mengenai kerjaya, penyanyi berusia 33 tahun itu memberitahu bakal mengadakan persembahan mini di Kota Kinabalu, Sabah bersama rakan seperjuangan iaitu Velvet pada 28 April depan.
Ujar Marsha, dia memilih negeri asalnya kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu, sementelah keinginan untuk mengadakan persembahan mini sudah lama dirancang. Bagaimanapun, baru kini dia berpeluang berbuat demikian.
“Sebenarnya keinginan untuk mengadakan persembahan mini sudah lama difikirkan tetapi tidak menjadi kerana saya terikat dengan komitmen lakonan selain saya juga tidak yakin untuk melakukannya seorang diri.
“Mengikut perkiraan, kali terakhir saya muncul dalam persembahan mini seperti ini sekitar tiga tahun lalu bersama rakan artis yang lain,” jelasnya yang bakal melancarkan klip video single terbaharunya berjudul Hilang dalam masa terdekat.
Kongsi Marsha, persembahan mini yang bakal berlangsung selama sejam itu akan menghimpunkan lagu-lagu nyanyiannya selain mempersembahkan lagu cover version penyanyi lain.
Tapis tawaran
Bercerita mengenai kerjaya lakonannya, pelantun lagu Untuk Terakhir Kali ini masih menerima tawaran berlakon.
“Dari segi tawaran berlakon, saya masih terima tetapi sejak bergelar isteri, saya perlu berhati-hati memilih naskhah yang mahu dilakonkan.
“Saya akan menapis setiap tawaran lakonan yang datang dari segi skrip dan penceritaan kerana mahu menjaga status sebagai isteri,” katanya yang mahu menyeimbangkan perjalanan nyanyian dan lakonan.
Marsha memberitahu, buat masa ini dirinya masih terikat dengan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Bimbi & Bonni bersama pelakon Sharifah Sakinah.
Kata Marsha, penggambaran drama itu tergendala seketika kerana dia terikat dengan jadual kerja yang tidak mengizinkan tetapi ia bakal menjalani penggambaran semula dalam masa terdekat.